Photobucket

Wednesday, June 30, 2010

Dilema Dalam Membuktikan Kecintaan Kepada Allah dan Rasulullah

KECINTAAN

Di zaman yang serba canggih  ini manusia mula lalai malah ada yang tersasar tauhidnya sehingga tergolong didalam golongan musyrik.  Ada anak yang sanggup menuntut hak di mahkamah untuk mendapatkan hak pelepasan ibu  bapa supaya ia boleh menjadi kafir.  Ada berita yang memaparkan kisah pemuda Islam sanggup mengistiharkan dirinya kafir semata-mata tidak mahu ditangkap kerana tidak berpuasa, dan yang paling menyedihkan berita tentang sekumpulan orang yang sanggup mengisytihar diri mereka murtad kerana didakwa terlibat dengan ajaran sesat, banyak berita-berita yang dipaparkan oleh media massa di zaman ini. 
            Semua ini jika benar, tidak lain kerana keruntuhan tauhid yang sangat parah yang akibatnya menjadi satu tamparan hebat kepada ummat Islam.  Kecintaan adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan keruntuhan dalam urusan tauhid.  Kecintaan yang tidak berpedomankan Al-Quran dan Hadith akan menyebabkan kekeliruan malah ada tidak memahami tujuan hidup.  Fahaman-fahaman barat yang membiak sejak alam kanak-kanak, alam persekolahan sehingga alam dewasa yang disajikan dengan berbagai dunia kebaratan mula sedikit demi sedikit meracun tauhidnya.
            Banyak antara remaja zaman ini yang lebih mengenali jenama barat, ilmu barat, buku barat, sukan barat, teknologi barat, perayaan barat dan pelbagai lagi yang berunsur barat.  Jika ada yang menolak unsur-unsur barat ini mungkin orang yang mengaku dirinya Islam sendiri yang akan mengatakan kolot atau kuno.  Sikap pak turut ini telah menebal dalam diri ummat kini sehingga untuk menegakkan Islam di kalangan ummat Islam sendiri terpaksa dengan penilaian barat.  Rasulullah SAW telah menjelaskan sikap buruk [pak turut] sebagai peringatan kepada umat Islam agar berwaspada terhadap ancaman barat. 

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِىِّ قَالَ : قَالَ رسول الله : لَتَتَّبِعَنَّ سُنَنَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِيْ حُجْرِ ضَبٍّ لَتَبَعْتُمُوْهُمْ. قُلْنَا : يَا رسول الله اّلْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَمَنْ

Ertinya:

“Sesungguhnya akan terdapat diantara kamu mereka yang akan mengikuti jejak orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikutnya.  Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah! Yahudi dan Nasranikah?”  Baginda bersabda: “Siapa lagi kalau tidak mereka”.  [Hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad]

            Pesanan Rasulullah itu telah terbukti kebenarannya kepada kita hari ini, manusia berlumba-lumba mengejar duniawi, barat adalah ukuran kejayaan zaman ini.  Kejayaan barat yang menjadi kayu pengukur itu menyebabkan umat yang mengaku Islam, banyak yang lupa bahawa jalan yang dianjurkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah untuk mencapai kejayaan, adalah berbeza dari jalan yang dianjurkan oleh barat.  Banyak diantara mereka terkeliru dan tidak dapat lagi membezakan yang mana Islam dan yang mana barat.  Mungkin tidak ke gereja tetapi ke masjid pun tidak.

            Apabila kecintaan seseorang manusia menjadi keliru, hidupnya pun menjadi celaru dan kabur arah tujunya.  Ada masanya ia kelihatan seperti seorang Islam dan diketika lain pula ia menyerupai kafir.  Untuk memahami kecintaan yang sebenar hendaklah kita  mendalami pedoman yang benar iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  Falsafah barat tidak dapat memberikan kita petunjuk jalan yang benar kerana mereka pun tidak benar, keliru malah memutar belitkan kebenaran.  Hanya Islam yang dapat menunjuk kita apa itu kecintaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسٍ : قَالَ رسول الله : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَبِهِنَّ حَلاوَةَ الاِيْمَان اَنْ يَكُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَاَنْ يُحِبَّ الْمَرْأ لايُحِبُّهُ اِلاَّ لِلَّه وَاَنْ يَكْرَهَ اَنْ يَعُوْدَ اِلَى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ اِذْ اَنْقَذَفَ فِيْ النَّارِ
Ertinya:
 
“Tiga hal yang barang siapa didalam dirinya terdapat tiga hal ini, dia pasti menemukan manisnya Iman: (1) Kalau Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selainnya, (2) Kalau dia mencintai seseorang, tidaklah dicintainya melainkan kerana Allah, (3) Dan kalau dia benci kembali kepada kekufuran seperti kebenciannya jika dicampakkan ke dalam api”.  [Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Hadith dari Ibnu Abbas menyatakan:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : مَنْ اَحَبَّ فِيْ الله وَاَبْغَضَ فِيْ الله وَوَالَى فِيْ الله وَعَادَى فِيْ الله فَاِنَّمَا تُنَالُ وِلايَةُ اللهِ بِذَلِكَ – وَلَنْ يَجِدَ عَبْدٌ طَعْمَ الاِيْمَانِ وَاِنْ كَثُرَتْ صَلاتُهُ وَصَوْمُهُ حَتَّى يَكُوْنَ كَذَلِكَ

Ertinya:

“Barangsiapa cinta kerana Allah, benci kerana Allah, berkawan kerana Allah dan memusuhi kerana Allah, maka perwalian [kasih sayang] Allah pasti diperoleh dengan demikian itu.  Dan seorang hamba tidak akan menemukan rasa Iman sekalipun banyak salat dan puasanya sehingga dia berperilaku seperti itu”. 
[Hadith riwayat Ibnu Jarir][Dari kitab Ma’a ‘Aqiedatus Salaf Kitabut Tauhid].

            Kecintaan atau Hubb mempunyai beberapa tingkatan yang dilalui oleh seorang insan iaitu:

1)      Di awali dengan perhubungan, iaitu perhubungan hati dengan apa yang di cintai itu,
2)      Kemudian di ikuti oleh curahan hati atau perasaannya kepada yang di cintai,
3)      Lalu lahirlah rasa pengorbanan kerana perasaan cinta yang mendalam di hatinya,
4)      Lahirlah rasa rindu,
5)      Yang terakhir ialah lahirlah satu bentuk perhambaan diri pada yang dicintai.  Perasaan yang dijelaskan di atas adalah perasaan yang sepatutnya dimiliki oleh kita dalam mencintai Allah.  Apabila perasaan itu kita letakkan kepada selain Nya maka kita akan kecewa kerana selain Allah semuanya di alam ini adalah baharu dan sementara dan bersifat dengan kelemahannya yang tersendiri.  Allah telah menjelaskan kepada kita tentang kecintaan ini dengan firmanNya:

قُلْ اِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَاَبْنَاؤُكُمْ وَاِخْوَانُكُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَاَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا اَحَبَّ اِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتَرَبَّصُوْا حَتَّى يَأتِيَ اللهُ بِاَمْرِهِ

Maksudnya [L.K.B]:

“Katakanlah! Jika ayah-ayahmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu,harta kekayaanmu yang kamu perolehnya, perniagaan yang kamu khuatirkan merugikan serta rumah-rumah tempat tinggal yang kamu senangi itu lebih kamu cintai daripada cintamu kepada Allah dan Rasul serta berjuang di jalan Allah, maka nantikanlah sehingga Allah akan mendatangkan keputusan-Nya”.  [Q.S At-Taubah:24]
           
Janganlah kita salah dalam meletakkan kecintaan kita kerana akibatnya kita akan kehilangan tauhid yang membawa erti terkeluar dari Islam.  Kita akan bincangkan beberapa perkara tentang kecintaan  satu persatu mengikut Al-Quran dan Assunnah.



CINTA KEPADA IBU BAPA


            Banyak bijakpandai yang mendidik anak muda kini tentang taat, kasih,hormat dan lain-lain yang boleh kita istilahkan sebagai kecintaan kepada ibubapa.  Tetapi jarang sekali mereka menjelaskan batas-batas kecintaan tersebut, akibatnya banyaklah remaja masa kini yang berasa terbeban dengan keadaan tersebut.  Sebagai contoh seorang remaja lelaki ingin berkahwin dengan pilihannya seorang gadis yang soleh, patuh kepada Allah dan berakhlak mulia.  Tetapi ibubapanya tidak bersetuju kerana bukan sebangsa dengannya, keluarganya lebih mementingkan keturunan dari Islam.  Lalu anaknya menjadi keliru dan serba salah manakah yang perlu di ikuti.  Ketaatan, kecintaan dan pengorbanan yang di didik semenjak dari kecil menyebabkan pemuda ini terbelit dengan masalah membuat keputusan.  Apa yang perlu di buat ialah pemuda ini hendaklah kembali kepada pedoman yang sebenar iaitu Al-Quran dan Hadith.

            Perlulah di ingatkan bahawa perkahwinan itu adalah Sunnah Rasulullah SAW dan perlaksanaannya mestilah menurut contoh yang di Sunnahkannya.  Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسِ ابْنِ مَالِكٍ اَنَّ النَّبِيَّ حَمِدَ اللهَ وَاَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ : لَكِنِّيْ اَنَا اُصَلِّيْ واَنَامُ وَاَصُوْمُ وَاُفْطِرُ وَاَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّيْ

Ertinya:

“….. tetapi aku salat dan aku tidur dan aku puasa dan aku berbuka dan aku berkahwin perempuan-perempuan,  maka barang siapa tidak suka cara ku dia bukan dari golongan ku”.  [Muttafaq’ Alaihi]

            Bila kita hendak berkahwin, pilihan kita adalah menurut apa yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لاَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Ertinya:
“Orang berkahwin kepada perempuan kerana empat perkara:

1)      Hartanya
2)      Keturunannya
3)      Kecantikkannya
4)      Agamanya

Oleh itu pilihlah perempuan yang mempunyai Agama, [jika tidak] binasalah dua tangan mu”.  [Muttafaq’ Alaihi]

            Maka tidak payah keliru lagi, ketaatan dan kecintaan kepada Allah dan Rasul itulah yang kita dahului.  Islam adalah agama yang memberi kemudahan kepada umatnya, tidak perlulah kita merasa sukar, takut, gusar dalam mencari keredhaan Allah.  Pilihlah perempuan yang soleh, berakhlak mulia iaitu perempuan yang beragama sebagai calon isteri.  Hanya Allah yang berkuasa keatas kita, sumpah, ugutan dan di pulau oleh keluarga, sahabat handai tidak akan berkesan melainkan dengan izin Allah.  Mohonlah perlindungan Yang Maha Agung moga kita selamat di dunia dan akhirat.  Bersifatlah dengan sifat yang lembut kepada kedua orang tua dan tolaklah perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat dari keduanya dengan lembut dan bijaksana.
            Cintailah Allah dan Rasul lebih dari mencintai kedua ibu bapa kita, sesungguhnya itulah jalan yang ditunjukkan oleh Islam kepada kita.

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ اَنَسٍ اَنَّ رسول الله قَالَ : لا يُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَ

Dari Anas mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak beriman sebelum aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya”.  [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Sekarang ini banyak berlaku ibu bapa yang tersasar keagamaannya ke jalan yang meragukan.  Mereka mementingkan kebendaan yang di anggap satu keutamaan hidup untuk masa depan.  Bagi golongan ini akademik adalah satu jaminan untuk kejayaan di dalam kerjaya dan agama pula, ‘janganlah dilupa langsung’.  Maksud ‘jangan dilupa langsung itu adalah, kalau tidak sembahyang lima waktu sembahyanglah Jumaat seminggu sekali.  Dan belajar baca Al-Quran, sekurang-kurangnya tahu baca Yassin bila ada kematian.  Ini adalah kenyataan di zaman kemajuan yang sedang kita harungi, ibubapa tidak mementingkan ibadah sembahyang lagi kerana mereka pun tidak sembahyang.
Jika anaknya pula sembahyang cukup 5 waktu, warak dan banyak bercakap hal Islam, menegur cara kehidupan lalai mereka, anak itu pula di anggap terpesong atau sesat.  Ibubapa seperti ini di dalam Islam tidak wajib ditaati malah dilarang sama sekali menuruti cara hidup atau pandangan mereka yang telah terpesong itu. 

Firman Allah:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ

Maksudnya [L.K.B]:

“Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahNya bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa siksa yang pedih”. [Q.S. An-Nur, 24:63]

Janganlah disalahkan anak jika anak ingkar perintahnya tetapi tanyalah diri sendiri adakah perintahku ini betul menurut syariat. Sekadar elok atau baik bukanlah alasan untuk anak mengikuti perintah ibubapa kerana Islam bukan agama berbuat yang baik dan tinggalkan yang jahat tetapi agama yang menyeru ummatnya membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah dan RasulNya. Firman Allah :

وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْا وَاتَّقُوْا اللهَ اِنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ

Maksudnya [L.K.B]:

“Apa yang didatangkan [dibawa] oleh Rasul hendaklah kamu ambil dia, dan apa yang di larangnya hendaklah kamu tinggalkan.  Dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah amat bersangatan azabNya”.  [Q.S Al-Hasyar, 59:7]

            Tidak dinamakan makruf tanpa suruhan dan tidak dinamakan mungkar tanpa tegahan.  Semuanya hendaklah menurut syariat Allah. 
Firman Allah:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لا يَعْلَمُوْنَ

Maksudnya [L.K.B.] :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas sesuatu syariat [Al-Quran dan As-sunnah dari urusan [agama] itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu  ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.  [Q.S. Al-Jaatsiyah, 45:18]

            Bagi ibubapa belajarlah memahami Islam dengan sebenarnya, iaitu menurut Al-Quran dan As-Sunnah.  Didiklah diri kita dan anak-anak kita supaya patuh pada satu pedoman sahaja iaitu syariat Allah.  Maka ada satu hukum sahaja di dalam keluarga kita yang patut dan wajib diikuti iaitu hukum Allah.  Apa-apa yang ditegah oleh-Nya itulah yang menjadi tegahan kita sekeluarga., dan apa–apa yang menjadi suruhan-Nyalah yang menjadi amalan keluarga kita.  Semuanya harus tunduk pada ketentuan dan perintah Allah.  DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali dan apabila kita kembali, kembalilah dengan kegembiraan dan kejayaan perjuangan amalan soleh kita di dunia.
           
            Jangan kita adakan pelbagai peraturan, disiplin dan pelbagai falsafah hidup yang tidak berlandaskan syariat kerana ia mungkin menyebabkan anak-anak kita keliru atau terbeban dalam kehidupannya.  Syariat Allah ini pun sudah cukup banyak untuk kita amalkan malah sememangnya tidak terdaya untuk diamalkan kesemuanya, sehingga Rasulullah SAW menyerukan kepada kita beramallah sekadar mana yang upaya.  Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ عِمْرَانَ ابْنِ حُصَيْنٍ قَالَ : كَانَتْ بِيْ بَوَاسِيْرُ فَسَاَلْتُ النَّبِيَّ عَنِ الصَّلاةِ فَقَالَ : صَلِّ قَائِمًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Ertinya:

“”Daripada Imran bin Hushain dia berkata : Adalah aku mempunyai buasir maka kutanyakan pada Nabi s.a.w. dari hal solat maka beliau bersabda :Bersalatlah dengan berdiri, jika tidak mampu, maka duduklah, jika tidak mampu juga, dengan berbaringlah”.  [Hadith Riwayat Al-Bukhari]

Dari Jabir bin Abdullah ia berkata adalah Rasulullah s.a.w. bersabda:

فَاِنَّ خَيْرَ الْحَدِيْثِ كِتَابُ اللهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الاُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ
Erti :
Maka sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah (Al-Quran) dan sebaik-baik pimpinan ialah pimpinan Muhammad dan sejahat-jahat urusan ialah yang diada-adakan dan setiap bid’ah (yang diada-adakan) itu adalah sesat. [Hadith riwayat Muslim]

Marilah kita mencari jalan benar yang terpimpin menurut syariat dan menjauhkan jalan yang berliku-liku menurut hawa nafsu, akal yang tersasar dan kewajaran yang hanya kita cipta sendiri ( bukan menurut syariat ). Firman Allah:

يَاَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لا يَجْزِى وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلا مَوْلُوْدٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا

Yang bermaksud [L.K.B]:

“Hai manusia, takutlah pada Tuhan kamu dan hendaklah kamu takut kepada satu hari [akhirat] yang[didalamnya] tidak boleh seorang bapa melepaskan [sesuatu apapun] dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apapun dari ayahnya”.  [Q.S Luqman 31:33]

Yang fardu itu wajiblah kepada kita, yang sunat itu kita ikhlaskan, yang haram itu kita tinggalkan.