Photobucket

Friday, May 15, 2009

Berpakaian Tetapi Telanjang



Dewasa ini,ramai di antara wanita-wanita dan anak-anak gadis kita sudah tidak mengenal yang mana dosa yang mana pahala.Hal ini kerana kurangnya didikan agama dan ada juga yang langsung jahil dalam bab agama.Disebabkan kejahilan inilah ramai wanita-wanita dan anak-anak gadis kini sudah tidak mengenal yang manakah pakaian yang dibolehkan dan dilarang dalam Islam di mana kebanyakan mereka gemar memakai baju dan seluar yang kecil dan sendat dan adakalanya jarang sehingga menampakkan susuk badan mereka tidak kira sama ada yang bertudung atau tidak bertudung .Bagi yang tidak bertudung mungkin kita klasifikasikan mereka sebagai orang yang jahil dalam agama, namun bagi yang bertudung sudah tentu merosakkan imej wanita Islam yang sebenar iaitu yang menurut syariat Islam.

Situasi inilah yang dikatakan berpakaian tetapi telanjang sehinggakan cara berpakaian begini telah dilabelkan sebagai pakaian moden bagi wanita Islam yang kononnya seiring dengan kemajuan yang dicipta mengikut acuan barat atau hawa nafsu kekafiran.Malah daripada cara berpakaian yang salah inilah telah meyebabkan berlakunya gejala sosial yang kini semakin meluas dan semakin sukar untuk dibendung.Situasi inilah yang amat dibimbangi kini kerana mangsa-mangsa yang terjerumus ke dalam kancah yang tidak sihat ini adalah kebanyakannya merupakan daripada golongan wanita-wanita dan juga anak-anak gadis yang bertudung iaitu yang berpakaian tetapi telanjang .

Sesungguhnya pada zaman yang dianggap sebagai moden dan bertamadun kini, soal berpakaian atau menutup aurat ini semakin dilupakan.Kewajipannya semakin diabaikan, malah ada yang menganggap berpakaian dengan menutup aurat seperti mengenakan tudung ini adalah salah satu fesyen atau trend bagi wanita alaf baru ini.Jadi bagi mereka, tidak ada rasa berdosa kalau tidak mengenakan tudung sekalipun.Oleh sebab itu tidak sedikit juga daripada golongan wanita kini yang memandang remeh atau mudah pemakaian tudung untuk menutup aurat ini sehinggakan ada yang berpendirian ‘hendak pakai tudung pun tak apa, tak pakai tudung pun tak apa’.

Selain itu , sekian banyak remaja yang mengaku beragama Islam tetapi cara berpakaiannya sama seperti orang kafir malah ada yang berani berkata ‘cara berpakaian itu adalah hak peribadinya’ sedangkan cara mendedah aurat itu sebenarnya adalah budaya jahiliah bukannya tamadun yang ke hadapan tetapi kembali ke belakang iaitu menurut jejak-jejak orang sebelum didatangkan Rasul bagi mereka padahal berpakaian yang menutup aurat itulah yang ke hadapan iaitu pakaian bagi orang yang telah menerima syariat dan tunduk kepada Allah s.w.t.

Firman Allah :
Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya memutuskan suatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat (dalam) kesesatan yang nyata. Surah Al-Ahzab ayat 36 [33:36]

Manakala bagi wanita-wanita serta anak gadis yang menutup aurat dengan cara berpakaian ketat sehingga menampakkan susuk tubuhnya, tidak boleh dianggap perlakuan yang ringan sewenang-wenangnya kerana sabda Rasulullah saw :
Diterima dari Abu Hurairah, katanya : Telah bersabda Rasulullah saw : “ Ada dua golongan penghuni neraka yang tidak pernah saya lihat, suatu kaum yang membawa cambuk-cambuk (cemeti) seperti ekor-ekor sapi yang mereka pukulkan kepada manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mempengaruhi orang dan menarik ke jalannya, kepala mereka laksana punuk unta yang miring letaknya(sanggul di kepala).Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menemukan harum baunya...” Riwayat Muslim

Dijelaskan bahawa perbuatan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh atau wanita yang berpakaian tipis sehingga menampakkan kulitnya itu ibarat orang yang berpakain tetapi telanjang dan pakaian itu pula menarik anak gadis atau remaja lainnya untuk meniru gaya yang demikian, maka bagi wanita yang berpakaian serta bersifat seperti hadis di atas dinyatakan mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium walaupun hanya bau dari syurga.Hadis yang memperingatkan kita tentang bahaya dari cara berpakaian yang telah dilakukan oleh sekian banyak remaja kita sekarang.

Oleh sebab itu, sebagai ibubapa adalah wajib bagi kita menyampaikan atau menegur anak-anak kita jika berkelakuan demikian dan membimbing mereka ke jalan yang benar dan jangan sekali-kali menganggap azab neraka itu boleh dibuat mudah dan dibiarkan peringatan daripada hadis itu berlalu begitu sahaja.Untuk itu kita renungkan sepotong hadis di bawah.

Telah berkata Syafiyah binti Syaibah : “Di waktu kami bersama-sama Aisyah mereka sebut wanita-wanita Quraisy dan kelebihan mereka.” Maka Aisyah berkata : Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy itu mempunyai kelebihan, tetapi sesungguhnya aku, demi Allah, tidak aku lihat yang lebih mulia dari wanita-wanita Anshar, sangat-sangat mereka mrmbenarkan kitab Allah dan sangat kuat iman mereka kepada wahyu yang diturunkan.Waktu diturunkan surah An Nur,(ayat yang menyuruh bertudung iaitu ayat 31), lelaki mereka pulang, lalu membacakan kepada mereka apa yang diturunkan oleh Allah itu, lantas tiap-tiap seorang daripada wanita-wanita mereka mengambil kain mereka yang berlukis, lalu mereka jadikan tudung kepala kerana membenarkan dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah dari kitabNya..” Riwayat Abu Daud

Inilah satu kisah yang patut diambil sebagai teladan atau contoh di mana para suami sepatutnya memainkan peranan menyampaikan perintah Allah dan RasulNya kepada anak isteri dan adalah kewajipan seorang isteri untuk mentaati ajaran yang benar yang dibawa oleh para suami demikian juga anak-anak jagaannya.Menolak satu dakwah yang asalnya dari Allah dan RasulNya adalah satu kederhakaan yang besar, iaitu derhaka kepada Allah dan Rasul dan juga derhaka kepada suami atau bapa yang menjalankan tanggungjawabnya.Manakala bagi seorang bapa atau suami yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan kehidupan keluarganya tanpa bimbingan maka kegagalannya itu akan dipertanggungjawabkan kepadanya sebagaimana sabda Rasulullah saw :

Tiap-tiap seorang daripada kamu itu pemimpin dan tiap-tiap seorang daripada kamu bertanggungjawab akan pimpinannya, imam/pemimpin itu adalah pengurus dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, lelaki itu pemimpin pada ahlinya (anak isterinya) dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, perempuan itu pemimipin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya, khadam itu pemimpin pada harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya dan setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab pada pimpinannya. Riwayat Bukhari