Tuesday, December 21, 2010

SERUAN MENGAJAK KEPADA YANG MA’RUF MENCEGAH DARI YANG MUNGKAR





Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56 [51:56]:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ

Bermaksud:
Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk / patuh padaKu

Sesungguhnya manusia itu dijadikan dan diberikan satu kehidupan di dunia ini hanyalah dengan satu tujuan iaitu untuk tunduk dan patuh pada Allah. Manusia itu tidak dijadikan untuk mengumpul harta kekayaan dunia atau mengejar nama dan pangkat, kerjaya atau kestabilan ekonomi tapi kita dihidupkan di atas muka bumi ini untuk tunduk pada syariat Allah. Persoalannya ; Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan tunduk dan patuh ? Adakah cukup sekadar solat 5 waktu dikatakan patuh? Adakah cukup dengan menahan diri daripada maksiat dikatakan patuh? Adakah kita sekarang ini benar-benar tunduk dan patuh pada perintah Allah?

Kita mengaku dan kita percaya bahawa jalan yang benar/jalan yang diredhai Allah ialah dengan mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw tetapi adakah kita sekarang ini berada di jalan tersebut? Atau kita masih lagi berangan-angan  merasakan diri benar tapi hakikatnya kita masih jauh dari kebenaran. Saya beranggapan bahawa pembaca ialah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah, dibukakan hati untuk menerima hidayahnya maka dengan itu marilah kita renungkan satu perintah daripada Yang Maha Esa sebagaimana tersebut dalam surah Ali-Imran ayat 104 [3:104]:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ اُمَّةٌ يَدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
Bermaksud:
Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan merekalah orang-orang yang beruntung

Mungkin ramai dikalangan kita yang tahu dan telah hafal ayat ini tapi sudahkah kita mengamalkannya? Adakah kita telah tunduk pada perintah amar ma’ruf nahi mungkar ataukah kita sekadar membacanya lalu kita abaikan perintahnya? Untuk memberi alasan mungkin 1001 alasan kita boleh beri tapi pada zahirnya kita tidak patuh pada perintah tersebut. Saya bimbang kalau-kalau kita termasuk dalam golongan orang-orang yang mencintai dunianya (urusan dunianya) lebih daripada mencintai Allah dan RasulNya dan daripada berjuang di jalanNya, sesungguhnya inilah jalan orang-orang fasiq. Tuntutan dunia sanggup kita turuti walau apa jua rintangannya tapi tuntutan agama kita abaikan begitu saja. Hayati sejenak firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 [9:24]:

قُلْ اِنْ كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَاَبْنَآؤُكُمْ وَاِخْوَانُكُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَاَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا اَحَبَّ اِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَجِهَادٍ فِيْ سَبِيْلِهِ فَتَرَبَّصُوْا حَتَّى يَأْتِيَ اللهُ بِاَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْفَاسِقِيْنَ
Bermaksud:
Katakanlah: “Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad dijalanNya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.

Hadirin yang dirahmati Allah,
Kita sepatutnya bersyukur dengan hidayah yang diberi oleh Allah dan sewajarnya kita berpegang dengan teguh dan beramal dengan bersungguh-sungguh kebenaran yang kita ketahui tetapi bukan kita berpegang dengan apa yang secocok dengan hati/nafsu kita dan kita abaikan apa yang tidak secocok dengan hati/nafsu kita. Jika inilah pengamalan kita, maka kita telah mengikut satu daripada jejak yahudi dan nasrani dan dengarkanlah satu ancaman daripada Allah disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 85-86 [2:85-86]:

اَفَتُؤْمِنُوْنَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُوْنَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَآءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ اِلاَّ خِزْيٌ فِيْ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّوْنَ اِلَى اَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُوْنَ * اُولَئِكَ الَّذِيْنَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالأخِرَةِ فَلاَ يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلاَ هُمْ يُنْصَرُوْنَ
Bermaksud:
Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari kalangan kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa-apa yang kamu kerjakan * Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.

Islam bukan seperti agama buddha, untuk menyucikan diri perlu berkhalwat dalam tokong, cukup sekadar dirinya betul dan dibiarkan orang lain dalam kesesatan, kerosakan akhlak. Jika dilihat daripada sirah hidup Rasulullah saw, apabila beliau menerima wahyu menerima kebenaran daripada Allah maka tanggungjawabnya ialah menyampaikan. Begitu juga para sahabat Rasulullah – sekiranya para sahabat pentingkan diri sendiri maka tidak perlu untuk mereka sebarkan kebenaran Islam sehingga ke seluruh pelusuk dunia, cukuplah dengan tanah arab saja. Tapi sahabat-sahabat tetap menyampaikan kebenaran pada manusia lainnya. Begitu juga dengan para ulama yang mengikut manhaj salaf as-soleh. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan risalah Islam yang sebenar yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw, membanteras penyelewengan dalam agama dan bid’ah-bid’ah dan sememangnya jalan tersebut penuh dengan onak duri. Lalu bagaimana pula dengan jalan hidup kita? Adakah cukup sekadar kita yang tahu dan mengamalkan sunnah lalu kita biarkan orang lain punah? Tanggungjawab orang yang mengetahui ialah sampaikan pada yang tidak mengetahui kerana perintah Rasulullah s.a.w:

بَلِّغُوْا عَنِّيْ وَلَوْ أيَة

Bermaksud:
Sampaikanlah tentangku/daripadaku walau satu ayat

Dan lagi perintahnya:

مَنْ رَاَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيْمَان
Bermaksud:                                                                                                      
Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangan dan jika ia tidak mampu maka dengan lisan dan jika ia tidak mampu maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman.
Hadis Riwayat Muslim

Dunia sekarang dikelilingi kemungkaran, bid’ah merata-rata, kejahilan berleluasa tapi apa yang telah kita lakukan selain daripada menuruti tuntutan hidup dunia? Kita tidak menolak perintah mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar tapi sudahkah kita laksanakan perintah tersebut? Kalau tidak kepada masyarakat umum tapi kepada ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat handai? Pernahkah kita terfikir disebabkan kita tidak mengerjakan amar ma’ruf dan nahi mungkar maka tersiar kejahatan lenyap kebaikan? Rata-rata orang melakukan maksiat, hampir tidak ada yang mengerjakan ibadah. Kita tidak berusaha untuk membanteras kejahatan, kita tidak berusaha untuk mencegah kemungkaran, kita tidak berusaha untuk menolak datangnya kejahatan maka adakah layak kita digelar orang-orang Islam yang sebenar? Inikah sifat-sifat seorang Islam? Adakah keadaan kita secocok dengan firman Allah:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ
Bermaksud:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah
-Ali Imran ayat 110 [3:110]-

Inilah yang saya bimbangkan, kita menyangka diri telah benar tapi hakikatnya kita belum benar-benar berada di jalan yang benar. Realitinya sekarang ini kita bukan sebaik-baik umat, kita adalah serendah-rendah umat. Kita mengaku Islam tapi kewajipan Islam kita abaikan. Kita lakukan apa yang secocok dengan hati naluri kita dan kita tolak ketepi apa yang tidak disukai. Kalau pun kita tidak mampu untuk mengubah kejahatan dengan tangan apakah kita tidak berkuasa mengubah dengan perkataan? Sampai bilakah kita harus menolak dengan hati iaitulah selemah-lemah iman? Di zaman yang penuh dengan kemungkaran, kesesatan dan kejahilan apakah kita masih lagi alpa? Ingatlah! Satu ancaman daripada Allah dalam surah Al-Anfal ayat 25 [8:25]:

وَاتَّقُوْا فِتْنَةً لاَ تُصِيْبَنَّ الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا مِنْكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُوْا اَنَّ اللهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ
Bermaksud:
Dan takutlah olehmu akan fitnah yang tidak hanya akan mengenai orang-orang yang zalim di antara kamu saja dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaNya.

Para pembaca yang dikasihi sekalian,
Kita perlu bulat tekad/bersungguh-sungguh menegakkan syiar Islam. Jihad bukan perkara mainan atau gurauan ia adalah satu perjuangan yang besar. Perjuangan ini bukanlah perjuangan mengangkat senjata bergadai nyawa memerangi musuh Islam tetapi perjuangan kita untuk menyucikan pemikiran umat Islam yang telah jauh menyimpang daripada syariat Islam yang sebenar. Sebilangan besar umat Islam telah diracuni dengan ideologi dan fahaman hidup yahudi dan nasrani iaitulah golongan yang dimurkai dan golongan yang sesat. Perjuangan ini bukanlah satu pilihan tetapi ianya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan kepada kita di akhirat nanti. Perjuangan ini perlukan pengorbanan masa, wang ringgit, tenaga malah keseronokan dan kebahagiaan duniawi dan sebagainya. Mungkin ramai yang berbangga apabila beroleh kerja besar bergaji besar mempunyai ekonomi yang stabil tapi amat sedikit yang menghargai apabila dirinya diperlukan untuk jihad fi sabilillah iaitulah mewarisi perjuangan rasul yang terakhir Muhammad saw.

Dalam kita memperjuangkan Islam, pedoman kita hanyalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw, jangan kita terkeliru dengan pemikiran dan fahaman kafir, nampak bertamadun dan serba maju tapi hakikatnya satu kepalsuan, satu racun yang amat bisa yang mampu membunuh pemikiran dan aqidah seorang Islam. Sesungguhnya fahaman dan ideologi kafir hanyalah dari pemikiran yang tidak terpimpin yang semata-mata berlandaskan hawa nafsu.

Oleh itu saya menyeru para pembaca sekalian, jika benar kita percaya Al-Quran dan Sunnah satu kebenaran, kita perlu bersatu menggembling tenaga dan idea untuk menyemarakkan perjuangan sunnah. Kita perlu bersatu dan menggunakan segala kelebihan dan kepakaran yang ada untuk menyumbang kepada memartabatkan syiar Allah. Saya difahamkan masyarakat sunnah terdiri daripada pelbagai golongan professional, kita mempunyai segala kelebihan dan kekuatan tapi disebabkan kita tidak bersatu, kekuatan kita berserakan di mana akibatnya musuh-musuh Islam semakin berleluasa. Dalam surah As-Sajdah ayat 33 [41:33] Allah berfirman:

وَمَنْ اَحْسَنُ قَوْلاً مِمَّنْ دَعَا اِلَى اللهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ اِنَّنِيْ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
Bermaksud:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”.

Sebagai penutup tajuk ini, renungkanlah firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 20 [57:20]:

اِعْلَمُوْا اَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِيْنَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِيْ الأمْوَالِ وَالأوْلاَدِ كَمَثَلِ غَيْثٍ اَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيْجُ فَتَرَىهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُوْنُ حُطَامًا وَفِيْ الأخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيْدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا اِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Bermaksud:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya hidup di dunia hanya gurauan, permainan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak-anak. Umpama demikian itu seperti air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir kerana tumbuh-tumbuhannya kemudian ia menjadi kering lalu engkau lihat ia menjadi kuning kemudian menjadi lumat (hancur) dan di akhirat siksa yang keras (untuk orang kafir) dan ampunan dan keredhaan daripada Allah (untuk orang mukmin). Hidup di dunia tidak lain hanya kesenangan yang palsu.

Walau apa jua taraf atau kedudukan kita di dunia ini jangan jadikan ia penghalang kepada berjuang di jalan Allah dan janganlah ia menjadi satu perbezaan sesama kita sesungguhnya manusia itu yang mulia di sisi Allah hanya yang bertaqwa. Al-Hujuraat ayat 13

اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ اَتْقَاكُمْ

0 comments: