Photobucket

Friday, January 29, 2010

Larangan Mengikut Hawa Nafsu Orang Kafir

اقتضاء الصراط المستقيم مخالفة أصحاب الجحيم
IQHTIDHA’ AS-SIRATH AL MUSTAQIM MUKHALAFAH ASHAB AL JAHIM
Karya Ahmad bin Taimiyyah al Harani



Saya tertarik dengan sebuah kitab yang ditulis oleh Ahmad bin Taimiyyah untuk menjadi sumber rujukan saya dalam meneruskan perkongsian ilmu pada kali ini. Ini kerana ketajaman hujahnya yang beralasankan Al-Quran dan Hadits dalam penyampaiannya. Maka sebelum saya memulakan perkongsian ilmu ini, ingin saya berpesan: Sekiranya apa-apa yang saya sampaikan menyalahi Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw maka tegurlah saya mudah-mudahan kita sama-sama memperoleh manfaat daripada perkongsian ilmu ini..


Kita mulakan dengan bab ‘Larangan Mengikut Hawa Nafsu Orang Kafir’.
Berkata Ahmad bin Taimiyyah: “Jalan yang paling baik untuk ditempuh oleh kaum Muslim dalam hal ini (larangan mengikut hawa nafsu orang kafir) adalah bertekad bersungguh-sungguh untuk tidak mengikuti mereka (orang kafir) dalam apa hal pun. Mengikuti sedikit saja dari keinginan mereka akan membuka jalan untuk mereka lebih jauh lagi. Kata-kata ini tidaklah dilafazkan menurut pandangan akal tetapi beralasan dari Surah Ar-Ra’d ayat 36-37 [13:36-37]:

وَالَّذِيْنَ أَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَفْرَحُوْنَ بِمَا اُنْزِلَ اِلَيْكَ وَمِنَ الأَحْزَابِ مَنْ يُنْكِرُ بَعْضَهُ قُلْ اِنَّمَا اُمِرْتُ اَنْ اَعْبُدَ اللهَ وَلاَ اُشْرِكَ بِهِ اِلَيْهِ اَدْعُوْا وَاِلَيْهِ مَآبِ * وَكَذَلِكَ اَنْزَلْنَاهُ حُكْمًا عَرَبِيًّا وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَآءَهُمْ بَعْدَ مَا جَآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللهِ مِنْ وَلِىٍّ وَلاَ وَاقٍ
Bermaksud:
Orang-orang yang telah Kami berikan kitab kepada mereka bergembira dengan kitab yang diturunkan kepadamu dan di antara golongan-golongan (Yahudi dan Nasrani) yang bersekutu, ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya diperintah untuk menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan Dia. Hanya kepada-Nya aku seru (manusia) dan hanya kepada-Nya aku kembali”. Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai peraturan dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu maka sekali-kali tidak ada perlindungan dan pemelihara bagimu terhadap (siksa) Allah.

Dalam ayat tersebut di atas, dhamir (kata ganti) bagi kalimat “ahwa ahum” bermaksud “hawa nafsu mereka”. Maka siapakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ ini? ‘Mereka’ ini iaitulah golongan yang mengingkari sebahagian dari yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Berkata Ahmad bin Taimiyyah: “Dengan itu sesiapa pun yang mengingkari sebahagian dari Al-Quran baik orang Yahudi dan Nasrani maupun selain dari mereka termasuk dalam golongan ini sehingga harus dijauhi dan berwaspada untuk diikuti. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 145 [2:145]:

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَآءَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ اِنَّكَ اِذًا لَمِنَ الظَّالِمِيْنَ
Bermaksud:
Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepadamu sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk golongan yang zalim.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Marilah kita merenung diri kita, anak-anak kita, adik-adik kita seterusnya masyarakat kita di atas perkara mengikut hawa nafsu orang kafir ini. Ada cerdik pandai mengatakan tidak ada halangan bagi kita mengikut orang kafir atas urusan dunia. Maka dari itu kita dapati sekian banyak anak muda yang mengambil fahaman ini sebagai pedoman hidup. Jika ditinjau dari sudut sejarah, kita telah dijajah selama lebih kurang 400 tahun oleh barat yang berfaham nasrani dan bertitik-tolak dari itu, masyarakat Melayu telah terdedah kepada cara hidup dan pemikiran barat – telah terbuka beberapa ruang kepada orang-orang Melayu tentang kehidupan dan ideologi barat. Satu contoh yang amat jelas iaitulah sambutan hari jadi atau ‘happy birthday’ dalam bahasa Inggeris atau lebih tepat lagi kita ertikan dengan hari lahir. Mungkin bagi sesetengah daripada kita menganggap ia sebagai satu perkara kecil atau remeh atau sekadar satu sambutan budaya tapi ingatlah…. daripada satu perlakuan yang dianggap kecil dan remeh inilah yang kemudiannya telah membuka ruang yang lebih luas kepada kerosakan agama kita sehingga terjadinya sambutan ‘maulidur rasul’ ataupun ‘birthday Muhammad’. Bermula dengan urusan dunia yang kemudiannya telah mencakup urusan agama kemudian telah disambut sebagai satu sambutan agama. Maka bermula daripada yang kecil kemudiannya ia menjadi satu bid’ah sehingga tercampaklah kita ke lembah kesesatan. Bersabda Rasulullah:

فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِيْ النَّارِ
Bermaksud:
Maka setiap perkara baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu tempatnya dalam neraka
Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56 [51:56]:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ
Bermaksud:
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk dan patuh padaKu

Sesungguhnya segala yang kita lakukan dalam kehidupan kita adalah kerana Allah - keduniaan dan akhirat kita adalah kerana Allah, mencari redhaNya. Tidak terdapat dalam syariat Islam bahawa dunia itu boleh ditempuh/dilalui begitu saja dengan mengabaikan syariat Allah. Satu peringatan dan ancaman Allah sebagaimana tersebut dalam surah An-Nur ayat 63 [24:63]:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ
Bermaksud:
Maka awaslah terhadap orang-orang yang menyalahi perintahNya bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau siksa yang pedih

Sekian banyak ilmu yang asalnya dari tamadun Islam telah dirosakkan dengan pemikiran dan hawa nafsu orang-orang yang kafir seperti yahudi dan nasrani. Dengan bersandarkan akal fikiran dan pengkajian dari sudut sains, mereka mendakwa alam ini adalah semulajadi dan perkataan ‘semulajadi’ ini sudah mula diguna pakai oleh umat Islam kini. Ingatlah! Bahawa hanya Allah yang semulajadi iaitu ada dengan sendirinya. Firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 3 [57:3]:

هُوَ الأَوَّلُ وَالأَخِرُ
Bermaksud:
Dia (Allah) yang Awal (tiada berpermulaan) dan yang Akhir (tidak berkesudahan)

Selain daripada Allah maka semuanya dijadikan, ada penciptanya iaitu Allah. Tidak ada alam semulajadi melainkan alam ini dijadikan. Apabila kita mempelajari sesuatu ilmu duniawi seperti sains dan sebagainya maka wajiblah kita menjadikan Al-Quran dan Hadits itu sebagai pedoman, bukan bertaqlid kepada kekafiran. Renungkanlah firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 [66:6]:

يَاَيُّهَا الَّذِيْنَ أَمَنُوْا قُوْا اَنْفُسَكَمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ
Bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari siksa api neraka yang bahan bakarnya adalah berupa manusia dan batu-batu sedang penjaganya malaikat-malaikat yang berdisiplin serta kuat tenaganya

Oleh itu para hadirin, renungkanlah bahawa sedikit ruang yang kita beri kepada fikiran yang tidak terpimpin, budaya yang tidak berakhlak, ilmu yang tergelincir dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw akan membuka ruang kepada kerosakan yang lebih besar kepada diri kita, anak-anak kita dan masyarakat Islam.

Inilah yang telah diungkap atau dijelaskan oleh Ahmad bin Taimiyyah dalam tajuk yang saya sampaikan ini. Janganlah kita berharap dengan kita menerima cara kehidupan barat, pelajaran yang sama dengan mereka, berpakaian seperti mereka, berkelulusan setaraf mereka dengan pengiktirafan daripada mereka – orang-orang yahudi dan nasrani ini suka kepada kita atau berpuas hati kepada kita. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 [2:120]:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ اِنَّ هُدَى اللهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَآءَهُمْ بَعْدَ الَّذِيْ جَآءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيْرٍ
Bermaksud:
Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan senang kepada engkau sehinggalah engkau mengikut agama mereka. Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar) dan sesungguhnya jika engkau turut kemahuan mereka setelah datang pengetahuan kepadamu maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.