Friday, March 12, 2010

AL-FIRQATUN NAJIYAH GOLONGAN YANG SELAMAT


AL-FIRQATUN NAJIYAH
GOLONGAN YANG SELAMAT


Setelah zaman kegemilangan Islam iaitu selepas wafatnya Rasulullah saw. telah muncul berbagai-bagai kelompok atau golongan yang sesat seperti golongan yang dikenali sebagai ahli ahwa’, tariqat atau sufi/tasawuf dan ahli ilmu Kalam yang dari pecahan mereka lahir berbagai-bagai nama seperti Qadariyah, Al-Asy’ariyah, Muktazilah dan berbagai nama lainnya, di mana dari pecahan ini lahirlah berbagai golongan yang ada di antaranya sampai ke tahap terpesong manhajnya dari Al Sunnah wal Jamaah.  Kadar penyelewengan mereka ini ada yang sedikit dan ada yang yang sampai terkeluar dari aqidah ahli Sunnah, iaitu sampai ke tahap kufur. Dan golongan yang terpesong inilah yang telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. sebagai yang paling ramai di kalangan manusia yang mengaku beragama Islam. Sabda Rasulullah saw.:

اَلاَ وَاِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ اَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوْا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَاِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ، ثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
“Ketahuilah, sesungguhnya umat-umat sebelum kamu dari kalangan ahli kitab telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan sesungguhnya agama kita ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, yang tujuh puluh dua golongan akan masuk neraka dan yang satu golongan, iaitu Al-Jamaah akan masuk syurga.” Hadits ini diriwayatkan oleh Ahmad dan lainnya. Hadits hasan.

Dan di riwayat lainnya Rasulullah saw. bersabda :

كُلُّهُمْ فِي النَّارِ اِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً، مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
“Semua masuk neraka, kecuali satu (iaitu golongan) yang sehaluan dengan aku beserta para sahabatku.” H.R. At-Tirmidzi. Al-Albani menilai hadits ini sebagai hasan-SAHIH AL-JAMI’ : 5219.

Maka inilah satu-satunya golongan yang selamat iaitu golongan ahli Sunnah wal Jamaah iaitu yang berpegang dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. dan apa yang beliau dan para sahabatnya berada di atasnya.

Golongan yang selamat ini juga dikenali sebagai FIRQAH NAJIYAH الفرقة الناجية  dan dikenali juga dengan nama THAIFAH MANSHURAH  الطائفة المنصورة dan ada yang mengenalinya sebagai AS-SALAFIYYUN. Maka semua itu adalah dari golongan yang satu yang sama manhajnya iaitu Al-Sunnah wal-Jamaah. Di zaman yang kita lihat berlaku  sekian banyak kehancuran di kalangan umat Islam dalam menjaga keislaman pada diri mereka, termasuk di dalam golongan yang sesat dan dimurkai Allah, namun masih ada segolongan yang masih tetap benar dan berusaha untuk tetap tegak di atas kebenaran dengan berani dan penuh keyakinan. Sabda Rasulullah saw.:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ ظَاهِرُوْنَ
“Senantiasa ada segolongan dari umatku yang tetap tegak di atas kebenaran hingga datang perkara (pertolongan) Allah dan mereka dalam keadaan seperti itu.”
Muttafaq 'Alaih

Golongan inilah yang sepatutnya kita berusaha untuk melayakkan diri kita supaya berada di dalamnya agar terpimpin di jalan yang benar. Moga Allah menunjukkan kita jalan yang benar iaitu jalan yang diredhaiNya. Maka untuk melayakkan kita di dalam kumpulan yang najiyah ini hendaklah kita tetap, yakin, berusaha dan menepati jalan yang telah disunnahkan oleh Rasulullah saw. Jangan kita merasa gentar dan berputus asa dalam menegakkan kebenaran dan janganlah kita merasa takut pada hinaan dan cacian orang yang menentang As-Sunnah kerana sesungguhnya sabda Rasulullah saw.:

وَلَنْ تَزَالَ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ مَنْصُوْرِيْنَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُوْمَ السَّاعَةُ
“Senantiasa ada segolongan dari umatku yang tertolong di atas kebenaran yang tidak membahayakan orang yang menghinanya hingga datang hari Kiamat.” H.R. Ahmad, At –Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain lainnya.

Maka segala macam tentangan, cabaran yang kita tempuhi itu adalah ujian Allah, di mana Rasulullah saw., para sahabat dan tabiin serta sekian banyak para ulama telah menerima dan menempuhinya dan tidaklah menjadi satu keganjilan bagi kita di masa ini menerima berbagai-bagai tentangan. Hendaklah kita bertindak menurut syariat dan menyampaikan As-Sunnah itu dengan bijaksana supaya dapat diterima oleh orang yang belum memahaminya. Firman Allah :

اُدْعُ اِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِى هِيَ اَحْسَنُ
“Hendaklah kamu mengajak ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berbalahlah dengan mereka dengan cara yang sebaiknya.”
Q.S. An-Nahl ayat 125 [16:125]

Demikianlah panduan yang diberikan oleh Allah dalam kita mengajak dan menghadapi golongan yang sememangnya tidak memahami atau yang sengaja menentang As-Sunnah, jangan sekali-kali kita memaksa diri kita untuk berbantah-bantah (berdebat) sehingga akhirnya kita sendiri mengambil akal sebagai hujjah dan meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya kita jadikan panduan dan dalil penyampaian kita. Jalan yang terbaik ialah kita cuba mengelakkan dari berbantah (perdebatan) tetapi cuba menyampaikan kebenaran sebijak yang mungkin, dan apabila berlaku juga bantahan dan penolakkan di atas penyampaian kita, maka jika berhujah, berhujahlah dengan jalan yang bijak iaitu berdasarkan Al-Quran dan hadits Rasulullah saw. Tetapi apabila hujah kita mungkin akan menyebabkan bertambah buruk suasananya, lebih baiklah kita berdiam dan berlalu dari suasana yang demikian. Sabda Rasulullah saw. :

اِنَّ اَبْغَضَ الرِّجَالِ اِلَى اللهِ الأَلَدُّ الْخِصَامُ
“Orang yang paling dimurkai Allah adalah (al-aladul al-khisham) pendebat yang paling keras.” H.R. Al-Bukhari, Kitab At-Tafsir dan Muslim dalam Kitab Al-Ilm.

Imam An-Nawawi berkata : “Al-Aladd adalah pendebat yang paling keras, diambil dari lafaz al-aladul al-khisham yang bererti dua lereng lembah, sebab pendebat ketika kalah berhujjah mencari alasan lain. Al-Khashim adalah orang yang sangat pandai bermain kata. Perdebatan tercela, bila untuk suatu kebatilan dan mengenepikan kebenaran.”
-Syarah Sahih Muslim-

Iaitu kita menjaga penyampaian kita sebagai orang yang bermanhajkan As-Sunnah supaya penyampaian kita tidak sampai menjadi satu perbahasan yang lebih kepada keinginan untuk menang sehingga kita beralasankan kata-kata yang lahir dari akal fikiran dan membelakangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka kebijaksanaan di dalam menyampai, mendidik anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat adalah penting dan Islam menggalakan kita menyampaikan kebenaran termasuk kepada orang-orang kafir dan ahli kitab. Firman Allah :

وَلاَ تُجَادِلُوْا اَهْلَ الْكِتَابِ اِلاَّ بِالّتِى هِيَ اَحْسَنُ
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang paling baik.” Q.S. Al-Ankabut ayat 46 [29:46]

Iaitu diperjelaskan tentang debat yang terpuji iaitu debat untuk membela kebenaran, sebagaimana debat Ali dan Ibnu Abbas dengan Khawarij, debat Imam Asy-Syafie dengan Hafsh Al-Fard seorang dari pengikut Ahli Ilmu Kalam di mana debat itu atas menegakkan kebenaran berdasarkan naqal (keterangan syara') bukan lahir dari akal semata.

Maka berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah itu adalah pegangan firqah Najiyah yang tetap kukuh dan dipertahankan sehingga ia mati di dalam suasana yang demikian. Tidaklah ia kasih, marah, melarang dan benci melainkan kerana Allah, demikianlah dijelaskan oleh Rasulullah saw. melalui sabdanya :

مَنْ اَحَبَّ للهِ وَاَبْغَضَ للهِ وَاَعْطَى للهِ وَمَنَعَ للهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الاِيْمَان
“Siapa yang kasih kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah, melarang kerana Allah, maka ia sesungguhnya telah menyempurnakan keimanannya.”
Hadits Hasan Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad.

Adalah sangat penting bagi kita yang telah memahami As-Sunnah untuk tetap kukuh bersama jemaah, saling berjumpa dan belajar mendalami ilmu As-Sunnah supaya kita beramal di atas jalan yang benar dan adalah dilarang kita berpecah/meninggalkan  ikatan jemaah. Janganlah kerana urusan yang tidak ada padanya sebarang sebab yang layak dibuat alasan seperti malas, jemu, mementingkan hobi dan lain-lain sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan, kita tinggalkan aktiviti jemaah yang mungkin hanya seminggu sekali sehingga lama-kelamaan menjadi satu kelaziman untuk bertindak mudah meninggalkan jemaah baik dalam majlis ilmu atau aktiviti-aktiviti lainnya. Akhirnya kita bimbang orang tersebut terus keluar dari jemaah dan terus leka dengan kehidupan dunianya. Ia membenci bid’ah, tetapi dalam masa yang sama ia tinggalkan as-Sunnah. Kejadian yang begini banyak sekali terjadi, dan wajib kita menjauhi perbuatan berpecah dari jemaah kerana sabda Rasulullah saw.:

مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَاِنَّهُ يَمُوْتُ مَيْتَةَ جَاهِلِيَّةَ
“Sesiapa yang berpisah meninggalkan jemaah sesungguhnya ia mati dalam keadaan jahiliah.” Hadits Shahih Riwayat Muslim dan Ahmad.

Sabdanya lagi:

مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَقَدَ خَلَعَ رِبْقَةَ الاِسْلاَمِ مِنْ عُنُقِهِ
Barangsiapa yang memisahkan diri dengan jamaah sejengkal maka sesungguhnya ia telah mencabut ikatan Islam dari tengkoknya.   Riwayat Ahmad dan Abu Daud dengan darjat shahih. Hadits ini shahih dengan syahid-syahidnya. 

Kehidupan bagi seorang yang bermanhajkan As-Sunnah ini lazimnya adalah sunyi dari sahabat yang ramai, terkadang dipulau orang dan diberikan dengan berbagai-bagai gelaran juga fitnah. Hendaklah kita hadapi ujian itu dengan sabar dan penuh keyakinan terhadap pertolongan Allah. Jauhilah dari rasa sedih tetapi berusahalah untuk terus bangun dengan memperbanyakkan ahli jemaah supaya kita dapat bersama memperjuangkan As-Sunnah dan ingatlah pesanan Rasulullah saw.:

اِنَّ الاِسْلاَمَ بَدَأَ غَرِيْبًا وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأَ فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Sesungguhnya Islam itu pada awal kemunculannya terasing dan akan kembali menjadi terasing seperti pada awalnya. Maka keuntungan besarlah bagi orang-orang yang terasing.”                 Hadits Shahih Muslim.

Dalam riwayat lainnya disebut :

فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ، الَّذِيْنَ يَصْلُحُوْنَ اِذَا فَسَدَ النَّاسُ
“Dan keuntungan besarlah bagi orang-orang yang terasing, iaitu orang-orang yang tetap berbuat baik di tengah-tengah rosaknya kehidupan masyarakat.” Al-Albani berkata : ‘Hadits ini diriwayatkan oleh Abu Amru Ad-Dani dengan sanad sahih.’

Golongan yang selamat tidak mendahulukan perkataan seseorang atas firman Allah dan sabda Rasul-Nya. Ini dijelaskan oleh Allah dari firman-Nya :

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَىِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَاتَّقُوْا اللهَ اِنَّ اللهَ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kalian mendahului Allah dan Rasul-Nya, dan bertaqwalah kalian kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Q.S. Al-Hujurat ayat 1 [49:1]

Dan Ibnu Abbas berkata :

اَرَاهُمْ سَيُهْلِكُوْنَ، اَقُوْلُ " قَالَ النَّبِيُّ ص " وَيَقُوْلُوْنَ " قَالَ اَبُوْ بَكْرٍ وَعُمَرُ "
“Aku kira mereka akan binasa. Aku berkata : Nabi saw. telah bersabda, namun mereka mengatakan, Abu Bakar dan Umar berkata.” Riwayat Ahmad dan lainnya. Ahmad Syakir menilaikannya shahih.

Golongan yang selamat atau Najiyah adalah golongan yang menjaga kemurnian tauhidnya. Mereka mentauhidkan Allah di dalam beribadah, berdoa atau memohon pertolongan hanya pada Allah baik di dalam suasana sulit mahupun lapang,  menyembelih haiwan hanya kerana Allah, bernazar, bertawakal, hanyalah penggantungan, pengharapan dan kepercayaan itu pada Allah semata, tidak pada selainNya . Mereka menjaga diri mereka dari syirik kerana ini adalah lawan yang nyata bagi tauhid.

Golongan najiyah adalah golongan yang suka menghidupkan sunnah-sunah Rasulullah saw. di dalam beribadah, dalam berperilaku dan dalam segala urusan kehidupan yang ada padanya anjuran sunnah untuk diikuti. Dan inilah yang lazimnya akan menyebabkan golongan Najiyah dipandang ganjil, asing di tengah-tengah masyarakatnya.

Sesungguhnya kehancuran dunia dan rosaknya peradaban manusia adalah antara bencana-bencana yang menimpa manusia pada umumnya disebabkan manusia meninggalkan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. Ini telah dijelaskan oleh Rasulullah saw sebagaimana tersebut dalam sebuah hadits shahih riwayat Bukhari yang dipetik dalam Kitabul Fitan (Kitab Fitnah-Fitnah):

اِصْبِرُوْا فَاِنَّهُ لاَ يَأْتِيْ عَلَيْكُمْ زَمَانٌ اِلاَّ وَالَّذِيْ بَعْدَهُ اَشَرُّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ
Bersabarlah kamu sekalian kerana sesungguhnya tidak akan datang kepada kamu (suatu) zaman melainkan zaman yang selepasnya adalah lebih buruk dari zaman itu sehinggalah engkau bertemu Tuhanmu.

Sesungguhnya, tidak ada kejayaan bagi kaum muslimin kecuali bila mereka kembali kepada peraturan-peraturan yang telah diwahyukan Allah. Umat Islam perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah baik dalam agama, urusan peribadi, bermasyarakat mahupun urusan bernegara. Firman Allah :

اِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوْا مَا بِاَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka sendiri  yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka” Q.S. Ar-Ra’d ayat 11 [13:11]





0 comments: