Photobucket

Wednesday, August 25, 2010

Anakku Disihir Orang


Anakku disihir orang
Oleh ; Ustaz Emran Ahmad

“Anak lelaki saya sudah kena sihir ustaz, dulu dia tak macam ni tetapi sekarang dia sudah berubah semenjak dia berkawan dengan budak perempuan tu.” Demikianlah ayat seorang ibu yang cukup tidak berpuas hati dan merungut kepada saya mengenai perubahan sikap anak lelakinya yang selama ini cukup terkenal dengan sikap taat dan mendengar kata.

Ramai ibubapa hari ini senang membuat kesimpulan bahawa anak-anak mereka telah “dibuat orang” atau “diguna-guna” apabila anak lelaki atau anak perempuan mereka memberontak untuk berkahwin dengan calon pilihan masing-masing.

Ada yang sampai melarikan diri, ada yang berdiam diri, ada yang mogok lapar dan ada pula yang menunjukkan rasa tidak berpuas hati dengan bersikap aneh. Maka tidak hairanlah kenapa pihak ibubapa kerap kali tersilap sangka dengan menganggap bahawa anak mereka itu terkena sihir.

Rupa-rupanya penyakit anak mereka itu bukanlah sihir tetapi cinta.

Allah SWT telah menetapkan fitrah lelaki dan perempuan untuk saling memerlukan oleh yang demikian apabila si anak sudah pun sampai usia dewasa dan waktunya untuk bernikah sudah tiba maka usahlah ditahan-tahan jika tiada alasan yang munasabah.

Masih belajar bukanlah alasan, duda pun bukanlah kecacatan jika calon pilihan si anak gadis kita itu adalah seorang lelaki duda, mereka juga lelaki yang berhak untuk diberi peluang kedua.

Siapakah kita untuk menghalang anak-anak lelaki dan perempuan kita itu daripada bernikah ?

Nikah adalah hak mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan oleh sunnah rasul-Nya.

Ini berdasarkan firman ALLAH S.W.T: “Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang makruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang yang beriman di antara kamu kepada ALLAH dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. ALLAH lebih mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – Surah al-Baqarah: 232.

Abi Sa’id r.a yang berkata bahawa seorang lelaki datang bersama anak perempuannya kepada Nabi s.a.w lalu berkata:“Sesungguhnya anak perempuanku ini enggan dikahwinkan.” Lalu baginda bersabda kepadanya (anak perempuan itu): “Taatlah kepada bapamu.” Maka, perempuan itu menjawab: “Tidak, sehingga engkau memberitahu aku tentang hak suami ke atas isterinya.” Maka, Nabi menjawab pertanyaan itu dengan bersabda: “Hak suami ke atas isterinya ialah sekiranya suami itu mempunyai luka yang berdarah dan bernanah di seluruh badannya kemudian jika dijilat oleh isterinya itu sekalipun, maka belumlah lagi tertunai kewajipan isterinya itu.” Lalu perempuan itu berkata: “Demi jiwa yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, sesungguhnya aku tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Lalu baginda bersabda:
“Janganlah menikahkan mereka (perempuan) kecuali dengan izin mereka.” -[Hadis hasan riwayat Ibnu Abi Syaibah, no. 17116].

Larangan menikahkan anak gadis kecuali dengan izin mereka juga membawa bermaksud bahawa para ibubapa mestilah pula menikahkan anak-anak gadis mereka jika telah diminta.

Hak nikah itu terletak ditangan para gadis itu sendiri dan inilah yang cuba disampaikan oleh hadis.

Menghalang anak-anak daripada bernikah apabila sudah cukup syarat, masa dan sampai keperluan adalah haram kerana ianya merupakan sebuah perbuatan yang zalim dan menghalang fitrah.

Tindakan ibubapa yang menghalang anak-anak daripada bernikah itu mungkin kerana pada pandangan mata si ayah dan si ibu, mereka melihat anak-anak itu masih kecil dan masih terasa sayang untuk dilepaskan pergi berdikari seorang diri.

Tidak mengapa jika si anak terbang belajar ke UK, tidak mengapa jika si anak belayar jauh ke Australia dan India tetapi cukup bimbang sekali mereka itu jika anak-anak berkahwin dan bernikah dengan calon pilihan masing-masing.

Belum cukup umur, belum matang, belum bersedia dan pelbagai lagi belum yang dilihat dan terlihat oleh mereka itu.

Sudah-sudahlah wahai ibu, wahai bapa berikanlah sahaja izin untuk anak itu bernikah.

Malangnya ada sesetengah ibubapa yang bersifat pendendam apabila anak-anak mereka akhirnya bernikah dengan calon pasangan masing-masing dengan cara dan jalan yang tidak direstui oleh si ibubapa. Maka timbullah pula satu kehendak jahat di kotak pemikiran ibubapa tersebut.

Mereka mesti dipisahkan !

Itulah yang kita lihat di kaca TV, sejenis ibubapa yang tidak suka melihat kebahagiaan si anak demi kerana kepuasan hati. Mereka sanggup berusaha memisahkan perkahwinan anak-anak mereka demi untuk memuaskan hati dan membalas dendam dan memberi pengajaran kepada si anak.

Mereka mahu mengucapkan sebuah kata-kata hikmat dengan penuh perasaan.

Biar padan muka mereka!

Itulah yang menyebabkan mereka membuat tuduhan yang pelbagai seperti anak-anak mereka terkena sihir, disihirkan atau derhaka.

Derhakakah si anak jika tidak menuruti nafsu orang tua mereka ?

Sudah pasti tuhan Yang Maha Pemurah akan berkata tidak.

Hidup ini adalah untuk sebuah tujuan yang maha penting iaitu mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa bukanlah untuk tunduk kepada nafsu orang-orang tua.

Bezakan erti sebuah derhaka dengan keengganan menuruti kata-kata yang menyalahi kehendak Agama.

Akhirnya kita akan ketahuan jua dengan melihat melalui mata hati.

Kita akan mengerti selepas itu siapakah yang sebenarnya terkena sihir ? Mereka atau si anak yang tersiksa itu.

“Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya.” (Al-Baqarah : 102)

Nabi Muhammad juga pernah digelar ahli sihir tetapi yang sebenarnya tersesat dan disihirkan oleh syaitan melalui tipudaya ialah orang-orang yang tidak mahu beriman kepada Kitab Allah SWT itu. 
Allahu a'lam