Tuesday, December 21, 2010

SERUAN MENGAJAK KEPADA YANG MA’RUF MENCEGAH DARI YANG MUNGKAR





Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56 [51:56]:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ

Bermaksud:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk / patuh padaKu

Sesungguhnya manusia itu dijadikan dan diberikan satu kehidupan di dunia ini hanyalah dengan satu tujuan iaitu untuk tunduk dan patuh pada Allah. Manusia itu tidak dijadikan untuk mengumpul harta kekayaan dunia atau mengejar nama dan pangkat, kerjaya atau kestabilan ekonomi tapi kita dihidupkan di atas muka bumi ini untuk tunduk pada syariat Allah. Persoalannya ; Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan tunduk dan patuh ? Adakah cukup sekadar solat 5 waktu dikatakan patuh? Adakah cukup dengan menahan diri daripada maksiat dikatakan patuh? Adakah kita sekarang ini benar-benar tunduk dan patuh pada perintah Allah?

Kita mengaku dan kita percaya bahawa jalan yang benar/jalan yang diredhai Allah ialah dengan mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw tetapi adakah kita sekarang ini berada di jalan tersebut? Atau kita masih lagi berangan-angan  merasakan diri benar tapi hakikatnya kita masih jauh dari kebenaran. Saya beranggapan bahawa pembaca ialah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah, dibukakan hati untuk menerima hidayahnya maka dengan itu marilah kita renungkan satu perintah daripada Yang Maha Esa sebagaimana tersebut dalam surah Ali-Imran ayat 104 [3:104]:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ اُمَّةٌ يَدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
Bermaksud:
Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan merekalah orang-orang yang beruntung

Mungkin ramai dikalangan kita yang tahu dan telah hafal ayat ini tapi sudahkah kita mengamalkannya? Adakah kita telah tunduk pada perintah amar ma’ruf nahi mungkar ataukah kita sekadar membacanya lalu kita abaikan perintahnya? Untuk memberi alasan mungkin 1001 alasan kita boleh beri tapi pada zahirnya kita tidak patuh pada perintah tersebut. Saya bimbang kalau-kalau kita termasuk dalam golongan orang-orang yang mencintai dunianya (urusan dunianya) lebih daripada mencintai Allah dan RasulNya dan daripada berjuang di jalanNya, sesungguhnya inilah jalan orang-orang fasiq. Tuntutan dunia sanggup kita turuti walau apa jua rintangannya tapi tuntutan agama kita abaikan begitu saja. Hayati sejenak firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 [9:24]:

قُلْ اِنْ كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَاَبْنَآؤُكُمْ وَاِخْوَانُكُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَاَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا اَحَبَّ اِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتَرَبَّصُوْا حَتَّى يَأْتِيَ اللهُ بِاَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْفَاسِقِيْنَ
Bermaksud:
Katakanlah: “Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad dijalanNya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Kita sepatutnya bersyukur dengan hidayah yang diberi oleh Allah dan sewajarnya kita berpegang dengan teguh dan beramal dengan bersungguh-sungguh kebenaran yang kita ketahui tetapi bukan kita berpegang dengan apa yang secocok dengan hati/nafsu kita dan kita abaikan apa yang tidak secocok dengan hati/nafsu kita. Jika inilah pengamalan kita, maka kita telah mengikut satu daripada jejak yahudi dan nasrani dan dengarkanlah satu ancaman daripada Allah disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 85-86 [2:85-86]:

اَفَتُؤْمِنُوْنَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُوْنَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَآءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ اِلاَّ خِزْيٌ فِيْ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّوْنَ اِلَى اَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُوْنَ * اُولَئِكَ الَّذِيْنَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالأخِرَةِ فَلاَ يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلاَ هُمْ يُنْصَرُوْنَ
Bermaksud:
Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari kalangan kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa-apa yang kamu kerjakan * Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.

Islam bukan seperti agama buddha, untuk menyucikan diri perlu berkhalwat dalam tokong, cukup sekadar dirinya betul dan dibiarkan orang lain dalam kesesatan, kerosakan akhlak. Jika dilihat daripada sirah hidup Rasulullah saw, apabila beliau menerima wahyu menerima kebenaran daripada Allah maka tanggungjawabnya ialah menyampaikan. Begitu juga para sahabat Rasulullah – sekiranya para sahabat pentingkan diri sendiri maka tidak perlu untuk mereka sebarkan kebenaran Islam sehingga ke seluruh pelusuk dunia, cukuplah dengan tanah arab saja. Tapi sahabat-sahabat tetap menyampaikan kebenaran pada manusia lainnya. Begitu juga dengan para ulama yang mengikut manhaj salaf as-soleh. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan risalah Islam yang sebenar yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw, membanteras penyelewengan dalam agama dan bid’ah-bid’ah dan sememangnya jalan tersebut penuh dengan onak duri. Lalu bagaimana pula dengan jalan hidup kita? Adakah cukup sekadar kita yang tahu dan mengamalkan sunnah lalu kita biarkan orang lain punah? Tanggungjawab orang yang mengetahui ialah sampaikan pada yang tidak mengetahui kerana perintah Rasulullah s.a.w:

بَلِّغُوْا عَنِّيْ وَلَوْ أيَة

Bermaksud:
Sampaikanlah tentangku/daripadaku walau satu ayat

Dan lagi perintahnya:

مَنْ رَاَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيْمَان
Bermaksud:                                                                                                      
Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangan dan jika ia tidak mampu maka dengan lisan dan jika ia tidak mampu maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman.
Hadis Riwayat Muslim

Dunia sekarang dikelilingi kemungkaran, bid’ah merata-rata, kejahilan berleluasa tapi apa yang telah kita lakukan selain daripada menuruti tuntutan hidup dunia? Kita tidak menolak perintah mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar tapi sudahkah kita laksanakan perintah tersebut? Kalau tidak kepada masyarakat umum tapi kepada ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat handai? Pernahkah kita terfikir disebabkan kita tidak mengerjakan amar ma’ruf dan nahi mungkar maka tersiar kejahatan lenyap kebaikan? Rata-rata orang melakukan maksiat, hampir tidak ada yang mengerjakan ibadah. Kita tidak berusaha untuk membanteras kejahatan, kita tidak berusaha untuk mencegah kemungkaran, kita tidak berusaha untuk menolak datangnya kejahatan maka adakah layak kita digelar orang-orang Islam yang sebenar? Inikah sifat-sifat seorang Islam? Adakah keadaan kita secocok dengan firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ
Bermaksud:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah
-Ali Imran ayat 110 [3:110]-

Inilah yang saya bimbangkan, kita menyangka diri telah benar tapi hakikatnya kita belum benar-benar berada di jalan yang benar. Realitinya sekarang ini kita bukan sebaik-baik umat, kita adalah serendah-rendah umat. Kita mengaku Islam tapi kewajipan Islam kita abaikan. Kita lakukan apa yang secocok dengan hati naluri kita dan kita tolak ketepi apa yang tidak disukai. Kalau pun kita tidak mampu untuk mengubah kejahatan dengan tangan apakah kita tidak berkuasa mengubah dengan perkataan? Sampai bilakah kita harus menolak dengan hati iaitulah selemah-lemah iman? Di zaman yang penuh dengan kemungkaran, kesesatan dan kejahilan apakah kita masih lagi alpa? Ingatlah! Satu ancaman daripada Allah dalam surah Al-Anfal ayat 25 [8:25]:

وَاتَّقُوْا فِتْنَةً لاَ تُصِيْبَنَّ الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا مِنْكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُوْا اَنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ
Bermaksud:
Dan takutlah olehmu akan fitnah yang tidak hanya akan mengenai orang-orang yang zalim di antara kamu saja dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaNya.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,
Kita perlu bulat tekad/bersungguh-sungguh menegakkan syiar Islam. Jihad bukan perkara mainan atau gurauan ia adalah satu perjuangan yang besar. Perjuangan ini bukanlah perjuangan mengangkat senjata bergadai nyawa memerangi musuh Islam tetapi perjuangan kita untuk menyucikan pemikiran umat Islam yang telah jauh menyimpang daripada syariat Islam yang sebenar. Sebilangan besar umat Islam telah diracuni dengan ideologi dan fahaman hidup yahudi dan nasrani iaitulah golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat. Perjuangan ini bukanlah satu pilihan tetapi ianya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan kepada kita di akhirat nanti. Perjuangan ini perlukan pengorbanan masa, wang ringgit, tenaga malah keseronokan dan kebahagiaan duniawi dan sebagainya. Mungkin ramai yang berbangga apabila beroleh kerja besar bergaji besar mempunyai ekonomi yang stabil tapi amat sedikit yang menghargai apabila dirinya diperlukan untuk jihad fi sabilillah iaitulah mewarisi perjuangan rasul yang terakhir Muhammad saw.

Dalam kita memperjuangkan Islam, pedoman kita hanyalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw, jangan kita terkeliru dengan pemikiran dan fahaman kafir, nampak bertamadun dan serba maju tapi hakikatnya satu kepalsuan, satu racun yang amat bisa yang mampu membunuh pemikiran dan aqidah seorang Islam. Sesungguhnya fahaman dan ideologi kafir hanyalah dari pemikiran yang tidak terpimpin yang semata-mata berlandaskan hawa nafsu.

Oleh itu saya menyeru para pembaca sekalian, jika benar kita percaya Al-Quran dan Sunnah satu kebenaran, kita perlu bersatu menggembling tenaga dan idea untuk menyemarakkan perjuangan sunnah. Kita perlu bersatu dan menggunakan segala kelebihan dan kepakaran yang ada untuk menyumbang kepada memartabatkan syiar Allah. Saya difahamkan masyarakat sunnah terdiri daripada pelbagai golongan professional, kita mempunyai segala kelebihan dan kekuatan tapi disebabkan kita tidak bersatu, kekuatan kita berserakan di mana akibatnya musuh-musuh Islam semakin berleluasa. Dalam surah As-Sajdah ayat 33 [41:33] Allah berfirman:

وَمَنْ اَحْسَنُ قَوْلاً مِمَّنْ دَعَا اِلَى اللهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ اِنَّنِيْ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
Bermaksud:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Sebagai penutup tajuk ini, renungkanlah firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 20 [57:20]:

اِعْلَمُوْا اَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِيْنَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِيْ الأمْوَالِ وَالأوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ اَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَىهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَفِيْ الأخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا اِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Bermaksud:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya hidup di dunia hanya gurauan, permainan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak-anak. Umpama demikian itu seperti air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir kerana tumbuh-tumbuhannya kemudian ia menjadi kering lalu engkau lihat ia menjadi kuning kemudian menjadi lumat (hancur) dan di akhirat siksa yang keras (untuk orang kafir) dan ampunan dan keredhaan daripada Allah (untuk orang mukmin). Hidup di dunia tidak lain hanya kesenangan yang palsu.

Walau apa jua taraf atau kedudukan kita di dunia ini jangan jadikan ia penghalang kepada berjuang di jalan Allah dan janganlah ia menjadi satu perbezaan sesama kita sesungguhnya manusia itu yang mulia di sisi Allah hanya yang bertaqwa. Al-Hujuraat ayat 13

اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ اَتْقَاكُمْ

Tuesday, September 7, 2010

ADAB MENYAMBUT HARI RAYA MENURUT AS-SUNNAH

ADAB MENYAMBUT HARI RAYA MENURUT AS-SUNNAH
sumber: koleksi teks daripada kuliah mingguan Persatuan Al-Islah, Perlis.


Apabila datang atau menjelang hari raya, umat Islam pun menyambutnya dengan suasana yang meriah dengan berbagai-bagai acara yang disediakan atau dianjurkan. Maka adalah sangat penting bagi kita mendalami atau mempelajari adab/cara yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. dalam menyambut kedatangan hari raya agar kita berada di dalam batas batas yang diizinkan oleh syara’. Alangkah ruginya setelah sebulan kita berpuasa, bertarawih, berwitir dan mengerjakan berbagai amal soleh dalam rangka membina sifat seorang mukmin sejati, tiba tiba bila sampai hari raya kita menyambutnya dengan cara yang bertentangan dengan batas batas syara’. Firman Allah :

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى
“Sesungguhnya telah memperolehi kemenangan orang yang mensucikan diri dari dosa-dosa dan maksiat dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.”
Surah Al-A'la ayat 14-15 [87:14-15].

1. BERPAKAIAN YANG TERBAIK
Untuk melakukan amalan yang secucuk dengan As-Sunnah di dalam menyambut hari raya ini hendaklah kita berpandukan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kita mulakan dengan menyediakan pakaian yang bagus atau terbaik menurut kemampuan kita. Ja’far ibn Muhamad r.a. menerangkan :

اِنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ يَلْبَسُ بُرْدَ حِبْرَةٍ فِيْ كُلِّ عِيْدٍ
“Bahawa Nabi saw. memakai burdah hibrah (kain penutup badan buatan Yaman) pada tiap-tiap hari raya.” Riwayat Asy-Syafie ; Al-Muntaqa II : 36, diriwayatkan juga oleh Al-Baghawy dalam syarah As-Sunnah dan diriwayatkan juga oleh Ath-Thabaranie.

Menyatakan bahawa disunnahkan kita memakai pakaian yang baik, elok di hari raya, janganlah kita memakai pakaian yang ala kadar sedangkan kita berkemampuan mencari pakaian yang lebih baik. Dari Ummu Athiah ia menceritakan tentang wanita yang tidak ada pakaian jilbab untuk dipakai pada hari raya lalu bersabda Rasulullah saw.:

....... لِتُلْبِهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
“….. Hendaklah kawannya memberi pakai akan jilbabnya (baju panjangnya).”
Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lainnya.

Alangkah baiknya bagi yang berkemampuan mereka membeli pakaian yang baru lalu diberikan kepada jiran atau anak-anak jiran yang tidak berkemampuan agar mereka dapat berpakaian yang baik di hari raya malah ianya adalah satu sedekah yang sememangnya sesuai dengan bulan Ramadhan yang menganjurkan umat Islam bersifat suka untuk bersedekah sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.:

كَانَ رَسُوْلُ الله ص اَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ اَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِيْ رَمَضَانَ .......
“Rasulullah saw. adalah orang yang paling dermawan dan kedermawanannya itu sangat menonjol di bulan Ramadhan…” Hadits Shahih Riwayat Bukhari dan Muslim.

Berkata Ibnul Qaiyim : “Pada kedua hari raya itu, Rasulullah saw. biasa mengenakan pakaian yang terbaik, dan ada sepasang pakaian beliau yang khusus digunakan pada solat hari raya dan solat Jumaat.” Fikih Sunnah jilid II, m.s. 280, Bab Shalat Dua Hari Raya.
Elakkanlah dari melampaui batas dengan membeli berpasang pasang pakaian atau menyambut ‘Ied dengan menukar langsir, kerusi baru, katil baru dan lainnya sedangkan ianya masih elok dan boleh digunakan, kerana lebihan wang yang ada itu adalah lebih baik di gunakan ke jalan Allah dengan cara yang sepatutnya. Tidaklah Rasulullah saw. mencontohkan sunnah dengan cara berlebih-lebihan di dalam menyambut ‘Ied.

Bermula dari pagi raya itu menurut Ibnu Qudamah adalah disukai kita membersihkan diri dan memakai pakaian yang bagus yang kita miliki, memakai bau-bauan seperti keadaan kita pada hari Jumaat. Rujuk Koleksi Hadis Hadis Hukum 5, m.s. 202. Iaitu Ibnu Qudamah mengqiyaskan perbuatan membersihkan diri/mandi di pagi hari raya itu dari cara yang diamalkan pada hari Jumaat. Bagi yang berhadas kerana berjima’ (bersetubuh) pada malamnya itu maka tetaplah ia perlu mandi di pagi hari raya, adapun bagi yang tidak berhadas tidaklah saya bertemu larangan untuk mandi di pagi hari raya (walaupun tidak diperoleh pengamalan sunnah tentang mandi di pagi raya dari hadits yang sahih), cuma perbuatan mandi itu tidak dapat saya nyatakan dengan secara tegas bahawa ianya sunnat kerana tidaklah ditemui dalam pencarian saya keterangan yang sahih dan jelas daripada Rasulullah saw melainkan ianya dari pengamalan Ibnu Umar, seorang sahabat besar. Disebut dalam sepotong riwayat Imam Malik:

اِنَّ عَبْدَ الله بْن عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ اَنْ يَغْدُوَ اِلَى الْمُصَلَّى
Bahawa Ibnu Umar selalu mandi pada Hari Raya Fithri sebelum pergi ke mushalla

Namun demikian, ianya (mandi di pagi raya) tetap boleh dilakukan setidak tidaknya sebagai persiapan membersihkan diri atau paling kurang ia menjadi sebagai amalan harian biasa (duniawi) yang tidak terlarang. Dari Fikih Sunnah I – Sayid Sabiq (terjemahan), m.s.: 122-123, menjelaskan tidak ada satu hadits yang sah mengenai hal mandi di pagi hari raya. Disebut dalam Al-Badrul Munir : ‘Semua hadits tentang mandi pada kedua hari raya, lemah.’ Terdapat sebahagian ulama yang menyatakannya sebagai sunnat dengan mengqiyaskan Hari Raya Fithri itu dengan hari Jumaat di mana ada yang mengambil faham bahawa hari Jumaat itu juga dipandang sebagai hari raya.
الله اعلم

2. MEMAKAI BAU-BAUAN BAGI LELAKI
Sebahagian ulama menyatakan baik bagi kaum lelaki memakai bau-bauan pada hari raya dengan mengqiyaskan dari hadits yang banyak dan sah tentang persedian untuk ke solat Jumaat dan hadits yang bersangkutan wangian yang umum, sebagaimana dijelaskan oleh hadits dari Salman Al-Farisi, ia berkata bahawa Nabi saw. bersabda ::

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَيَتَطَهَّرُ بِمَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ اَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيْبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَرُوْحُ اِلَى الْمَسْجِدِ .....
“Tidaklah seorang laki laki mandi pada hari Jumaat, dan membersihkan badannya menurut kemampuannya, lalu memakai minyak atau mengenakan wangi wangian yang ada di rumahnya – kemudian pergi ke masjid…”
Riwayat Ahmad dan Bukhari.

Hadits dari Abu Said r.a. dari Nabi saw., sabdanya :

عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَيَلْبَسُ مِنْ صَالِحِ ثِيَابِهِ وَاِنْ كَانَ لَهُ طِيْبٌ مَسَّ مِنْهُ
“Setiap orang Muslim hendaklah mandi pada hari Jumaat mengenakan pakaiannya yang terbaik dan kalau punya, hendaklah pula memakai harum haruman.”
Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.

Manakala hadits di dalam bab memakai wangian untuk ke solat ‘Ied dari Hasan as-Shibti, katanya :

اَمَرَنَا رَسُوْلُ الله ص فِي الْعِيْدَيْنِ اَنْ نَلْبَسَ اَجْوَدَ مَا نَجِدُ وَاَنْ نَتَطَيَّبَ بِاَجْوَدِ مَا نَجِدُ وَاَنْ نُضَحِّيَ بِأَثْمَنِ مَا نَجِدُ
“Rasulullah saw. memerintahkan kami agar pada hari raya itu mengenakan pakaian yang terbagus, memakai wangi wangian yang terbaik, dan bekurban dengan haiwan yang paling berharga.” Hadits Riwayat Hakim, dalam sanadnya terdapat Ishak bin Barzakh yang dianggap dhaif oleh Al-Azdi. Hadits ini tidak dapat saya cari darjatnya yang jelas melainkan ia bermasalah.

Tetapi terdapat hadits yang bersifat umum dalam pemakaian wangian seperti hadits di bawah ini :

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ص: مَنْ عُرِضَ عَلَيْهِ طِيْبٌ فَلاَ يَرُدَّهُ فَاِنَّهُ خَفِيْفُ الْمَحْمَلِ طَيِّبُ الرَّائِحَةِ
Dari Abu Hurairah r.a. berkata :Telah bersabda Rasulullah saw: “Barangsiapa diberikan wangian janganlah ia menolaknya, kerana wangi wangian itu ringan dibawa dan harum baunya.”
Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ص: اِنَّ طِيْبَ الرِّجَالِ مَا ظَهَرَ رِيْحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَطِيْبَ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيْحُهُ
Dari Abu Hurairah r.a. berkata : “Rasulullah saw. bersabda : Wangian yang sangat baik dipakai kaum lelaki yang semerbak baunya tidak menjolok warnanya,. Dan wangian yang sangat baik dipakai perempuan, yang menjolok warnanya dan tidak semerbak benar baunya (tidak terlalu menikam keharumannya).”
Riwayat An-Nasai dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi hadits ini hasan.

Memandangkan hadits yang banyak dari bab memakai wangian semasa mempersiapkan diri kepada solat Jumaat dan hadits tentang disukai oleh Rasulullah saw. memakai wangi wangian yang bersifat umum maka memakai wangian kepada majlis solat ‘Ied bagi lelaki itu tiadalah tegahan malah ianya termasuklah dalam mempersiapkan diri dan berada di dalam keadaan yang menyenangkan.
الله اعلم

Tetapi adalah dilarang bagi para wanita memakai bau bauan/wangian apabila keluar dari rumah atau pun keluar pada hari raya beralasankan hadits dari Abu Hurairah r.a., ia berkata Abul Qasim saw.(Rasulullah saw.) bersabda :

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ لاِمْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ لِهَذَا الْمَسْجِدِ حَتَّى تَرْجِعَ فَتَغْتَسِلَ غُسْلَهَا مِنَ الْجَنَابَةِ
“Tidak diterima solat seorang wanita yang memakai minyak wangi untuk ke masjid hingga ia kembali (ke rumahnya) lalu mandi sebagaimana ia mandi janabah.”
Hadits sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud (4174), Ahmad (II/246), Ibnu Khuzaimah (1682) dan Baihaqi (III/133). Rujukan Mausuu’ah al-Manaahiyyiys Syar’iyyah fii Shahiihis Sunnah an-Nabawiyyah-Syaikh Salim bin ‘Ied al-Hilali.

Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata Rasulullah bersabda :

اِذَا اسْتَعْطَرَتْ الْمَرْأَةُ فَمَرَّتْ عَلَى الْقَوْمِ لِيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ وَكُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ
“Jika seorang wanita mengenakan minyak wangi lalu ia lewat di hadapan lelaki hingga mereka mencium baunya, maka sesungguhnya ia telah berzina dan setiap mata yang memandangnya telah berzina.” Hadits hasan riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah.

Dan ada lain lain hadits yang menjelaskan tentang larangan bagi wanita memakai wangian atau bauan, oleh yang demikian elakkanlah diri sebagai wanita Islam dari melakukan perkara yang terlarang, kerana yang demikian itu tiadalah sebarang manfaat melainkan orang yang melakukan perkara yang telah jelas ia tahu terlarang itu, telah melakukan satu dosa. Pakailah wangian itu di rumah semasa bersama suami kerana yang demikian itu adalah cara yang terpelihara dari dosa dan fitnah.

Para ulama sependapat tentang disukai wanita memakai wangian di rumah tangganya, di hadapan suaminya, dan tidak menyukai mereka memakai wangian bila berjalan di luar rumah, untuk menolak fitnah. Rujukan KOLEKSI HADIS HADIS HUKUM I oleh T.M. Hasbi, m.s. 220-221.

3. MAKAN DULU SEBELUM SOLAT IE'DIL FITHRI
Adalah disunnahkan kita makan terlebih dahulu sebelum hadir menunaikan solat Ie'dil Fithri dan menangguhkan makan pada sebelah pagi solat Ie'dil Adha sampai kembali dari solatnya. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadits dari Anas, katanya :

كَانَ النَّبِيُّ ص لاَ يَغْدُوْ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
“Pada waktu Ie'dil Fithri Rasulullah saw. tidak berangkat ke tempat solat sebelum memakan beberapa buah kurma dengan jumlah yang ganjil.” Riwayat Ahmad dan Bukhari.

Dan dari Buraidah, katanya :

كَانَ النَّبِيُّ ص لاَ يَغْدُوْ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ وَلاَ يَأْكُلُ يَوْمَ الأَضْحَى حَتَّى يَرْجِعَ
“Nabi saw. tidak berangkat pada waktu Ie'dil Fithri sebelum makan dahulu, dan beliau saw tidak makan pada waktu Ie'dil Adha sehingga beliau pulang.”
Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah.

4. BERJALAN KAKI KE TEMPAT SOLAT ‘IED
Adalah disunnahkan berjalan kaki ke tempat solat, ini beralasankan dari hadits Ali bin Abi Thalib r.a., ia berkata :

مِنَ السُّنَّةِ اَنْ يَخْرُجَ اِلَى الْعِيْدِ مَاشِيًا وَاَنْ يَأْكُلَ شَيْئًا قَبْلَ اَنْ يَخْرُجَ
“Dari Sunnah Nabi, ialah : keluar ke majlis hari raya sambil berjalan kaki dan makan sesuatu sebelum pergi ‘Ied (solat hari raya) itu.” Riwayat Tirmizi. Hadits ini hasan menurut Tirmidzi dan diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah. Penilaian Imam Tirmizi ini masih perlu ditinjau kerana terdapat pada sanadnya Al-Harits Al-A'war, seorang yang dituduh dusta walaupun sebahagian ahli hadits mempercayainya.

Walaupun hadits di atas pada satu jalurnya terdapat kecacatan, namun pengamalannya masih boleh dilakukan kerana terdapat sokongan dari riwayat-riwayat lainnya. Sepotong hadits umum daripada Abu Hurairah yang disepakati oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah saw bersabda: "Apabila kamu datang ke tempat solat maka datanglah dengan berjalan kaki." Bagi yang mampu berjalan ke tempat solat ‘Ied maka inilah pilihan yang terbaik untuk dilakukan menurut As-Sunnah, tetapi tidaklah dilarang bagi yang uzur atau orang yang tinggal jauh dari kawasan solat dikerjakan datang dengan berkenderaan. Dan adalah disunnahkan kita pulang atau balik dari solat ‘Ied dengan jalan yang berbeza dari jalan yang kita mendatanginya. Dari Jabir r.a.:

كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيْقَ
“Bahawa Nabi saw. pada waktu hari raya, menempuh jalan yang berlainan.”
Riwayat Al-Bukhari.

Dan dari Abu Hurairah r.a., katanya :

كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا خَرَجَ اِلَى الْعِيْدِ يَرْجِعُ فِيْ غَيْرِ الطَّرِيْقِ الَّذِيْ خَرَجَ فِيْهِ
“Apabila Nabi saw. pergi solat hari raya, maka ketika pulang beliau menempuh jalan yang berlainan dengan di waktu perginya.” Riwayat Ahmad, Muslim dan Tirmidzi.

PARA WANITA DAN AHLI KELUARGA KELUAR KE TEMPAT SOLAT ‘IED
Adalah di sunnahkan para wanita, baik yang janda, isteri orang, anak gadis tua dan muda keluar ke tempat solat ‘Ied. Ini berdasarkan hadits dari Ummu ‘Athiah, katanya :

قَالَتْ اُمُّ عَطِيَّةَ: كُنَّا نُؤْمَرُ اَنْ نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيْرِهِنَّ
Kata Ummu ‘Athiah : “Kami diperintahkan supaya membawa keluar wanita wanita yang berhaid dan mereka bertakbir bersama sama dengan takbir kaum wanita.”
Riwayat Bukhari.

Ibnu Abbas meriwayatkan katanya :

كَانَ يَأْمُرُ بَنَاتِهِ اَنْ يَخْرُجْنَ فِي الْعِيْدَيْنِ
“Adalah Rasulullah saw. menyuruh puteri puterinya supaya keluar pada dua hari raya.”
Riwayat Ahmad.

Dan bagi wanita yang berhaid tempatnya di majlis ‘Ied, jika di Mushalla (kawasan tanah lapang untuk didirikan solat ‘Ied) mereka duduk di belakang jamaah/belakang orang ramai yang bersolat di majlis ‘Ied dan mereka bertakbir bersama sama orang ramai atau bertakbir bersama takbir kaum wanita. Dari Ummu ‘Athiah :

وَالْحَيَّضَ يَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ يُكَبِّرْنَ مَعَ النَّاسِ
“Wanita wanita yang berhaid duduk di belakang orang ramai dan ikut bertakbir bersama sama dengan orang ramai.” Riwayat Muslim dan Abu Daud.

Dan jika di masjid, wanita yang berhaid itu berada di belakang jamaah solat ‘Ied wanita. Tentang wanita yang berhaid itu bolehkah ia duduk di dalam masjid ? Maka masalah ini ada perbicaraan yang agak panjang dari para ulama, ada yang berpandangan tidak boleh. Ini beralasankan hadits Ummu Salamah r.a.:

دَخَلَ رَسُوْلُ الله ص صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ: اِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِحَائِضٍ وَلاَ لِجُنُبٍ
Rasulullah saw. masuk ke halaman masjid dan berseru sekeras suaranya : “Sesungguhnya masjid tidak dibolehkan bagi orang haid maupun orang yang berjunub.”
H.R. Ibnu Majah dan Thabranie. Menurut pentahqiqan pengarang Tahzibus Sunan bahawa menurut pendapat Ibnu Hazm, hadits ini dinyatakan majhul (ada perawi yang tidak dikenali) maka ianya tidak dapat dijadikan alasan. Malah disebut dalam Az-Zawaa'id bahawa sanad hadits ini dicela oleh para ahli hadits.

Dan ada pula ulama yang mengambil pandangan tidak boleh duduk atau menetap di dalam masjid tetapi dibenarkan sekadar masuk atau melaluinya sebagaimana riwayat dari Aisyah r.a.:

قَالَ لِيْ رَسُوْلُ الله ص: نَاوِلِيْنِيْ الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ. فَقُلْتُ: اِنِّيْ حَائِضٌ فَقَالَ: اِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِيْ يَدِكِ
Rasulullah saw. telah bersabda kepadaku : “Ambilkan tikar solat buatku dari masjid !” Jawabku : “Aku haid” Maka ujarnya : “Haidmu itu bukan terletak di tanganmu.”
Riwayat Jamaah kecuali Bukhari.

Walaupun begitu ada sebahagian ulama lainnya memandang wanita berhaid boleh duduk di dalam masjid atau tidak ada halangan untuk berada di dalamnya. Ini beralasankan bahawa hadits hadits di dalam bab melarang wanita memasuki masjid itu berdarjat lemah (dhaif), dan haid itu tidak boleh disamakan dengan junub. Haid itu adalah satu perkara yang berlaku dengan ketetapan Allah (fitrah), manakala junub itu berlaku dengan izin Allah dengan perbuatan manusia itu sendiri. Sepotong hadits dari Ummu Athiyah yang berbunyi :

اُمِرْنَا اَنْ نُخْرِجَ الْعَوَاتِقَ وَالْحُيَّضَ فِي الْعِيْدَيْنِ يَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُسْلِمِيْنَ وَيَعْتَزِلُ الْحُيَّضُ الْمُصَلِّيَ
“Kami di perintahkan untuk mengajak (pergi ke tanah lapang-mushalla) semua gadis dan wanita yang berhalangan di dua hari raya (supaya) mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin. Cuma wanita yang sedang berhaid menjauhi tempat solat.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Lafaz ويعتزل الحيض المصلي "hendaklah wanita yang berhaid menjauhi tempat solat" ini diperjelaskan lagi melalui riwayat yang sabit di sisi Bukhari dengan lafaz
وليجلسن في مؤخرة الصفوف iaitu hendaklah mereka yang berhaid itu duduk di saf yang akhir di mana illah (sebab) untuk yang demikian agar tidak terputusnya saf apabila wanita yang bersolat mendirikan solat.
Rujuk فتاوى المرأة المسلمة كل ما يهم المرأة المسلمة في شئون الدين والدنيا dalam Kitabus-Solat pada Bab Adakah wanita yang berhaid boleh duduk di masjid?

Yang jelas terlarang adalah berjunub, sebagaiman firman Allah : Surah An-Nisa’ ayat 43 [4:43]

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تَقْرَبُوْا الصَّلاَةَ وَاَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوْا مَا تَقُوْلُوْنَ وَلاَ جُنُبًا اِلاَّ عَابِرِى سَبِيْلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوْا
Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu hampiri solat ketika kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu ucapkan, begitupun dalam keadaan junub kecuali bila kamu hanya melaluinya saja sehingga kamu mandi.


BACAAN TAKBIR HARI RAYA
Bacaan takbir raya sebagaimana dijelaskan di dalam Kitab Fikih Sunnah jilid II (terjemahan), m.s.296. : Mengenai lafaz takbir, maka banyak macam ragamnya, tetapi keterangan yang paling sah menjelaskan soal ini, ialah yang diriwayatkan oleh Abdul Razaq dari Salman dengan sanad yang sahih, katanya : “Bertakbirlah dengan lafaz:

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar.”

Dan di terima pula dari Umar dan Ibnu Mas'ud bahawa lafaznya adalah :

اَللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ اَللهُ اَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allahlah segala puji.”
Fikih Sunnah II (terjemahan), m.s. 297, Bab Shalat Dua Hari Raya – Bertakbir pada Hari Raya.

Takbir raya ini boleh dibaca sejak pagi raya dan adalah disunnahkan membacanya semasa dalam perjalanan ke masjid. Ali bin Abi Thalib r.a. berkata :

اِنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ اِذَا غَدَا اِلَى الْمُصَلَّى كَبَّرَ فَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيْرِ
Bahawasanya Ibnu Umar apabila pergi ke mushalla membaca takbir dengan suara nyaring. Riwayat Asy-Syafie. "Dalam suatu riwayat Asy-Syafie yang berbunyi: Ibnu Umar pergi ke mushalla pada hari raya puasa apabila telah terbit matahari. Beliau bertakbir sejak dari rumahnya sehingga sampai ke mushalla. Di mushalla beliau terus bertakbir sehingga datang imam. Apabila imam telah datang barulah takbir beliau hentikan." – Al-Hafizh dalam At-Talkhish berkata: Hadits ini diriwayatkan juga oleh Al-Hakim dan Al-Baihaqi dari hadits Ibnu Umar dari beberapa jalan secara marfu' dan mauquf.
Sila rujuk KOLEKSI HADIS HADIS HUKUM 5 oleh T.M.Hasbi, m.s.: 203-205.

SOLAT HARI RAYA
Waktu solat hari raya menurut hadits hadits yang sahih adalah dilakukan di waktu pagi dan hadits hadits yang menetapkan solat Ie'dil Fithri dilewatkan sedikit dari waktu solat Ie'dil Adha dengan ukuran sepenggalah dan dua penggalah dari takhrij Ahmad Hasan Al-Banna’ dari Judub, adalah hadits maudhu’. Ini kerana terdapat dalam sanadnya seorang yang bernama Mu’alla bin Hilal yang disepakati para imam pengkritik hadits akan kebohangannya. Sila rujuk Tamamul-Minnah hal.347, Al-Irwa’ 3/101-102.

Demikian juga hadits riwayat Asy-Syafie dalam bab ini adalah mursal dan tersangat dhaif untuk dibuat alasan. Yang nyata Rasulullah saw. bersolat hari raya Ie'dil Fithri dan Ie'dil Adha di pagi hari sebagaimana Ibnu Umar r.a. meriwayatkan, katanya :

اَنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ يَغْدُوْ اِلَى الْمُصَلَّى فِيْ يَوْمِ الْعِيْدِ وَالْعَنَزَةُ تُحْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ فَاِذَا بَلَغَ الْمُصَلَّى نُصِبَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ فَيُصَلِّيْ اِلَيْهَا وَذَلِكَ اَنَّ الْمُصَلِّيْ كَانَ فَضَاءً لَيْسَ فِيْهِ شَيْءٌ يَسْتُرُ بِهِ
“Adalah Rasulullah saw. keluar pagi hari ke mushalla pada hari raya dan sebatang tongkat di bawa di depannya. Apabila beliau sampai ke mushalla, dicacaknya tongkat itu di hadapannya dan beliau solat ke arahnya. Demikian itu kerana mushalla itu adalah tanah lapang yang tiada sesuatu yang dapat di jadikan sutrah.”
Riwayat Ibnu Majah

SATU KHUTHBAH SAHAJA
Solat ‘Ied itu adalah dilakukan dengan satu khuthbah sahaja iaitu setelah selesai solat dua rakaat ‘Ied. Ini beralasankan hadits dari Abdullah bin Umar r.a. ia berkata :

كَانَ رَسُوْلُ الله ص وَاَبُوْ بَكْرٍ وَعُمَرُ يُصَلُّوْنَ الْعِيْدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ
“Adalah Rasulullah saw., Abu Bakar dan Umar mengerjakan solat dua hari raya sebelum khuthbah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Abbas r.a. berkata :

شَهِدْتُ الْعِيْدَ مَعَ النَّبِيُّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ كُلُّهُمْ يُصَلُّوْنَ قَبْلَ الْخُطْبَةِ
“Saya ikut serta mengerjakan solat hari raya bersama sama dengan Nabi saw., Abu Bakar, Umar dan Uthman, semua mereka mengerjakan solat sebelum khuthbah.”
Riwayat Jamaah selain At-Tirmidzi.

Tidak pun dinyatakan bahawa khutbah itu dibuat dua bahagian sebagaimana solat Jumaat dan diperjelaskan lagi oleh hadits dari Abu Said Al-Khudri, ia berkata :

كَانَ النَّبِيُّ ص يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى اِلَى الْمُصَلَّى وَاَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُوْمُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوْسٌ عَلَى صُفُوْفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ وَيُوْصِيْهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ وَاِنْ كَانَ يُرِيْدُ اَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا اَوْ يَأْمُرُ بِشَيْءٍ اَمَرَ بِهِ ثُمَّ يَنْصَرِفُ
“Adalah Nabi saw. keluar ke Mushalla pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Yang mula mula dilakukan oleh beliau ialah solat. Kemudian setelah selesai solat beliau berpaling lalu bangun mengadap orang ramai yang sedang duduk di saf saf mereka. Beliau memberi nasihat kepada mereka, berpesan kepada mereka dan menyuruh mereka. Jika beliau hendak mengirim tentera atau hendak menyuruh mereka mengenai sesuatu beliau menyuruhnya dan kemudian beliau pulang.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tetapi khuthbah di masa sekarang ini kebanyakannya dibahagikan kepada dua bahagian, amalan ini timbul dari kerana berpegang dengan hadits hadits yang dhaif (lemah).
Di antara hadits yang dhaif itu adalah dari Ubaidullah bin Utbah, katanya :

السُّنَّةُ اَنْ يَخْطُبُ الاِمَامُ فِي الْعِيْدَيْنِ خُطْبَتَيْنِ يُفَصِّلُ بَيْنَهُمَا بِجُلُوْسٍ
Sunnah menghendaki supaya imam membaca dua khuthbah dalam solat hari raya yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.” Riwayat Asy-Syafie.

Hadits ini tidak boleh menjadi hujjah kerana Ubaidullah bin Utbah adalah dari kalangan tabiin. Dan apabila tabiin menyatakan ‘Sunnah menghendaki begini’ atau ‘Ini sunnah’ sedangkan ianya tidak bersambung kepada Rasulullah saw., maka menurut ilmu Ushul perkataan tabiin seperti ini tidak boleh dijadikan dalil bahawa itu adalah sunnah Rasulullah saw.

Hadits lainnya :

كَانَ النَّبِيُّ ص يُكَبِّرُ بَيْنَ اَضْعَافِ الْخُطْبَةِ يُكْثِرُ التَّكْبِيْرِ فِيْ خُطْبَةِ الْعِيْدَيْنِ
“Adalah Nabi saw. bertakbir di antara bahagian bahagian khutbah, beliau memperbanyakkan takbir dalam khutbah dua hari raya.” Riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim dan Al-Baihaqi. Hadits ini dhaif (lemah) kerana di dalam haditsnya terdapat seorang yang bernama Abdur-Rahman bin Saad seorang yang dhaif. Dan ada hadits lainnya yang semuanya tidak terlepas dari kelemahan dan tidak dapat dijadikan dalil kerana telah ada hadits yang sahih yang menjelaskan tentang Rasulullah saw. tidak mengerjakan dua khutbah pada solat ‘Ied. Maka jalan yang selamat adalah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. sebagaimana sabdanya :

اَمَّا بَعْدُ فَاِنَّ اَصْدَقَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ وَاِنَّ اَفْضَلَ الْهَدْىِ هَدْىُ مُحَمَّدٍ وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ
“Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya sebenar benar kalam itu ialah Kitabullah dan seutama utama pertunjuk itu ialah petunjuk Nabi Muhammad, dan sejelek jelek perkara ialah perkara perkara yang di ada adakan, dan tiap tiap yang di ada adakan itu adalah bid’ah dan tiap tiap bid’ah itu adalah sesat dan tiap tiap kesesatan itu dalam neraka.” Riwayat Muslim, Ibnu Majah, At-Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan An-Nasai.

LARANGAN DALAM MENYAMBUT ‘IED
1. Janganlah sambutan itu dilakukan dengan suasana riak (ingin menunjuk nunjuk), seperti berlawan siapa yang membuat kuih banyak, berlawan menghias rumah untuk bersaing dengan jiran dan lain lain perbuatan yang dikerjakan dengan niat membesar diri atau menunjuk bukan kerana Allah. Firman Allah :

وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ ...
Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kepadaNya …. Surah Al-Bayyinah ayat 5

Bersabda Rasulullah saw:

قَالَ اللهُ تَعَالَى: اَنَا اَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً اَشْرَكَ فِيْهِ مَعِيْ غَيْرِيْ تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ
Allah berfirman: Aku terkaya dari semua sekutu (tidak menghendaki sekutu), maka barangsiapa yang mengerjakan satu amalan ia mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang lain, Aku tinggalkan amalan itu dan sekutunya yang lain itu. Riwayat Muslim

2. Jangan menyambut ‘Ied itu dengan cara yang menyerupai orang kafir dengan memasang pelita atau lampu berwarna warni menghiasi malam dan siangnya dengan bunga api, meriam buluh dan mercun. Sesungguhnya Islam melarang persamaan dengan meniru agama kafir atau menurut jalan orang orang kafir. Firman Allah :

... وَلاَ تُطِعْ مِنْهُمْ ءَاثِمًا اَوْ كَفُوْرًا
“Dan janganlah kamu ikuti orang orang yang berdosa dan orang orang kafir di antara mereka.” Q.S. Al-Insan : 24.

Sabda Rasulullah saw.:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka
Shahih riwayat Ahmad

3. Jangan menjadikan perayaan orang kafir itu perayaan orang Islam dan jangan menjadikan perayaan ‘Ied itu perkongsian perayaan dengan orang kafir.Firman Allah di dalam surah Al Kaafirun ayat 6, yang berbunyi :

لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ
“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Semasa Rasulullah saw. datang ke Madinah, penduduk Madinah telah mempunyai dua hari raya mereka sendiri. Maka bersabda Rasulullah saw. :

قَدْ اَبْدَلَكُمُ اللهُ تَعَالَى بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى
“Allah telah menggantikan kedua hari raya tuan tuan itu dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu hari Fitri dan Adha.” H.R. Nasai dan Ibnu Hibban dengan sanad yang sah.
(dari keratan hadits yang di terima dari Anas).

Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah saw. bersabda :

يَا اَبَا بَكْرٍ اِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيْدًا وَاِنَّ الْيَوْمَ عِيْدُنَا
“Hai Abu Bakar, tiap tiap kaum mempunyai hari raya, dan hari ini adalah hari raya kita.”
Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya berkongsi di dalam urusan agama adalah perbuatan yang tidak di dasari contoh dari As-Sunnah.
الله اعلم

4. Jangan jadikan hari ‘Ied itu hari kebebasan kepada orang Islam sehingga melewati batas Syara’, sehinggakan anak gadis bebas keluar sesuka hati malam dan siangnya tampa muhrimnya, anak lelaki pula dengan majlis sukaria yang bercampur di dalamnya kemaksiatan dan gejala social seperti rempit, minum arak, berjudi, berkaroke dan lain lain budaya liar yang haram dari sudut Syara’. Islam itu telah lengkap dengan segala panduan untuk kita mengamalkan cara hidup yang soleh, firman Allah :

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.”
Q.S. Al-Maidah ayat 48 [5:48]

5. Demikian juga bagi orang dewasa yang lazimnya ingin menghidupkan suasana ‘Ied dengan amalan mulia, pastikan amalan yang di anggap mulia itu adalah amalan yang yang benar dan di redai Allah. Iaitu Amalan yang ada contoh pengamalannya dari Rasulullah saw. Tidaklah bila selesai solat ‘Ied kita lalu menyanyi beramai ramai untuk berselawat dan berjabat tangan. Tidak berjabat tangan dengan anak dara orang atau isteri orang dan sebagainya yang lazimnya berjabat tangan dengan tetamu di hari ‘Ied di anggap sebagai amalan mulia. Tidak ada contoh amalan dari Rasulullah saw. seperti itu dan alasan adat itu tidak boleh menjadi dalil menghalalkan perbuatan yang haram. Firman Allah :

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوْا لَهُمْ مِنَ الدِّيْنِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللهُ
“Apakah mereka mempunyai sekutu sekutu selain Allah yang mensyariatkan kepada mereka dari urusan agama yang tidak di izinkan Allah ?” Q.S. Asy-Syura ayat 21.

Demikian juga membuat majlis Tahlil sebagai kesyukuran dapat menyambut hari raya dengan keadaan yang harmoni/aman itu adalah amalan bid’ah yang nyata. Memulakan majlis jamuan ‘Ied dengan Al-Fatihah atau doa makan beramai ramai terutama yang demikian ini telah menjadi amalan harian seperti di rumah rumah anak yatim atau asrama asrama sekolah agama, semua itu adalah kesesatan yang tidak sepatutnya di lakukan pada hari Ied ataupun pada hari lainnya.

Marilah kita menyambut Ie'dil Fithri dengan cara yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. dan elakkan dari kita melakukan amalan yang bertentangan dengannya. Alangkah ruginya kita setelah sebulan melatih mengawal diri dengan beribadah dan menahan nafsu, tiba tiba di hari pertama iaitu di hari raya kita telah mula melakukan berbagai kebid’ahan dan kemaksiatan. Sesungguhnya bid’ah di dalam urusan agama itu amatlah besar bahayanya dan telah berkata Imam Malik :

مَنِ ابْتَدَعَ فِي الاِسْلاَمِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً فَقَدْ زَعَمَ اَنَّ مُحَمَّدًا خَانَ الرِّسَالَةَ لأَنَّ اللهَ يَقُوْلُ أَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُوْنُ الْيَوْمَ دِيْنًا
“Barangsiapa mengada adakan satu bid’ah dalam Islam yang dipandangnya satu kebaikan (hasanah), maka sesungguhnya ia telah menyangka bahawa Muhammad telah mengkhianati risalah Tuhannya, kerana sesungguhnya Allah telah berfirman : Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. Maka apa apa yang tidak jadi agama pada hari itu tidaklah menjadi agama pada hari ini.”

sumber: koleksi teks daripada kuliah mingguan Persatuan Al-Islah

Wednesday, August 25, 2010

Anakku Disihir Orang


Anakku disihir orang
Oleh ; Ustaz Emran Ahmad

“Anak lelaki saya sudah kena sihir ustaz, dulu dia tak macam ni tetapi sekarang dia sudah berubah semenjak dia berkawan dengan budak perempuan tu.” Demikianlah ayat seorang ibu yang cukup tidak berpuas hati dan merungut kepada saya mengenai perubahan sikap anak lelakinya yang selama ini cukup terkenal dengan sikap taat dan mendengar kata.

Ramai ibubapa hari ini senang membuat kesimpulan bahawa anak-anak mereka telah “dibuat orang” atau “diguna-guna” apabila anak lelaki atau anak perempuan mereka memberontak untuk berkahwin dengan calon pilihan masing-masing.

Ada yang sampai melarikan diri, ada yang berdiam diri, ada yang mogok lapar dan ada pula yang menunjukkan rasa tidak berpuas hati dengan bersikap aneh. Maka tidak hairanlah kenapa pihak ibubapa kerap kali tersilap sangka dengan menganggap bahawa anak mereka itu terkena sihir.

Rupa-rupanya penyakit anak mereka itu bukanlah sihir tetapi cinta.

Allah SWT telah menetapkan fitrah lelaki dan perempuan untuk saling memerlukan oleh yang demikian apabila si anak sudah pun sampai usia dewasa dan waktunya untuk bernikah sudah tiba maka usahlah ditahan-tahan jika tiada alasan yang munasabah.

Masih belajar bukanlah alasan, duda pun bukanlah kecacatan jika calon pilihan si anak gadis kita itu adalah seorang lelaki duda, mereka juga lelaki yang berhak untuk diberi peluang kedua.

Siapakah kita untuk menghalang anak-anak lelaki dan perempuan kita itu daripada bernikah ?

Nikah adalah hak mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan oleh sunnah rasul-Nya.

Ini berdasarkan firman ALLAH S.W.T: “Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang makruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang yang beriman di antara kamu kepada ALLAH dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. ALLAH lebih mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – Surah al-Baqarah: 232.

Abi Sa’id r.a yang berkata bahawa seorang lelaki datang bersama anak perempuannya kepada Nabi s.a.w lalu berkata:“Sesungguhnya anak perempuanku ini enggan dikahwinkan.” Lalu baginda bersabda kepadanya (anak perempuan itu): “Taatlah kepada bapamu.” Maka, perempuan itu menjawab: “Tidak, sehingga engkau memberitahu aku tentang hak suami ke atas isterinya.” Maka, Nabi menjawab pertanyaan itu dengan bersabda: “Hak suami ke atas isterinya ialah sekiranya suami itu mempunyai luka yang berdarah dan bernanah di seluruh badannya kemudian jika dijilat oleh isterinya itu sekalipun, maka belumlah lagi tertunai kewajipan isterinya itu.” Lalu perempuan itu berkata: “Demi jiwa yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, sesungguhnya aku tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Lalu baginda bersabda:
“Janganlah menikahkan mereka (perempuan) kecuali dengan izin mereka.” -[Hadis hasan riwayat Ibnu Abi Syaibah, no. 17116].

Larangan menikahkan anak gadis kecuali dengan izin mereka juga membawa bermaksud bahawa para ibubapa mestilah pula menikahkan anak-anak gadis mereka jika telah diminta.

Hak nikah itu terletak ditangan para gadis itu sendiri dan inilah yang cuba disampaikan oleh hadis.

Menghalang anak-anak daripada bernikah apabila sudah cukup syarat, masa dan sampai keperluan adalah haram kerana ianya merupakan sebuah perbuatan yang zalim dan menghalang fitrah.

Tindakan ibubapa yang menghalang anak-anak daripada bernikah itu mungkin kerana pada pandangan mata si ayah dan si ibu, mereka melihat anak-anak itu masih kecil dan masih terasa sayang untuk dilepaskan pergi berdikari seorang diri.

Tidak mengapa jika si anak terbang belajar ke UK, tidak mengapa jika si anak belayar jauh ke Australia dan India tetapi cukup bimbang sekali mereka itu jika anak-anak berkahwin dan bernikah dengan calon pilihan masing-masing.

Belum cukup umur, belum matang, belum bersedia dan pelbagai lagi belum yang dilihat dan terlihat oleh mereka itu.

Sudah-sudahlah wahai ibu, wahai bapa berikanlah sahaja izin untuk anak itu bernikah.

Malangnya ada sesetengah ibubapa yang bersifat pendendam apabila anak-anak mereka akhirnya bernikah dengan calon pasangan masing-masing dengan cara dan jalan yang tidak direstui oleh si ibubapa. Maka timbullah pula satu kehendak jahat di kotak pemikiran ibubapa tersebut.

Mereka mesti dipisahkan !

Itulah yang kita lihat di kaca TV, sejenis ibubapa yang tidak suka melihat kebahagiaan si anak demi kerana kepuasan hati. Mereka sanggup berusaha memisahkan perkahwinan anak-anak mereka demi untuk memuaskan hati dan membalas dendam dan memberi pengajaran kepada si anak.

Mereka mahu mengucapkan sebuah kata-kata hikmat dengan penuh perasaan.

Biar padan muka mereka!

Itulah yang menyebabkan mereka membuat tuduhan yang pelbagai seperti anak-anak mereka terkena sihir, disihirkan atau derhaka.

Derhakakah si anak jika tidak menuruti nafsu orang tua mereka ?

Sudah pasti tuhan Yang Maha Pemurah akan berkata tidak.

Hidup ini adalah untuk sebuah tujuan yang maha penting iaitu mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa bukanlah untuk tunduk kepada nafsu orang-orang tua.

Bezakan erti sebuah derhaka dengan keengganan menuruti kata-kata yang menyalahi kehendak Agama.

Akhirnya kita akan ketahuan jua dengan melihat melalui mata hati.

Kita akan mengerti selepas itu siapakah yang sebenarnya terkena sihir ? Mereka atau si anak yang tersiksa itu.

“Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya.” (Al-Baqarah : 102)

Nabi Muhammad juga pernah digelar ahli sihir tetapi yang sebenarnya tersesat dan disihirkan oleh syaitan melalui tipudaya ialah orang-orang yang tidak mahu beriman kepada Kitab Allah SWT itu. 
Allahu a'lam

Monday, July 26, 2010

Jemputan Walimatul Urus


Assalamualaikum, saya dengan rasa syukur dan rendah diri atas limpah kurniaNya, menjemput sahabat-sahabat yang dikasihi ,saudara/saudari beserta keluarga ke majlis walimah saya dan adik saya yang akan diadakan seperti maklumat yang dinyatakan di atas...Jika tiada aral dan kesulitan, dengan sukacitanya dijemput hadir..





Wednesday, June 30, 2010

Dilema Dalam Membuktikan Kecintaan Kepada Allah dan Rasulullah

KECINTAAN

Di zaman yang serba canggih  ini manusia mula lalai malah ada yang tersasar tauhidnya sehingga tergolong didalam golongan musyrik.  Ada anak yang sanggup menuntut hak di mahkamah untuk mendapatkan hak pelepasan ibu  bapa supaya ia boleh menjadi kafir.  Ada berita yang memaparkan kisah pemuda Islam sanggup mengistiharkan dirinya kafir semata-mata tidak mahu ditangkap kerana tidak berpuasa, dan yang paling menyedihkan berita tentang sekumpulan orang yang sanggup mengisytihar diri mereka murtad kerana didakwa terlibat dengan ajaran sesat, banyak berita-berita yang dipaparkan oleh media massa di zaman ini. 
            Semua ini jika benar, tidak lain kerana keruntuhan tauhid yang sangat parah yang akibatnya menjadi satu tamparan hebat kepada ummat Islam.  Kecintaan adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan keruntuhan dalam urusan tauhid.  Kecintaan yang tidak berpedomankan Al-Quran dan Hadith akan menyebabkan kekeliruan malah ada tidak memahami tujuan hidup.  Fahaman-fahaman barat yang membiak sejak alam kanak-kanak, alam persekolahan sehingga alam dewasa yang disajikan dengan berbagai dunia kebaratan mula sedikit demi sedikit meracun tauhidnya.
            Banyak antara remaja zaman ini yang lebih mengenali jenama barat, ilmu barat, buku barat, sukan barat, teknologi barat, perayaan barat dan pelbagai lagi yang berunsur barat.  Jika ada yang menolak unsur-unsur barat ini mungkin orang yang mengaku dirinya Islam sendiri yang akan mengatakan kolot atau kuno.  Sikap pak turut ini telah menebal dalam diri ummat kini sehingga untuk menegakkan Islam di kalangan ummat Islam sendiri terpaksa dengan penilaian barat.  Rasulullah SAW telah menjelaskan sikap buruk [pak turut] sebagai peringatan kepada umat Islam agar berwaspada terhadap ancaman barat. 

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِىِّ قَالَ : قَالَ رسول الله : لَتَتَّبِعَنَّ سُنَنَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِيْ حُجْرِ ضَبٍّ لَتَبَعْتُمُوْهُمْ. قُلْنَا : يَا رسول الله اّلْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَمَنْ

Ertinya:

“Sesungguhnya akan terdapat diantara kamu mereka yang akan mengikuti jejak orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikutnya.  Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah! Yahudi dan Nasranikah?”  Baginda bersabda: “Siapa lagi kalau tidak mereka”.  [Hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad]

            Pesanan Rasulullah itu telah terbukti kebenarannya kepada kita hari ini, manusia berlumba-lumba mengejar duniawi, barat adalah ukuran kejayaan zaman ini.  Kejayaan barat yang menjadi kayu pengukur itu menyebabkan umat yang mengaku Islam, banyak yang lupa bahawa jalan yang dianjurkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah untuk mencapai kejayaan, adalah berbeza dari jalan yang dianjurkan oleh barat.  Banyak diantara mereka terkeliru dan tidak dapat lagi membezakan yang mana Islam dan yang mana barat.  Mungkin tidak ke gereja tetapi ke masjid pun tidak.

            Apabila kecintaan seseorang manusia menjadi keliru, hidupnya pun menjadi celaru dan kabur arah tujunya.  Ada masanya ia kelihatan seperti seorang Islam dan diketika lain pula ia menyerupai kafir.  Untuk memahami kecintaan yang sebenar hendaklah kita  mendalami pedoman yang benar iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  Falsafah barat tidak dapat memberikan kita petunjuk jalan yang benar kerana mereka pun tidak benar, keliru malah memutar belitkan kebenaran.  Hanya Islam yang dapat menunjuk kita apa itu kecintaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسٍ : قَالَ رسول الله : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَبِهِنَّ حَلاوَةَ الاِيْمَان اَنْ يَكُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَاَنْ يُحِبَّ الْمَرْأ لايُحِبُّهُ اِلاَّ لِلَّه وَاَنْ يَكْرَهَ اَنْ يَعُوْدَ اِلَى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ اِذْ اَنْقَذَفَ فِيْ النَّارِ
Ertinya:
 
“Tiga hal yang barang siapa didalam dirinya terdapat tiga hal ini, dia pasti menemukan manisnya Iman: (1) Kalau Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selainnya, (2) Kalau dia mencintai seseorang, tidaklah dicintainya melainkan kerana Allah, (3) Dan kalau dia benci kembali kepada kekufuran seperti kebenciannya jika dicampakkan ke dalam api”.  [Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Hadith dari Ibnu Abbas menyatakan:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : مَنْ اَحَبَّ فِيْ الله وَاَبْغَضَ فِيْ الله وَوَالَى فِيْ الله وَعَادَى فِيْ الله فَاِنَّمَا تُنَالُ وِلايَةُ اللهِ بِذَلِكَ – وَلَنْ يَجِدَ عَبْدٌ طَعْمَ الاِيْمَانِ وَاِنْ كَثُرَتْ صَلاتُهُ وَصَوْمُهُ حَتَّى يَكُوْنَ كَذَلِكَ

Ertinya:

“Barangsiapa cinta kerana Allah, benci kerana Allah, berkawan kerana Allah dan memusuhi kerana Allah, maka perwalian [kasih sayang] Allah pasti diperoleh dengan demikian itu.  Dan seorang hamba tidak akan menemukan rasa Iman sekalipun banyak salat dan puasanya sehingga dia berperilaku seperti itu”. 
[Hadith riwayat Ibnu Jarir][Dari kitab Ma’a ‘Aqiedatus Salaf Kitabut Tauhid].

            Kecintaan atau Hubb mempunyai beberapa tingkatan yang dilalui oleh seorang insan iaitu:

1)      Di awali dengan perhubungan, iaitu perhubungan hati dengan apa yang di cintai itu,
2)      Kemudian di ikuti oleh curahan hati atau perasaannya kepada yang di cintai,
3)      Lalu lahirlah rasa pengorbanan kerana perasaan cinta yang mendalam di hatinya,
4)      Lahirlah rasa rindu,
5)      Yang terakhir ialah lahirlah satu bentuk perhambaan diri pada yang dicintai.  Perasaan yang dijelaskan di atas adalah perasaan yang sepatutnya dimiliki oleh kita dalam mencintai Allah.  Apabila perasaan itu kita letakkan kepada selain Nya maka kita akan kecewa kerana selain Allah semuanya di alam ini adalah baharu dan sementara dan bersifat dengan kelemahannya yang tersendiri.  Allah telah menjelaskan kepada kita tentang kecintaan ini dengan firmanNya:

قُلْ اِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَاَبْنَاؤُكُمْ وَاِخْوَانُكُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَاَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا اَحَبَّ اِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتَرَبَّصُوْا حَتَّى يَأتِيَ اللهُ بِاَمْرِهِ

Maksudnya [L.K.B]:

“Katakanlah! Jika ayah-ayahmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu,harta kekayaanmu yang kamu perolehnya, perniagaan yang kamu khuatirkan merugikan serta rumah-rumah tempat tinggal yang kamu senangi itu lebih kamu cintai daripada cintamu kepada Allah dan Rasul serta berjuang di jalan Allah, maka nantikanlah sehingga Allah akan mendatangkan keputusan-Nya”.  [Q.S At-Taubah:24]
           
Janganlah kita salah dalam meletakkan kecintaan kita kerana akibatnya kita akan kehilangan tauhid yang membawa erti terkeluar dari Islam.  Kita akan bincangkan beberapa perkara tentang kecintaan  satu persatu mengikut Al-Quran dan Assunnah.



CINTA KEPADA IBU BAPA


            Banyak bijakpandai yang mendidik anak muda kini tentang taat, kasih,hormat dan lain-lain yang boleh kita istilahkan sebagai kecintaan kepada ibubapa.  Tetapi jarang sekali mereka menjelaskan batas-batas kecintaan tersebut, akibatnya banyaklah remaja masa kini yang berasa terbeban dengan keadaan tersebut.  Sebagai contoh seorang remaja lelaki ingin berkahwin dengan pilihannya seorang gadis yang soleh, patuh kepada Allah dan berakhlak mulia.  Tetapi ibubapanya tidak bersetuju kerana bukan sebangsa dengannya, keluarganya lebih mementingkan keturunan dari Islam.  Lalu anaknya menjadi keliru dan serba salah manakah yang perlu di ikuti.  Ketaatan, kecintaan dan pengorbanan yang di didik semenjak dari kecil menyebabkan pemuda ini terbelit dengan masalah membuat keputusan.  Apa yang perlu di buat ialah pemuda ini hendaklah kembali kepada pedoman yang sebenar iaitu Al-Quran dan Hadith.

            Perlulah di ingatkan bahawa perkahwinan itu adalah Sunnah Rasulullah SAW dan perlaksanaannya mestilah menurut contoh yang di Sunnahkannya.  Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسِ ابْنِ مَالِكٍ اَنَّ النَّبِيَّ حَمِدَ اللهَ وَاَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ : لَكِنِّيْ اَنَا اُصَلِّيْ واَنَامُ وَاَصُوْمُ وَاُفْطِرُ وَاَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ

Ertinya:

“….. tetapi aku salat dan aku tidur dan aku puasa dan aku berbuka dan aku berkahwin perempuan-perempuan,  maka barang siapa tidak suka cara ku dia bukan dari golongan ku”.  [Muttafaq’ Alaihi]

            Bila kita hendak berkahwin, pilihan kita adalah menurut apa yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لاَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Ertinya:
“Orang berkahwin kepada perempuan kerana empat perkara:

1)      Hartanya
2)      Keturunannya
3)      Kecantikkannya
4)      Agamanya

Oleh itu pilihlah perempuan yang mempunyai Agama, [jika tidak] binasalah dua tangan mu”.  [Muttafaq’ Alaihi]

            Maka tidak payah keliru lagi, ketaatan dan kecintaan kepada Allah dan Rasul itulah yang kita dahului.  Islam adalah agama yang memberi kemudahan kepada umatnya, tidak perlulah kita merasa sukar, takut, gusar dalam mencari keredhaan Allah.  Pilihlah perempuan yang soleh, berakhlak mulia iaitu perempuan yang beragama sebagai calon isteri.  Hanya Allah yang berkuasa keatas kita, sumpah, ugutan dan di pulau oleh keluarga, sahabat handai tidak akan berkesan melainkan dengan izin Allah.  Mohonlah perlindungan Yang Maha Agung moga kita selamat di dunia dan akhirat.  Bersifatlah dengan sifat yang lembut kepada kedua orang tua dan tolaklah perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat dari keduanya dengan lembut dan bijaksana.
            Cintailah Allah dan Rasul lebih dari mencintai kedua ibu bapa kita, sesungguhnya itulah jalan yang ditunjukkan oleh Islam kepada kita.

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسٍ اَنَّ رسول الله قَالَ : لا يُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَ

Dari Anas mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak beriman sebelum aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya”.  [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Sekarang ini banyak berlaku ibu bapa yang tersasar keagamaannya ke jalan yang meragukan.  Mereka mementingkan kebendaan yang di anggap satu keutamaan hidup untuk masa depan.  Bagi golongan ini akademik adalah satu jaminan untuk kejayaan di dalam kerjaya dan agama pula, ‘janganlah dilupa langsung’.  Maksud ‘jangan dilupa langsung itu adalah, kalau tidak sembahyang lima waktu sembahyanglah Jumaat seminggu sekali.  Dan belajar baca Al-Quran, sekurang-kurangnya tahu baca Yassin bila ada kematian.  Ini adalah kenyataan di zaman kemajuan yang sedang kita harungi, ibubapa tidak mementingkan ibadah sembahyang lagi kerana mereka pun tidak sembahyang.
Jika anaknya pula sembahyang cukup 5 waktu, warak dan banyak bercakap hal Islam, menegur cara kehidupan lalai mereka, anak itu pula di anggap terpesong atau sesat.  Ibubapa seperti ini di dalam Islam tidak wajib ditaati malah dilarang sama sekali menuruti cara hidup atau pandangan mereka yang telah terpesong itu. 

Firman Allah:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ

Maksudnya [L.K.B]:

“Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahNya bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa siksa yang pedih”. [Q.S. An-Nur, 24:63]

Janganlah disalahkan anak jika anak ingkar perintahnya tetapi tanyalah diri sendiri adakah perintahku ini betul menurut syariat. Sekadar elok atau baik bukanlah alasan untuk anak mengikuti perintah ibubapa kerana Islam bukan agama berbuat yang baik dan tinggalkan yang jahat tetapi agama yang menyeru ummatnya membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah dan RasulNya. Firman Allah :

وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَاتَّقُوْا اللهَ اِنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ

Maksudnya [L.K.B]:

“Apa yang didatangkan [dibawa] oleh Rasul hendaklah kamu ambil dia, dan apa yang di larangnya hendaklah kamu tinggalkan.  Dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah amat bersangatan azabNya”.  [Q.S Al-Hasyar, 59:7]

            Tidak dinamakan makruf tanpa suruhan dan tidak dinamakan mungkar tanpa tegahan.  Semuanya hendaklah menurut syariat Allah. 
Firman Allah:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لا يَعْلَمُوْنَ

Maksudnya [L.K.B.] :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas sesuatu syariat [Al-Quran dan As-sunnah dari urusan [agama] itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu  ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.  [Q.S. Al-Jaatsiyah, 45:18]

            Bagi ibubapa belajarlah memahami Islam dengan sebenarnya, iaitu menurut Al-Quran dan As-Sunnah.  Didiklah diri kita dan anak-anak kita supaya patuh pada satu pedoman sahaja iaitu syariat Allah.  Maka ada satu hukum sahaja di dalam keluarga kita yang patut dan wajib diikuti iaitu hukum Allah.  Apa-apa yang ditegah oleh-Nya itulah yang menjadi tegahan kita sekeluarga., dan apa–apa yang menjadi suruhan-Nyalah yang menjadi amalan keluarga kita.  Semuanya harus tunduk pada ketentuan dan perintah Allah.  DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali dan apabila kita kembali, kembalilah dengan kegembiraan dan kejayaan perjuangan amalan soleh kita di dunia.
           
            Jangan kita adakan pelbagai peraturan, disiplin dan pelbagai falsafah hidup yang tidak berlandaskan syariat kerana ia mungkin menyebabkan anak-anak kita keliru atau terbeban dalam kehidupannya.  Syariat Allah ini pun sudah cukup banyak untuk kita amalkan malah sememangnya tidak terdaya untuk diamalkan kesemuanya, sehingga Rasulullah SAW menyerukan kepada kita beramallah sekadar mana yang upaya.  Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عِمْرَانَ ابْنِ حُصَيْنٍ قَالَ : كَانَتْ بِيْ بَوَاسِيْرُ فَسَاَلْتُ النَّبِيَّ عَنِ الصَّلاةِ فَقَالَ : صَلِّ قَائِمًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Ertinya:

“”Daripada Imran bin Hushain dia berkata : Adalah aku mempunyai buasir maka kutanyakan pada Nabi s.a.w. dari hal solat maka beliau bersabda :Bersalatlah dengan berdiri, jika tidak mampu, maka duduklah, jika tidak mampu juga, dengan berbaringlah”.  [Hadith Riwayat Al-Bukhari]

Dari Jabir bin Abdullah ia berkata adalah Rasulullah s.a.w. bersabda:

فَاِنَّ خَيْرَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الاُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ
Erti :
Maka sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah (Al-Quran) dan sebaik-baik pimpinan ialah pimpinan Muhammad dan sejahat-jahat urusan ialah yang diada-adakan dan setiap bid’ah (yang diada-adakan) itu adalah sesat. [Hadith riwayat Muslim]

Marilah kita mencari jalan benar yang terpimpin menurut syariat dan menjauhkan jalan yang berliku-liku menurut hawa nafsu, akal yang tersasar dan kewajaran yang hanya kita cipta sendiri ( bukan menurut syariat ). Firman Allah:

يَاَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لا يَجْزِى وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلا مَوْلُوْدٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا

Yang bermaksud [L.K.B]:

“Hai manusia, takutlah pada Tuhan kamu dan hendaklah kamu takut kepada satu hari [akhirat] yang[didalamnya] tidak boleh seorang bapa melepaskan [sesuatu apapun] dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apapun dari ayahnya”.  [Q.S Luqman 31:33]

Yang fardu itu wajiblah kepada kita, yang sunat itu kita ikhlaskan, yang haram itu kita tinggalkan.