Photobucket

Monday, March 16, 2009

Tauhid


Tauhid ertinya mengEsa atau tunggal iaitu tidak berbilang-bilang. Ilmu tauhid ialah ilmu untuk mengEsakan Allah. Itulah ajaran Rasulullah SAW yang pertama kepada umat manusia, Esakan Allah jangan bersyirik [menyekutui Allah dengan sesuatu].

Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِىْ كُلِّ اُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ
Ertinya [L.K.B]:

“ Dan sungguh Kami telah mengutuskan seorang Rasul pada setiap umat [untuk menyerukan],”sembahlah Allah dan jauhilah taghut”. [Q.S.An-Nahl:36]

* Taghut adalah sembahan-sembahan selain Allah. (Penjelasan yang lebih detail akan dinyatakan pada muka seterusnya.)

Tanpa tauhid bermakna manusia itu telah tergolong dalam golongan orang-orang yang musyrik (mempersekutukan Allah), iaitu satu dosa yang tidak diampunkan Allah, dosa yang akan menyebabkan pelakunya kekal selama-lamanya di neraka. Firman Allah yang maksudnya [L.K.B]:
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang kurang dari itu (syirik) bagi siapa yang dikehendakiNya”. [Q.S. An-Nisa’ :48]


Maka telah teranglah betapa pentingnya ilmu tauhid dalam pembinaan seorang Islam, ilmu yang menjadi pokok utama didalam Islam. Tanpa tauhid bermakna tiada Islam, sia-sialah sembahyangnya, sia-sialah puasanya, sia-sialah zakatnya dan fitrahnya dan sia-sialah segala amalan serta kebajikannya.

Firman Allah yang bermaksud [L.K.B]:

“Sesungguhnya siapa yang menyekutui Allah, maka sungguh Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat tinggalnya dalam neraka, dan tiadalah bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun”. [Al-Maa’idah:72]

Sabda Rasulullah SAW:

رَوَى الْبُخَارِيُّ حَدِيْثَ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ الله عَنْهُ : مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَدْعُوْ مِنْ دُوْنِ الله نِدًّا دَخَلَ النَّارَ

Ertinya: “Barang siapa mati dalam keadaaan menyeru [syirik] kepada selain Allah, pasti ia masuk neraka”. [Hadith riwayat oleh Bukhari]

Tauhid tidak boleh direka-reka atau diolah mengikut kemahuan sendiri. Tauhid mestilah berpandukan dari Al-Quran dan As-sunnah Rasulullah SAW. Bagi orang-orang Melayu, banyak diantaranya mempercayai tauhid itu adalah Sifat Dua Puluh. Iaitu satu jalan pintas yang direka-reka oleh ulama-ulama untuk mengenal tauhid. Soalnya, apakah tauhid cukup sekadar memahami sifat 20, bagaimana pula dengan 99 nama-nama Allah yang juga merupakan sifat-sifat bagiNya? Sekian banyak ayat Al-Quran dan hadith menunjukkan bahawa nama-nama Allah adalah sifat bagiNya. Apakah Nabi SAW tidak menunjukkan jalan untuk mempelajari tauhid kepada kita, sehingga kita membuat sendiri cara tauhid?
Ataupun kita sahaja meninggalkan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW?

Firman Allah:

مَا فَرَّطْنَا فِيْ الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍِ ثُمَّ اِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُوْنَ

Maksudnya [L.K.B]:

“Tiadalah kami lupa [tertinggal] sesuatu apa didalam Al-Kitab [Al-Quran], kemudian kepada Tuhanlah mereka di himpunkan”. [Q.S. Al-An’Aam,6:38]

Firman Allah:

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلاً لاَ مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksudnya [L.K.B]:

“Telah sempurna [lengkap] kalimah Tuhanmu [Al-Quran] sebagai kalimah yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimah-kalimahNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [Q.S. Al-An’aam,6:115]

Rasulullah bersabda:

مَنْ اَحْدَثَ فِى اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Ertinya:

“Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan [agama] Kami ini, maka ia tertolak”. [Hadith riwayat Ahmad]

Setelah dijelaskan alasan diatas maka sewajarnya kita menolak tauhid-tauhid rekaan dan kembali kepada jalan yang benar, iaitu jalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Semoga kita beroleh kejayaan didalam membina tauhid yang sebenar. Agama Islam bersih dari rekaan akal, hawa nafsu dan muslihat manusia. Semestinya tauhid juga bersih dari sekalian yang tersebut.
Firman Allah:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ


Maksudnya [L.K.B]:

“Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahNya bahawa mereka akan ditimpa fitnah (cubaan) atau akan ditimpa siksa yang pedih”. [Q.S.An-Nur 24:63]

Sesungguhnya tiada Tuhan yang sebenarnya selain Allah, Dialah yang wajib di sembah dan Berkuasa atas sesuatu.
Firman Allah:

وَمَا مِنْ اِلَهٍ اِلاَّ اللهُ

Maksudnya [L.K.B]

“Tidak ada satupun Tuhan yang [sebenarnya] melainkan Allah”. [Q.S Al-‘Imran :62]

Kita wajib percaya wujudnya Allah dan menolak sekalian macam sembahan selain Allah. Tidaklah kita menyembah sesama manusia, tidaklah kita menyembah hutan-hutan belantara, lautan dan sebagainya, kerana kita dicipta hanya untuk menyembah Allah.


Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ

Maksudnya [L.K.B]:

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah [menyembah] kepadaKu”. [Q.S.Adz-Dzariyat:56]

Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِىْ كُلِّ اُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ

Maksudnya[L.K.B]
“Dan sungguh Kami telah mengutuskan seorang rasul pada setiap umat [untuk menyerukan], Sembah Allah [saja] dan jauhi ta’ghut”. [Q.S.An-Nahl:36]

Ta’ghut maknanya sekalian sembahan selain Allah, makna yang lebih luas merangkumi berhala-berhala, harta benda, kasih sayang, ketaatan dan sebagainya yang kita samakan atau lebih daripada Allah. Contoh untuk kita memahaminya ialah apabila seorang manusia itu mengasihi kekasihnya melebihi atau menyamakan dengan kasihnya kepada Allah. Beliau sanggup melakukan apa saja kerana kekasihnya, sanggup meninggalkan amal ibadat, sanggup menderhaka kepada ibubapanya malah kerana kekasihnya beliau sanggup berkorban apa sahaja hartanya hingga nyawa sekalipun.
Demikian juga seorang anak apabila ia taat kepada ibubapanya sehingga sanggup membelakangi perintah Allah. Kerana ketaatannya beliau sanggup menurut apa saja nasihat atau perintah dari ibubapanya walaupun ia tahu itu adalah larangan dari Allah. Contoh jalan yang mudah ialah, ibubapanya tidak menyukai isterinya kerana isterinya bertudung, kuat beribadah dan tidak sesuai dengan cara hidup mereka yang moden. Lalu kerana taat kepada ibubapanya ia ceraikan dan menzalimi isteri yang tidak berdosa tersebut. Ini adalah contoh ketaatan melulu yang membelakangi Allah dan Rasulullah SAW, malah melebihkan ketaatan kepada ibubapanya dari ketaatan kepada Allah.
Firman Allah yang maksudnya [L.K.B]:

“Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu,perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalan Allah, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. [Q.S.At-Taubat:24]

Sabda Rasulullah SAW:

لا يُؤْمِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى اَكُوْنَ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ اَجْمَعِيْنَ

Ertinya:

Dari Anas mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tidak beriman sebelum aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya”. [Hadith riwayat oleh Bukhari & Muslim]

Ada di antara orang-orang yang mengaku Islam tetapi mengangkat golongan-golongan atau berpuak-puak, mereka menamakan diri mereka golongan bermazhab. Mereka percaya kepada mazhab mereka, sehingga jika ditunjukan sesuatu alasan dari Allah dan Rasul [Al-Quran dan Hadith], tetapi tidak ada dalam mazhab mereka maka mereka akan menolak. Sebaliknya jika sesama mazhab mereka, tanpa alasan Al-Quran dan Hadith pun, mereka sanggup terima. Sebagai contoh kejahilan golongan ini, Imam Syafie sendiri menentang perbuatan bidaah’ [mencipta sesuatu yang baru dalam urusan agama] seperti katanya:

مَنِ اسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَعَ وَمَنْ شَرَعَ فَقَدْ كَفَرَ
Ertinya:

“Sesiapa yang menganggap baik [cantik/elok apa yang diciptanya dalam agama], dia telah mencipta syara’, sesiapa yang mencipta syara’, maka dia telah menjadi kafir”. [Lihat حاشية جمع الجوامع jld.2.295.]

Tetapi pengikut-pengikut syafieah’ [golongan yang mengaku bermazhab Syafie] pula menganggap bidaah’ itu hasanah [baik] dan sunat dikerjakan, kerana taqlied [menurut atau mengikut] kepada ulama-ulama puak Syafieah. Mereka tidak perlu merujuk Al-Quran dan Hadith, memadai mengikut sahaja apa kata puak mereka. Malah kitab Imam Syafie iaitu Imam mazhab mereka sendiri tidak perlu dirujuk atau dibaca, cukuplah bagi mereka itu mengikut sahaja atau dikenali dengan nama TAQLIED BUTA. Kerana sifat taqlied dan taksub kepada ulama dan mazhab, mereka sanggup menolak Al-Quran dan Hadith iaitu WAHYU ALLAH dan SUNNAH RASULULLAH. Ini adalah golongan yang membelakangi Allah dan mendahulukan makhluk.
Inilah yang dikatakan taghut – menolak perintah Allah dan ajaran RasulNya dan mengambil kata-kata ulama mereka walaupun bertentangan dengan Al-Quran dan hadith. Inilah juga sikap yahudi dan nasrani di mana mereka telah mengangkat para rahib dan pendita mereka sebagai tuhan selain Allah. Mereka berpegang pada kata-kata ulama walaupun kata-kata tersebut bertentangan dengan kitab Injil dan Taurat. Firman Allah yang maksudnya [L.K.B]:

“ Mereka mengangkat pendita-pendita dan alim-ulamanya menjadi tuhan selain daripada Allah, begitu juga Al Masih anak Maryam, sedang mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Tuhan yang Esa tiada Tuhan kecuali Dia, Maha Suci Tuhan daripada apa yang mereka persekutukan”. [Q.S. At-Taubah :31]

Sebagai umat yang bertauhid hendaklah kita menjauhkan perbuatan taqlied buta yang menjadi amalan orang-orang jahiliyah. Mereka apabila diajak oleh Rasulullah ke jalan yang benar, mereka menjadikan nenek moyang mereka sebagai ikutan dan menolak kebenaran .

Firman Allah:

وَاِذَا قِيْلَ لَهُمُ اتَّبِعُوْا مَا اَنْزَلَ اللهُ قَالُوْا بَلْ نَتَّبِعُ مَا اَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَاءَنَا اَوَلَوْ كَانَ ءَابَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُوْنَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُوْنَ

Yang bermaksud [L.K.B.]:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutlah apa yang telah diturunkan Allah, mereka menjawab: [Tidak] tetapi kami hanya mengikut apa yang kami dapati dari bapa-bapa kami. Walaupun bapa-bapa mereka tidak mengetahui suatu apapun dan tidak mendapat petunjuk”. [Al-Baqarah, 2:170]

Golongan ini menjadikan hawa nafsu sebagai pedoman hidup atau di panggil juga ahlul-ahwa yang ertinya penyembah hawa nafsu. Bagi mereka agama itu apa yang mereka fikir baik dan sesuai dengan kehendak nafsunya. Di zaman moden ini apabila mereka diajak kembali kepada Al-Quran dan Hadith Nabi SAW. Mereka menjawab: “Ini mazhab nenek moyang kami , dan kami hanya mengikut mazhab kami”. Golongan ini diberikan kepandaian dan kemajuan oleh Allah tetapi mereka enggan tunduk kepada Allah. Mereka tidak yakin untuk terus menerima Islam dari Allah dan RasulNya lalu mereka adakan perantaraan untuk mendapatkan Islam iaitu mazhab. Selayaknyalah mereka dipanggil JAHILIYAH MODEN.

Firman Allah:
وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِى مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلا تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

Yang maksudnya [L.K.B]:

“Sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, oleh itu hendaklah kamu ikutinya dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan [yang lain], kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu dari jalanNya.Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertakwa”.[Al-An-aam,6:153]
Firman Allah:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلا تَفَرَّقُوْا

Maksudnya [L.K.B]:

“Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah”. [Ali Imran, 3:103]

Dalam mentauhidkan Allah hendaklah kita menjauhkan atau meninggalkan sekutu-sekutu, iaitu perkara-perkara yang menjatuhkan tauhid. Sama ada perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini atau yang akan kita terokai untuk membersihkan tauhid kita. Sesungguhnya Allah itu tunggal, tidak ada yang menjadikan Allah. Ia wujud dengan sendiri atau semulajadi. Manakala sekalian makhluk dan apa yang ada di sekalian alam selain Allah adalah ciptaanNya. Hendaklah kita mengatakan alam ini alam yang dijadikan, bukan alam semulajadi. Tidak ada yang semulajadi melainkan Allah.
Firman Allah:

وَاِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ

Yang maksudnya [L.K.B.]:

“Tuhan kamu itu Tuhan yang Tunggal, tidak ada tuhan melainkan Dia”.
[Q.S.Al-Baqarah:163]

Firman Allah lagi:
وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدٌ

Yang maksudnya [L.K.B]:

“Tidak ada siapapun yang sama dengan Dia”. [Q.S.Al-Ikhlas:4]



Firman Allah lagi:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Yang maksudnya [L.K.B]:

“Tidak ada satupun yang sama dengan Dia”. [Q.S.Asy-Syura:11]

Firman Allah lagi:

لا شَرِيْكَ لَهُ

Yang maksudnya [L.B.K.]:

“Tidak ada satupun sekutu bagi Nya”. [Q.S.Al-An-‘aam:163]

Firman Allah lagi:

فَتَعَالَى اللهُ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ
Yang maksudnya [L.K.B]:

“Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka sekutukan”. [Q.S.Al-A’raf:190]

Ayat-ayat di atas adalah dalil-dalil untuk menjelaskan tauhid mengEsakan Allah. Hendaklah kita menjaga hati, tutur kata dan perbuatan kita dari tersimpang dari jalan tauhid. Kita tidak boleh menyamakan ucapan-ucapan kita dengan ucapan-ucapan orang-orang kafir atau musyrik, sebab mereka adalah orang-orang yang terkeluar dari jalan tauhid. Berjaga-jagalah dengan lidah kita dari mengeluarkan kata-kata yang berunsur nujum atau ramalan-ramalan, kata-kata yang membelakangi Allah dan lain-lain ucapan yang menyumbang kepada menyekutui Allah.

Kemajuan yang tidak bertunjangkan tauhid akan menyebabkan berlakunya penyelewangan tauhid. Sehinggalah berlakunya kekeliruan dalam ucapan-ucapan, pemikiran, perbuatan dan kajian terhadap kesucian Islam. Mereka, golongan moden ini cuba memberi pandangan atau pendapat menurut akal fikiran atau dari sudut logika. Apabila pendapat atau pandangan itu diberikan atas nama Islam, sedangkan ia sendiri tidak memahami Islam, maka berlakulah percanggahan dan kekeliruan di atas apa yang disampaikannya. Satu fenomena yang jelas dalam masyarakat Islam kini akibat daripada percampuran ideologi Barat dan Islam adalah dalam bab perkahwinan di mana kedudukan kewangan telah menjadi satu syarat utama / satu aset yang paling penting sedangkan telah jelas dalam hukum syara’ bahawa Islam menganjurkan / menggalakkan perkahwinan tanpa mengira kedudukan kewangannya walaupun dia seorang fakir. Lazimnya orang-orang kebanyakan akan menerima dengan mudah pandangan atau pendapat dari manusia yang bergelar Professor, Sarjana dan pelbagai lagi gelaran manusiawi.
Golongan ini dengan mudah merungkai masalah-masalah didalam Islam malah ada yang menjadi kaunselor kepada masalah orang-orang Islam. Bagi golongan ini Islam itu mudah sahaja, dengan ideologi Barat yang dipelajari mereka sudah boleh menghuraikan Islam. Islam bagi mereka cukup dengan mengakuinya dan mempelajari apa yang sempat atau ala kadar. Ini adalah satu kejadian yang sering berlaku didalam masyarakat kita hari ini. Hasilnya, maka lahirlah pemikiran yang bercanggah dengan tauhid mengEsakan Allah.
Contoh yang terang ialah, lahir perkataan alam semulajadi, jangkitan penyakit, zodiak kehidupan dan takwim waktu sembahyang. Kita mulakan dengan merungkai masalah SEMULAJADI, satu perkataan yang lazim digunakan didalam istilah moden untuk alam ini. Apabila kajian ke atas alam itu tidak dapat lagi dirungkai maka mereka kata alam ini semulajadi, sebagai seorang yang bertauhid hanya Allah yang Semulajadi, selain Allah semuanya dijadikan atau diciptakan. Kita tidak boleh menyamakan Allah dengan sesuatu apatah lagi dengan ciptaanNya, sesungguhnya Maha Suci Allah dari segala persamaan.
Firman Allah yang bermaksudnya [L.K.B]:

“Tidak ada suatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat ’”. [Q.S.Asy-Syura:11]

Firman Allah lagi:

هُوَ الاوَّلُ وَالآخِرُ

Yang maksudnya[L.K.B]:

“Dialah yang Awal [tiada permulaan] dan yang Akhir [tidak berkesudahan]”.
[Q.S.Al-Hadied:3]

0 comments: