Photobucket

Tuesday, June 9, 2009

Sukan Dan Wanita

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail



Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman yang paling mujarab.




Malah Rasulullah s.a.w sendiri pernah berlumba lari dengan isterinya Aisyah. Aisyah mengatakan:



“Rasulullah bertanding dengan saya dan saya menang. Kemudian saya berhenti, sehingga ketika badan saya menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi dengan saya dan ia menang, kemudian ia bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) iaitu seri.



Dalam sukan, Islam telah menggariskan panduan dan memperkeras persoalan menutup aurat. Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:

“Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.

Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.”

Jika hendak dikatakan pakaian memainkan peranan untuk meningkatkan prestasi peserta perkara itu memang benar. Tetapi setakat mana prestasi itu meningkat?

Kita lihat sendiri pelari pecut wanita Bahrain, Ruqaya Al Ghasara mengejut dan mengagumkan peminat olahraga di Sukan Asia di sini apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun berpakaian menutup aurat dan bertudung.

“Malah katanya, dengan mengenakan pakaian lengkap wanita Islam itu telah mendorongnya berlari lebih pantas.“Ia bukan satu halangan untuk saya berlari pantas malah ia banyak mendorong saya membuktikan bahawa wanita Muslim seperti saya juga boleh menang dengan berpakaian seperti ini,” katanya.

“Pada perlumbaan akhir itu, Ruqaya mencatat masa 23.19s. Sebelum ini beliau turut menang gangsa dalam acara 100m. Ketika melakukan pecutan, hanya jelas muka dan tapak tangannya yang kelihatan manakala sebahagian besar anggota tubuhnya ditutupi kemas. Sebaik melepasi garisan penamat, Ruqaya mengangkat tangan kepuasan tetapi aurat dan tingkah lakunya tetap dipelihara. Mengulas pakaian yang digunakannya, Ruqaya berkata, ia menggunakan jenis kain yang dipilihnya sendiri walaupun kebiasaannya agak berat untuk dibawa berlari.Sambil mengakui pelari pecut Amerika Syarikat, Marion Jones sebagai idolanya, Ruqaya berharap pakaian yang digunakannya untuk berlari itu mendorong wanita Muslim lain melibatkan diri dalam sukan agresif seperti ini. Penampilan hebat Ruqaya itu turut menjadi agenda utama Doha mengadakan ujian pakaian bagi wanita Muslim untuk melobi menjadi tuan rumah Olimpik 2016 nanti. “Memakai tudung membuktikan ia bukan halangan untuk mencipta kejayaan. Berpakaian seperti ini jugalah yang telah melayakkan saya beraksi di kejohanan dunia di Osaka, Jepun tahun depan,” tegasnya.

Jika kita lihat 15-20 tahun tahun dahulu, pemain tennis wanita kesemuanya memakai pakaian penuh. Pada hari ini juga, wanita di Iran memakai pakaian yang menutupi badan dan tudung ketika bermain tennis. Jika mereka boleh mengapa anda tidak boleh?

Bagaimana pula dengan sukan renang? Dalam masalah ini Dr Zakir Naik pernah mengatakan:

“Kita juga perlulah bersetuju bahawa di dalam sukan renang semakin sedikit pakaian yang dipakai, semakin meningkat prestasi peserta. Kerana itulah mereka menetapkan peserta lelaki untuk memakai seluar dalam dan perempuan untuk memakai bikini.

Tetapi kita juga mesti faham dan bersetuju, bahawa para peserta hanya dapat menunjukkan prestasi maksimum jika mereka tidak memakai apa-apa pakaian ketika berenang. Tetapi adakah kamu akan menetapkan perenang wanita untuk berenang dalam keadaan berbogel?

Mengapa perlu ada double standard? Jika kamu katakan perkara tersebut sangat tidak sopan. “ Maka saya katakan bahawa tahap kesopanan kamu serendah ini dan tahap kesopanan kami setinggi ini. Apa yang sopan bagi kamu tidak sopan bagi kami. Maka mengapa kamu tidak cadangkan supaya para perenang berenang dalam keadaan berbogel sahaja supaya prestasinya meningkat? Tetapi tidak, kerana mereka mempunyai tahap kesopanan tertentu.”

Oleh itu aktiviti sukan dan riadah ini tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.

Rujukan:

http://bobex.wordpress.com
http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-252578.html
Media dan Islam “ Berperang atau Berdamai? ” oleh Dr Zakir Naik


Muhammad Fakhruddin Ismail