Friday, August 21, 2009

Ancaman Terhadap As-Sunnah


ANCAMAN TERHADAP AS-SUNNAH

Suatu permasalahan yang telah berlaku sekarang ini adalah serangan secara halus oleh golongan yang bermazhab dengan pengakuan mereka adalah pejuang As-Sunnah. Apabila perkataan As-Sunnah atau Ahli Sunnah wal-Jamaah dilaungkan maka pencinta-pencinta sunnah pun keluar untuk menyambut kehadiran ulama-ulama yang mereka sangkakan sebagai seorang pejuang As-Sunnah, tetapi sebenarnya ulama itu adalah tokoh mazhab Hambaliyah yang menyembunyikan pada zahir tentang sifat bermazhabnya dan apabila telah kukuh pengaruhnya ia mula menunjukkan taringnya dan mula menyebarkan mazhabnya sebagai pegangan As-Sunnah dan menyatakan pegangan selain dari itu adalah tidak rajih’(tidak kuat). Sedangkan apa yang disampaikan adalah mewakili mazhabnya, jumhur ulama mazhabnya, bukan mewakili jumhur ulama Islam dari mazhab fiqhiyiah yang lain. Akhirnya terjadilah perpecahan sesama golongan As-Sunnah kerana keliru dan terpengaruh dengan ketokohan, kepetahan bersilat lidah tetapi bukan dari dalil yang benar-benar kukuh, tetapi di usahakan olehnya agar diyakini ianya kukuh. Sedangkan apa yang di lakukan oleh mereka bukanlah cara yang di tunjukan oleh Imam Ahmad bin Hambal atau Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab al-Hambali tetapi adalah di lakukan kerana fanatik mereka kepada mazhab atau guru yang mereka ambil ilmu darinya. Berkata Imam Ahmad :

لاَ تُقَلِّدْنِي وَلاَ تُقَلِّدْ مَالِكًا وَلاَ الشَّافِعِي وَلاَ الأوْزَاعِي وَلاَ الثَّوْرِي وَلَكِنْ خُذْ مِنْ حَيْثُ أَخَذُوا

“Jangan bertaklied kepada ku dan jangan bertaklied (kepada) Malik dan jangan bertaklied kepada AsySyafie dan jangan Al-Auzaie dan juga AsSauri. Akan tetapi ambillah mengikut sumber yang mereka ambil.”

Kata Imam Ahmad lagi :

"رَأْيُ الأَوْزَعِي وَرَأْيُ مَالِكٍ وَرَأْيُ أَبِي حَنِيْفَةِ كُلُّهُ رَأْيٌ وَهُوَ عِنْدِي سَوَاءٌ وَاِنَّمَا الْحُجَّةُ فِي الآثَارِ"

“Fikiran Al-Auzaie dan fikiran Malik dan fikiran Abi Hanifah, kesemuanya fikiran, bagiku adalah sama sahaja, adapun yang menjadi hujah adalah hadits.”

Maka kita berkata Al-Imam Hambali itu adalah seorang tokoh As-Sunnah, tetapi golongan yang bertaklied kepadanya walaupun bertaklied kepada dalil daripada mazhabnya tetapi meremehkan dalil yang lebih kukuh dari lain-lain ulama adalah tidak menepati jalan As-Sunnah yang murni dan tidaklah ini menjadi pendirian Imam Ahmad. Sabda Rasulullah saw.

عَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ، فَاِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ، وَهُوَ مَعَ الاِثْنَيْنِ أَبْعَدُ، وَمَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةَ: فَلَيَلْزَم الْجَمَاعَةَ

“Hendaklah kamu dengan jamaah, berhati-hatilah tentang perpecahan, bahawa syaitan bersama dengan seorang, dia lebih jauh dengan dua orang, siapa yang berkehendak kesenangan syurga, hendaklah bersama dengan jamaah.” H.R.Ahmad.

Terdapat berbagai bagai pendapat tentang siapakah jamaah, ada yang berfaham kumpulan yang ramai dari umat Islam dan ada yang berfaham berada di dalam urusan dimana bersepakat sesuatu perkara oleh ulama-ulama Islam, jika dua pendapat itu dijadikan panduan saya pasti umat Islam akan hancur ke lembah kesesatan kerana kumpulan yang ramai dari umat Islam iaitu seramai 72 golongan itu semuanya ke neraka. Sabda Rasulullah saw.:

سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعُونَ فِرْقَةً النَّاجِيَةُ مِنْهَا وَاحِدَةٌ وَالْبَاقُونَ هَلَكِي، قِيلَ وَمَنْ النَّاجِيَةُ؟ أَهْلُ السَّنَّةِ وَالْجَمَاعَةُ، قِيْلَ وَمَا الْجَمَاعَةُ؟ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَ أَصْحَابِي.

“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, yang selamat satu sahaja, yang bakinya binasa.” Baginda di tanya : “Siapakah yang selamat ?” Baginda bersabda : “Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah.” Baginda di tanya : “Apa itu Al-Jamaah ?” Baginda bersabda : “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” H.R.Sahih Sunan At-Tirmidzi.

Maka jamaah itu pada penjelasan Rasulullah saw. adalah suatu jalan, perbuatan, pendirian yang diambil oleh seseorang itu berdasarkan Al-Quran, Sunnah Rasulullah saw., dan pengamalannya benar menurut apa yang di amalkan oleh para sahabat. Iaitu ia tidak membaca sebuah hadits lalu di amalkan menurut kefahamannya sedangkan kefahaman itu bertentangan dengan sunnah para sahabat, dan itu belum lagi di katakan bermanhajkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Demikian juga himpunan ulama Islam yang paling ramai adalah dari golongan kalam, ahli ahwa dan ahli bid’ah, iaitu dari kumpulan yang berpecah-belah dengan berbagai pendapat dan rekaan.Tetapi kumpulan-kumpulan ini lazimnya boleh bersatu sesama mereka dan tolong-menolong dalam urusan menentang kebangkitan As-Sunnah. Ini boleh dilihat dalam pergerakan Tabligh yang di asaskan oleh golongan sufi/tasawuf. Golongan ahli bid’ah, tasawuf, kalam, dan golongan jahiliyah moden (celik dunia tetapi jahil agama) mereka boleh bersatu dalam satu kumpulan yang ramai. Dan inilah jamaah yang ramai sekarang ini di serata dunia khusus bagi kita di Asian ini.Tetapi mereka adalah jamaah yang telah nyata kesesatan dan kesempitan ilmu tentang Islam iaitu golongan yang membelakangkan tauhid dan mendahulukan amalan kebaikan (Fa-dla-ilul-a’maal). Maka ini bukanlah jamaah yang di maksudkan oleh Rasulullah saw.
Berkata sahabat Rasulullah saw.:

الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ، وَإْنْ كَانَ وَحْدَكَ

“Jamaah itu ialah yang sepakat dengan kebenaran, walaupun engkau seorang diri.”
Dikeluarkan oleh Al-Lalikani dalam "Syarh Ushul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah"

Biarpun kita di pulau atau terpinggir, biar pergerakan sunnah itu tinggal dua atau tiga orang sekalipun selagi ia berada di atas kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah maka ia tetap berada di dalam jamaah. Sememangnya perkara ini, iaitu As-Sunnah ini akan menjadi kecil golongannya, akan terpencil, akan menjadi asing telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. di dalam haditsnya dan ianya pasti akan berlaku. Apa yang penting bagi seorang yang ingin berada di atas landasan manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah ia akan terus berjuang dengan kumpulannya, jamaahnya. Sabda Rasulullah saw.:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرَّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلاَ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ

“Akan berterusanlah satu kumpulan dari umatku menonjol di atas kebenaran, tidak akan membahayakan mereka bagi sesiapa yang cuba mengecewakan mereka dan tidak mengecewakan mereka bagi siapa yang membantahkan mereka sehingga akan datang penentuan Allah sedangkan mereka tetap dengan pendirian yang demikian.”
H.R. Muslim dan Bukhari.

Yang pasti seorang yang bermanhajkan As-Sunnah tidak boleh mengalah, tidak boleh kecewa dalam melayarkan bahtera perjuangan, apabila layar perjuangan telah kita naikkan maka tidak ada istilah mudur ke belakang untuk mengalah tetapi hendaklah kita teruskannya sehingga sampai kepada matlamat kita, sehingga sampai penentuan Allah.

Pendirian kita adalah nyata iaitu tiada bermazhab-mazhab di dalam Islam kerana tidak ada contoh dari Rasulullah saw. dan tidak juga diamalkan oleh para sahabatnya. Oleh itu, kita wajib tegas bahawa selain jalan yang dibawa dan disunnahkan oleh Rasulullah saw di dalam urusan agama, ianya pasti sesat. Tidak boleh diterima walau sebesar mana kedudukan seorang ulama itu dari hal pendapatnya yang menghalalkan bermazhab dengan ulama, kerana ia bukan seorang Rasul yang diberi wahyu tetapi seorang manusia yang pasti berlaku silap dan menghalalkan mazhab itu adalah kesilapannya maka wajib baginya bertaubat. Jika ingin juga bermazhab, maka katakan :

‘Mazhabku Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah.’ Bukan Mazhab Syafie, bukan Mazhab Hambali, bukan Hanafi dan bukan juga Maliki. Firman Allah :
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا

Yang bermaksud :
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah (bersatu), janganlah kamu berpecah belah.” Q.S. Ali-Imran, 3 : 103.

Firman Allah lagi :

وَلاَ تَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ تَفَرَّقُوْا وَاخْتَلَفُوْا مِنْ بَعْدِ مَاجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ اُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ

Yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menyerupai orang orang yang bercerai berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang orang yang mendapat seksa yang berat.” Q.S. Ali-Imran, 3 : 105.

Sepotong lagi firman Allah untuk kita renungkan:

وَلاَ تَكُوْنُوْا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ * مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ

Dan jangan kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah * iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan, tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka
Q.S Ar-Ruum, 30 : 31-32

Bermazhab dengan ulama itu adalah sebahagian dari sifat ghuluw (melampau), kerana sifat ghuluw kepada seseorang ulama akan menyebabkan seseorang itu sangggup menolak dalil Al-Quran dan hadits yang sahih, paling tidak ia akan memutar belitkan dalil tersebut untuk menjelaskan tentang keyakinannya terhadap mazhab yang dipegangnya sehingga di anggap olehnya sebagai rajih’(kuat) dan menyatakan dalil selainnya adalah lemah qaulnya atau lemah pendapatnya. Firman Allah :

مَا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ

Yang bermaksud :
“Allah tidak menjadikan dua ideologi dalam diri (hati) seorang lelaki.”
Q.S. Al-Ahzab, 33 : 4.

Islam mewajibkan umatnya berpegang kepada akidah yang satu dan beramal dengan apa yang dibawa dan disunnahkan oleh Rasulullah saw. Maka dimaafkan kekurangan seseorang itu kerana ia belum berjumpa dalilnya di dalam pencarian ilmunya, tetapi bukan dengan menolak atau meremeh dalil orang lain yang nyata sahihnya kerana berlainan dengan mazhabnya, berlainan dengan apa yang di ajar oleh gurunya. Firman Allah :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ، إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً.

Yang bermaksud :
“Janganlah kamu mengikut (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan di pertanggungjawab.” Q.S. Al-Isra’ : 36.

Ingin dijelaskan bahayanya golongan bermazhab ini apabila mereka mengaku memperjuangkan As-Sunnah. Antaranya :

1. ANGKUH

Mereka angkuh dan selalunya akan mencari atau mendapat maklumat hanya di kalangan orang yang mereka anggap sealiran dengan mazhabnya. Dan akan berusaha untuk mematahkan alasan yang berbeza dengannnya biarpun alasan itu berdalil dengan sekian banyak hadits yang sahih, mutawatir, muttafaq’alahi, marfu’, sebagai contoh solat tarawih dan solat malam itu jelas di lakukan oleh Rasulullah saw. dari hadits-hadits yang sahih adalah sebelas rakaat dan dalam hadits lainnya tiga belas rakaat iaitu solat witir itu di lakukan lima rakaat. Walaupun dalilnya kuat, banyak lagi golongan bermazhab yang mengaku bermanhaj As-Sunnah ini, tetap menyatakan boleh dibuat dua puluh rakaat, dalil mereka di Mekah pun orang buat begini, yang paling menyedihkan hadits-hadits yang telah jelas daif digunakan untuk menjadi hujah, sedangkan telah nyata hadits yang sahih. Jika mereka terbelit atau tergugat maka yang mungkin mereka jawab : ‘ini masalah khilafiyah, dan ada kaul muktabar, buatlah apa yang kita yakin semuanya ada dalil.’ Inilah bahaya golongan yang bermazhab, ketulusannya dalam menerima dalil yang sahih, boleh kita pertikaikan dan bagi saya sangat jelas kerosakannya di dalam As-Sunnah apabila orang yang begini pendiriannya mengaku bermanhaj As-Sunnah. Mereka sombong dan angkuh dengan ilmu dari mazhab yang mereka pegang, mereka adalah orang yang terikat kebebasan ilmunya dengan lingkaran mazhab yang mereka yakini.

2. MENGELIRUKAN
Apabila mereka tidak terbuka di dalam mencari hujah hujah dari Al-Quran dan Hadits yang sahih kerana terikat dengan rentak bermazhab, maka selalu terjadi jawapan yang mengelirukan di dalam menjawab soalan yang ditujukan kepada mereka. Ini mungkin di sebabkan di dalam mazhab mereka telah jelas kekurangan dalil dalam urusan tersebut, lalu untuk mempertahankannya lalu mereka menggunakan berbagai cara lain untuk menyakinkan orang, seperti perbandingan, bayan (kepetahan kata), logika (munasabah pada akal) dan lain lainnya. Ini semua adalah jalan yang mengelirukan apabila di guna untuk mematahkan/melemahkan dalil yang sahih dan cara ini adalah cara yang terlarang di dalam memahami dan mengamalkan As-Sunnah. Firman Allah :

الَّذِيْنَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُوْنَ اَحْسَنَهُ اُولَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَاهُمُ اللهُ وَاُوْلَئِكَ اُوْلُوْا الاَلْبَابِ

Yang bermaksud :

“Iaitu orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti perkataan yang paling baik, mereka itulah orang orang yang telah di beri petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal.” Q.S. Az-Zumar ,39 : 18.

Maka mengambil dalil yang sahih dari Al-Quran dan hadits dan mengelak kekeliruan serta taksub kepada mana-mana ulama adalah termasuk mengambil perkataan yang paling baik. Itulah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Contoh yang terang tentang berlakunya kekeliruan pada masa sekarang ini, adalah seperti membaca wabihamdih di dalam tasbih rukuk dan sujud. Hadits yang berbunyi :

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ

“Maha Suci Tuhanku lagi Maha Agung dan segala puji bagi-Nya.” H.R. Abu Daud, Daraqutnie, Ahmad, Thabaranie dan Baihaqie. Di nyatakan sahih oleh Al-Albani.

Hadits ini di nyatakan daif oleh sekian banyak ulama ahli hadits dan telah sekian lama urusan wabihamdih ini, baik di Perlis mahupun di kelompok As-Sunnah lainnya seperti PERSIS dan Muhammadiah di Indonesia, Pergerakan Salafi Thailand, tidak mengamalkan yang demikian, lazimnya hanya dilakukan oleh golongan ahli bid’ah atau perlaku bid’ah. Sebenarnya apabila hadits yang asalnya di sepakati oleh para ulama ahli hadits yang lebih muktabar sebagai daif, kemudian disahihkan pula oleh seorang ulama di alaf baru ini, beberapa perkara perlu dinyatakan kepada umum sebelum di jelaskan tentang sahihnya. Antaranya : Mengapa daripada hadits yang daif ia boleh di angkat terus kepada sahih ? Apakah ianya sahih LI-DZATIHI (sah pada sanadnya, tidak kerana di bantu hadits lainnya) atau ianya sahih LI-GHAIRIHI (asalnya adalah hadits yang lemah namun dikuatkan dengan hadits-hadits lainnya) Ini adalah satu keperluan ilmu agar kita tidak berlaku taqlied kepada ulama. Kerana satu hadits yang dilemahkan oleh sekian banyak ulama hadits terdahulu telah di angkat darjatnya terus kepada sahih hanya oleh seorang ulama yang lahir pada abad ke20 iaitu terlalu mutakhirin bagi kita sekarang ini. Bagaimanakah kaedah yang digunakannya ?

Dalam mengamalkan sesuatu hadits yang dinyatakan sahih sekurang-kurang terdapat tiga syarat yang perlu di penuhi, iaitu :
a. Tidak mansuh. Ia itu tidak ada hadits lain yang terkemudian yang memansuhkan larangan atau sebab dari hadits tersebut sebagai contoh di dalam bab wanita menziarahi kubur.

b. Tidak bertentangan dengan hadits sahih yang lebih kuat darinya.

c. Tidak bertentangan dengan Al-Quran.

Menurut ilmu Mushthala-hul-Hadits (مصطلح الحديث) :

اَلْحَدِيْثُ الصَّحِيْحُ مَا سَلِمَ لَفٍظُهُ مِنْ رَكَاعَةٍ وَمَعْنَاهُ مِنْ مُخَالَفَةِ آيَةٍ اَوْ خَبَرٍ مُتَوَاتِرٍ اَوْ اِجْمَاعٍ وَكَانَ رُوَاتُهُ عُدُوْلاً

‘Hadits yang sahih itu, ialah yang selamat lafaznya dari kejanggalan dan (selamat) maknanya dari menyalahi satu ayat atau khabar mutawatir atau ijma’, serta adalah rawi-rawinya semua orang-orang yang kepercayaan.’ AT-THARIQATUL-MUHAMMADIYAH 4.
Seterusnya :

الصَحِيْحُ مَا سَلِمَ لَفْظُهُ مِنْ رَكَاعَةٍ وَسَلِمَ مَعْنَاهُ مِنْ مُخَالَفَةِ آيَةٍ اَوْ خَبَرٍ مُتَوَاتِرٍ وَاتَّصَلَ اِسْنَادُهُ بِنَقْلِ عَدْلٍ ضَابِطٍ
‘Hadits sahih itu barang yang selamat lafaznya daripada kejanggalan dan selamat maknanya daripada menyalahi satu ayat Quran atau satu khabar mutawatir, serta sanadnya berhubung dengan perantaraan rawi yang adil dan kuat ingatan.’ AL-TA’RIEFAT 57.

Jika sesuatu hadits yang dinyatakan sahih tetapi tidak menepati syarat di atas maka yang terbaiknya adalah kita tawaqquf (diamkan) kerana kita tidak memahami permasalahan sebenar yang terjadi iaitu sahih dari sanadnya (sandaran/jalan) tetapi bermasalah pada matannya (susunan perkataannya). Sebenarnya, hadits wabihamdih ini bermasalah, saya bawakan sebabnya di bawah ini untuk rujukan. Hadits yang berbunyi :

عَنْ خُذَيْفَةَ: اَنَّ رَسُولَ اللهِ ص. يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ ، ثَلاَثًا وَفِي سُجُودِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الاَعْلَى وَبِحَمْدِهِ ثَلاَثًا.

Dari Huzaifah : “Bahawasanya Rasulullah saw. berkata di rukuknya : SUBHANA RABBIYAL AZHIM WABIHAMDIHI, tiga kali, dan di sujudnya : SUBHANA RABBIYAL A’LA WABIHAMDIHI, tiga kali.” H.R. Daraquthni.

Hadits ini tidak sahih di sebabkan terdapat pada isnadnya (rantaian perawi) seorang yang bernama Muhammad bin Abi Laila. Dia telah di lemahkan oleh Imam Ahmad, Abu Zur’ah, Syu’bah, Yahyal Qaththan, Yahya bin Ma’in, An-Nasai, Ad-Daraquthi, Abu Ahmad, Al-Hakim dan lain lain. Diriwayatkan lagi sebuah hadits oleh Imam Ad-Daraquthni :

قَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: مِنَ السُّنَّةِ اَنْ يَقُوْلَ الرَّجُلُ فِى رُكُوعِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمٌ وَ بِحَمْدِهِ، وَ فِى سُجُودِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الاَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Telah berkata Ibnu Masud : “Menurut sunnah orang yang solat itu, membaca pada rukuknya : Subhana rabbiyal azhim wabihamdih, dan pada rukuknya : Subhana rabbiyal a’la wa bihamdih.”

Hadits ini tidak sahih, sebab diisnadnya terdapat rawi yang bernama As-Sari bin Ismail. Dia telah di lemahkan oleh Imam Ahmad, Yahya Qaththan dan Nasai. Imam Ahmad berkata :

اَمَّا اَنَا فَلاَ اَقُولُ: وَبِحَمْدِهِ

‘Adapun saya, saya tidak membolehkan : wabihamdih.’

Imam Abu Daud pula meriwayatkan sebagaimana lafaz hadits dari Huzaifah tetapi dari Uqbah bin Amir. Hadits ini juga tidak sahih kerana terdapat dalam isnadnya orang yang majhul (tidak di kenali). Berkata Imam Abu Daud : ‘Saya khawatir, bahawa tambahan itu (wabihamdih), tidak benar.’

Sebenarnya hadits yang bermasalah seperti ini tidak perlu diperbesarkan sehingga menjadi kekeliruan dan yang paling menyedihkan sehingga menjadi perpecahan sesama jamaah As-Sunnah. Tetapi kerana taksub kepada mazhablah perkara ini terjadi, sehingga hadits yang ternyata daif oleh sekian banyak ahli hadits yang muktabar apabila di anggap sahih pada mazhabnya atau kalangan mazhabnya maka ia jadikan satu isu yang besar, sedangkan dalam bab tasbih rukuk dan sujud ini telah ada hadits yang nyata kesahihan sejak dari zaman Rasulullah saw sehingga sekarang yang jumlahnya tidak sedikit. Mengapa perlu di perbesarkan perkara yang nyata bermasalah sehingga menjadi kekeliruan dan perpecahan ? Sabda Rasulullah saw.;

دَعْ مَا يُرِيْبُكَ اِلَى مَا لاَ يُرِيبُكَ

“Tinggalkanlah sesuatu yang meragu ragukan, (berpindah) kepada sesuatu yang tidak meragu ragukan.” H.S.R. Ahmad dan lainnya.

Apa yang jelas terjadi sekarang ini adalah kekeliruan jamaah As-Sunnah yang baru mendalami As-Sunnah, terutamanya di dalam masalah ibadat seperti azan, sifat solat dan lain lainnya. Masalah ini sebenarnya Insyaallah boleh di selesaikan, jika kita menyampaikan dengan cara yang tidak bermazhab, sebaliknya mengajak jamaah berittiba’ (berusaha) menyemak/meneliti perkara yang di perselisihkan dan mengambil pendirian di atas dalil bukannya pendapat yang hanya di batasi oleh dalil dalam lingkaran satu mazhab sahaja. Kita teliti dari bab mengangkat tangan di waktu takbir :
(sila rujuk teks yang di berikan)

Kesimpulannya, marilah kita semua jamaah As-Sunnah kembali bersatu, berusaha untuk membina satu kekuatan dari segi ilmu As-Sunnah. Mungkin telah tiba masanya jamaah As-Sunnah mendalami ilmu Hadits, fikih dan bahasa arab dengan lebih mendalam agar kita tidak terumbang-ambing apabila dikelirukan oleh para ustaz atau para ulama yang menyampaikan hujah dengan cara yang mengelirukan. Sebenarnya kelas yang demikian ini telah dijalankan oleh biro rakan muda Al-Islah untuk melatih para remaja baik lelaki mahupun wanita, supaya menjadi pelapis As-Sunnah yang berilmu. Semoga Allah menunjuki kita jalan yang benar dan merahmati perjuangan yang dilakukan. Renungilah pesanan dari Al-Hasan bin Ali al-Barbahari ini :

وَاحْذَرْ صِغَارَ الْمُحْدَثَاتِ، فَاِنَّ صِغَارَ الْبِدْعَةِ تَعُودُ حَتَّى تَصِيْرَ كِبَارًا وَكَذَلِكَ كُلُّ بِدْعَةٍ اَحْدَثَتْ فِى هَذِهِ الاُمَّةِ كَانَ اَوَّلُهَا صَغِيرًا يُشْبِهُ الْحَق فَاغْتَر بِذَلِكَ مَنْ دَخَلَ فِيْهَا ثُمَّ لَمْ يَستَطِع الْمخرَجَ مِنْهَا فَعَظمَتْ وَصَارَتْ دِيْنًا يدَانُبِهِ، فَخَالَفَ الصِّرَط الْمُسْتَقِيْم فَخَرَجَ مِنَ الاِسْلاَمِ فَانْظُرْرَحِمَكَ اللهُ مِنْ سَمِعت كَلاَمه مِنْ اَهْلِ زَمَانِكَ خَاصَةً فَلاَ تَجْعلن وَلاَ تَدْخُلَنَّ فِى شَىءٍ مَنْهُ حَتَّى تَسْاَلَ وَتَنْظُرَ: هَلْ تَكَلَّمَ فِيْهِ اَحَدٌمِنْ اَصْحَابِ النَّبِيِّ ص اَوْ اَحَدًا مِنَ الْعُلَمَاءِ فَاِنْ اَصَبْتَ فِيْهِ اَثَرًا عَنْهُمْ فَتَمَسَّكَ بِهِ وَلاَ تُجَاوِزْهُ وَلاَ تَخْتَرْ عَلَيْهِ شَيْ~ًا فِى النَّارِ

‘Berjaga jagalah dari bid’ah bid’ah yang kecil. Sesungguhnya bermula dari bid’ah yang kecil akan bangkit sehingga menjadi besar. Tidak terkecuali bid’ah yang boleh terjadi pada ummah ini, pada mulanya ia kecil yang kelihatan seolah olah menyerupai kebenaran. Akan terpedaya dengannya sesiapa yang masuk kedalamnya, kemudian dia tidak akan berdaya untuk keluar darinya, maka (bid’ah tersebut) akan menjadi lebih besar sehinggalah ia menjadi sebagai agama yang dianuti. Ia akan bertentangan dengan jalan yang lurus sehingga terkeluar dari Islam. Maka perhatikanlah supaya engkau dirahmati Allah di atas setiap apa yang engkau dengar dari kata katanya terutama mereka yang terdiri dari kalangan ahli zaman engkau. Usahlah engkau terburu buru dan jangan sekali kali engkau ceburi sesuatu sehinggalah engkau tanyakan dan melihatnya : Adakah pernah diucapkan tentangnya oleh salah seorang dari kalangan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau salah seorang ulama (tabiin) ? Jika engkau dapati ia athar dari mereka, maka berpeganglah dengan mereka, usahlah engkau khianati atasnya dengan sesuatu kerana (akan menyebabkan) engkau jatuh ke neraka.’
Lihat : طبقات الحنابلة jld.2. hlm. 18-19. Muhammad bin Abi Ya’la. Daar Ma’rif.Bairut.
الله اعلم

0 comments: