Photobucket

Wednesday, February 25, 2009

Samudera Tauhid


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
PENGANTAR

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ والسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ مُحَمَّدٍ وَعَلَى سَائِرِ الأنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَآلِهِمْ وَصَحْبِهِمْ وَتَابِعِيْهِمْ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

Ertinya[L.K.B]

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.[seluruh] Sekelian puji pujian bagi Allah, Pencipta, Pengatur, Pemelihara seluruh alam. Penghargaan dan kesejahteraan semoga dilimpahkan Allah kepada Rasulullah Muhammad dan seluruh Para Nabi dan Rasul serta keluarga dan sahabat serta pengikut mereka sambung menyambung sampai kiamat. Tugas pokok para Nabi dan Rasul Allah ialah mengajarkan kepada umat manusia tentang Allah, untuk mengesakan Allah [tauhid] dan menolak sembahan tuhan-tuhan [taghut] selain Allah.
Firman Allah:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِىْ كُلِّ اُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ

Ertinya [L.K.B]:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan),sembahlah Allah (saja) dan jauhi taghut”. [Q.S.An Nahl:36]

Taghut adalah sembahan-sembahan selain Allah atau tuhan-tuhan selain Allah atau juga sesuatu yang manusia itu taat,kasih ,takut melebihi taat,kasih,takutnya kepada Allah S.W.T. Ini bermakna ia melahirkan suatu perasaan ada yang lebih hebat dari kekuasaan Allah.Firman Allah yang ertinya[L.K.B]:
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah”. [Q.S. Al-Baqarah:165]

Tandingan syirik [andaad] ertinya:setaraf atau sedarjat. Bilamana manusia tidak dapat membezakan perkara atau urusan ketuhanan [tauhid] dengan lain-lain perkara atau urusan. Contohnya apabila seorang anak menjadi keliru manakah yang perlu diikuti, perintah Allah atau perintah ibunya kerana bagi anak itu keduanya sama penting. Anggapan sama penting itulah yang diertikan dengan tandingan [andaad]. Sesungguhnya menyamakan, menduakan atau ada yang lebih berkuasa, lebih penting selain Allah adalah tergolong di dalam perbuatan syirik iaitu perbuatan menyekutukan Allah dengan suatu.

* L.K.B adalah singkatan kepada frasa “Lebih kurang bermaksud”

Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ
Ertinya [L.K.B]:
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk tunduk [patuh] kepadaKu”.
[Q.S. Adz-Dzariyat:56]

Di zaman serba moden yang penuh dengan pelbagai kemudahan, kadangkala urusan hidup ini menjadi begitu mudah sehingga dapat diselesaikan dihujung jari sahaja. Ada manusia yang mula leka dan keliru sehingga menganggap itu semua kehebatan ilmu pengetahuan atau kebijaksanaan manusia. Maka berlumba-lumbalah manusia menimba ilmu pengetahuan untuk bersaing dalam arena kecanggihan.

Sehingga pada zahirnya agak sukar sekali dibezakan antara orang Islam dan orang kafir. Pakaiannya, percakapannya, pelajarannya, perayaannya, majlisnya sehinggalah didikan didalam keluarganya berpedomankan buku-buku dari bijak pandai Barat. Bagi mereka itu semua penting untuk kemajuan dan keselesaan hidup. Keindahan hidup mula membayangi ummat Islam sehingga ada yang lalai dari arah tuju Islam yang sebenar.

Firman Allah yang bermaksud[L.K.B]:
“Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kau sukai itu kamu lebih cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad dijalan Allah, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. [Q.S. At.Taubah:24]

Bersabda Rasulullah SAW:
فِىْ الصَّحِيْحِ عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : تَعِسَ عَبْدُ الدِّيْنَارِ تَعِسَ عَبْدُ الدِّرْهَمِ تَعِسَ عَبْدُ الْخَمِيْصَةِ تَعِسَ عَبْدُ الْجَمِيْلَةِ اِنْ اُعْطِىَ رَضِىَ وَاِنْ لَمْ يُعْطَى سَخِطَ تَعِسَ وَانْتَكَسَ وَاِذَا شِيْكَ فَلا انْتَقَشَ
Dari Abi Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Binasalah hamba dinar, binasalah hamba dirham, binasalah hamba pakaian kebesaran dan binasalah hamba pakaian berjumbai, kalau diberi dia ridha dan kalau tidak diberi dia marah, binasalah dia dan tersungkurlah, dan kalau dia kena duri semoga tidak dapat dicabut.” [Riwayat Shahih Bukhari]

Manusia yang melalaikan Islam didalam kehidupan didunia ini dengan pelbagai alasan, adalah dicela oleh Allah dan Rasulullah. Mereka sanggup mencampakkan diri ke lembah kebinasaan kerana kehidupan yang sementara.

Islam tidak melarang ummatnya mencari keduniaan tetapi hendaklah diutamakan akhirat, kerana dunia ini hanyalah satu persinggahan untuk perjalanan seterusnya yang menjadi penentu diri kita iaitu akhirat. Laksanakanlah kehidupan kerana Allah dan
mencari keredhaanNya, bukan untuk kepuasan diri atau kemegahan serta kedudukan darjat dan pangkat. Pedoman kita bukan fahaman barat tetapi Islam.


Sabda Nabi SAW:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُوْلَ الله قَالَ : لَتَتَّبِعَنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَذْوَ الْقُذَّةِ بِالْقَذَّةِ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا حُجْرَ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمُوْهُ. قَالُوْا : يَا رَسُوْلَ الله ، اليَهُوْدُ والنَّصَارَى ؟ قَالَ : فَمَنْ ؟

Hadith dari Abi Said mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak orang-orang sebelum kamu setapak demi setapak, sehingga kalau mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu pun akan memasukinya.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, Yahudi dan Nasranikah?”, beliau menjawab, “siapa lagi”. [Hadith dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim].

Fahaman Yahudi dan Nasrani diadun dengan madu dan racun, nampak bertamadun sebenarnya penuh kejahilan dan keangkuhan.

Firman Allah yang bermaksud[L.K.B]:
“Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembah selain Allah dan taghut, dan mengatakan kepada orang kafir [musyrikin Mekah], bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang mukmin.”
[Q.S. An-Nisa: 51]

Tidak ada jalan lain untuk kembali ke jalan yang benar kecuali membetulkan fahaman kita terhadap Islam. Jika kita kembali kepada keduniaan untuk mencari kebenaran, dunia ini sebenarnya adalah pentas cabaran dan ujian. Dan akhirnya kita akan meninggalkan alam ini, maka sia-sialah jika itu perjuangan kita. Ubaadah bin As-Saamit memberitahu bahawa Nabi Muhammad bersabda:

مَا عَلَى الأرْضِ مِنْ نَفْسٍ تَمُوْتُ وَلَهَا عِنْدَ اللهِ خَيْرٌ تُحِبُّ اَنْ تَرْجِعَ اِلَيْكُمْ وَلَهَا نَعِيْمُ الدُّنْيَا وَمَا فِيْهَا


Ertinya:
“Tiadalah seseorang di bumi yang meninggal dunia, dimana disisi Allah dia telah memperoleh kebaikan, suka untuk kembali [semula] kepada kalangan kamu [di dunia], sekalipun dia telah mempunyai nikmat-nikmat dunia dan segala isinya.”
[Hadith di riwayat oleh An-Nasaai]

Untuk mendapatkan Islam yang sebenar hendaklah kita mempelajari Islam menurut Al-Quran dan hadith [As-Sunnah], bukan mencipta atau membuat sukatan pelajaran baru. Ada bijak pandai yang menganggap bahawa Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW itu telah ketinggalan zaman dan hanya sesuai untuk orang-orang Arab masa itu sahaja. Islam, bagi mereka perlu disesuaikan dengan cara hidup orang-orang Melayu yang beradat dan suasana politiknya. Sehingga terjadilah Islam yang boleh di panggil ‘Islam Rojak’, kerana Islam telah dicampur-adukkan dengan adat sehingga ada yang tidak dapat membezakan lagi yang mana Islam dan yang mana adat.
Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالاً مُبِيْنًا
Ertinya [L.K.B.]:

“Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya memutuskan suatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka ia telah sesat [dalam] kesesatan yang nyata.” [Al-Ahzab, 33:36]

Para ulama haruslah bebas dari di belenggu dan ikatan di dalam menegakkan Pegangan Al-Quran dan As-Sunnah. Dari Ziyad bin Hadir menceritakan:

هَلْ تَعْرِفُ مَا يَهْدِمُ الاِسْلامَ. قُلْتُ : لا. قَالَ : يَهْدِمُهُ زَالَةُ الْعَالِمِ وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ وَحُكْمُ الأئِمَّةِ الْمُضِلِّيْنَ

Ertinya:

“Umar r.a berkata kepadaku, tahukah kamu apa yang menghancurkan Islam? Aku menjawab, “tidak”. Umar berkata: “Yang menghancurkan Islam ialah tergelincirnya ulama[sarjana], debat orang-orang munafik dengan mempergunakan Al-Kitab[Al-Quran] dan hukumnya pemuka [pemerintah] yang menyesatkan.” [Hadith diriwayat oleh Darimi]

Ulama tidak boleh keliru didalam menyampaikan risalah Islam, mereka hendaklah dapat membezakan antara falsafah Barat dan syariat’ Islam. Agama ini tidak boleh ditokok tambah kerana ia adalah syariat’, hanya Allah sahaja yang berhak keatas syariat’Nya.

Firman Allah:
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى * اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْىٌ يُوْحَى

Yang maksudnya[L.K.B]:

“Dan tiadalah yang diucap itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan”. [An.Najm, 53:3-4]

Islam adalah agama yang bermula dengan tauhid , iaitu mengEsakan Allah dan menolak segala macam sembahan [taghut]. Apabila tauhid itu rosak maka rosaklah segala kepercayaan dan amalannya lalu jatuhlah kedalam kemusyrikan. Tidak berguna lagi ibadahnya, usaha kebaikannya, cita-cita murninya, kerana Allah tidak meredhainya malah mengancam orang-orang musyrik.
Firman Allah yang maksudnya [L.K.B]:

“Tidaklah Nabi dan orang-orang mukmin meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang musyrik itu termasuk keluarga yang terdekat, setelah nyata bahawa mereka termasuk ahli neraka”. [At-Taubah:113]

Marilah kita bersama-sama mencari keredhaan Allah dengan rasa tunduk kepadaNya, sejajar dengan tujuan kita diciptakan. Setinggi mana ilmu didada, setebal mana ijazah dan tauliah, semoden mana kita, yang nyata kita adalah manusia. Dengan izinNya kita hidup, dengan izinNya kita berjaya dan dengan izinNya kita kembali.

Firman Allah yang ertinya [L.K.B]:

“Siapakah yang lebih sesat dari orang yang mengikut hawa nafsunya tanpa petunjuk dari Allah”. [Al-Qasas, 28:50]

0 comments: