Photobucket

Sunday, May 10, 2009

BUAH HATI.....ANTARA PERHIASAN DAN UJIAN KEIMANAN





Anak Sebagai Perhiasan Dunia


Allah s.w.t telah menjadikan segala sesuatu yang ada di permukaan bumi sebagai perhiasan bagi kehidupan dunia, termasuk di dalamnya adalah harta dan anak-anak. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:


“Dijadikan indah pada pandangan (manusia) kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik(syurga)".(Surah Ali Imran :14)

Anak merupakan kurnia dan pemberian dari Allah s.w.t sebagai penyejuk pandangan mata, kebanggaan bagi setiap ibubapa dan menjadi perhiasan dunia, serta belahan jiwa yang berjalan di muka bumi. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:


"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal bagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik menjadi harapan."(Surah Al Kahfi:46)


Di antara bentuk perhiasan dunia adalah bangga dengan banyaknya anak, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:


"Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah diantara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak".(Surah Al Hadid:20)


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Nikahilah wanita yang banyak anak (subur) dan penyayang. Kerana aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak".(Hadis Riwayat:Nasa'i)



Beliau bersabda lagi yang bermaksud:


"Nikah adalah sunnahku dan barangsiapa yang tidak mengamalkan sunnahku maka bukan termasuk golonganku. Nikahilah wanita yang banyak anak (subur) dan penuh kasih sayang. Kerana aku bangga dengan jumlah kalian yang banyak pada hari kiamat".(Hadis Riwayat:Nasa'i)



Seorang yang bijak, jika sudah mengetahui bahawa anak merupakan perhiasan, tentunya ia akan menjaga perhiasan tersebut sebaik-baiknya. Yakni dengan mendidik mereka dengan pendidikan yang baik. Hingga mereka betul-betul menjadi penyejuk pandangan mata, memiliki keluhuran budi pekerti, akhlak mulia dan sikap yang cekal.


Hal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:


"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka"(Surah At Tahrim:6)


Cukuplah sebagai tanda jasa dan pujian bagi orang yang beriman, bahawa seorang hamba akan meraih balasan pahala yang besar setelah matinya. Dari Abu Hurairah berkata, bahawa Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Jika manusia meninggal, maka terputuslah amalanya, kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya".1)


Jadi, seorang yang beriman akan meraih mertabat yang tinggi, pahala berlipat ganda dan meninggalkan peninggalan yang mulia di dunia bagi anak cucunya. Dari Abu Hurairah berkata bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


"sesungguhnya seseorang akan diangkat martabatnya di syurga, maka ia berkata,"Dari manakah balasan ini?"Dikatakan,"Dari sebab istighfar anakmu kepadamu".2)


Begitu pula dia akan dikumpulkan di syurga bersama suami isteri dan ahli keluarganya, sebagai kurnia dan balasan yang baik dari Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


"dan orang-orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang di kerjakannya".(Surah Ath Thur:21)


ANAK SEBAGAI FITNAH DUNIA

Anak, selain sebagai perhiasan dan penyejuk mata, boleh juga menjadi fitnah (ujian dan cubaan) bagi ibubapa. Ia merupakan kepercayaan yang akan menguji setiap ibu bapa. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, sesunguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka;dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesunguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar".(Surah At Taghabun:14,15)


Firman Allah di atas dengan sangat jelas menerangkan, anak boleh menjadi fitnah dunia bagi kita. Ibarat permata zamrud yang wajib kita pelihara. Maka berhati-hatilah, janganlah kita terlena dan tertipu sehingga kita melanggar perintah Allah s.w.t dan melanggarnya. Jangan sampai anak kita menjadi penyebab turunnya murka dan bencana Allah s.w.t pada diri kita. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan Rasulnya, dan juga janganlah kalian mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu padahal kamu mengetahui. Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar”(Surah:Al Anfal:27,28)


Berkenaan dengan firman Allah s.w.t di atas, Syaikh Abdurrahman bin Nashir As Sa’di rahimullah berkata;”Allah Ta’ala memerintahkan para hambanya yang beriman, agar mereka menunaikan kepercayaan yang ditugaskan kepada mereka, baik berupa perintah-perintahnya mahupun larangan-larangaNya. Sesungguhnya kepercayaan adalah hal yang pernah Allah tawarkan kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya tidak sudi untuk memikul perintah itu, dan mereka takut akan mengkhianatinya. Kemudian dipikulah perintah tersebut oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. Maka barangsiapa yang menunaikan kepercayaan tersebut,ia berhak mendapat pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t, adapun orang yang mensia-siakan kepercayaan tersebut, ia berhak mendapat siksa yang pedih, dan ia menjadi orang yang sangat hina terhadap Allah dan Rasul-Nya serta kepercayaanya. Dia telah menurunkan martabat dirinya sendiri dengan sifat tercela, iaitu sangat hina. Dan telah menghilangkan daripada dirinya kesempurnaan sifat, iaitu sifat kepercayaan.”3)


Dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman:

“Hai manusia, bertaqwalah kepada Rabb-mu, dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.”(Surah Luqman:33)

Dalam realiti, mungkin selalu kita lihat, ibubapa bekerja membanting tulang tak kenal penat dan lelah untuk kehidupan anak. Mencurahkan seluruh upayanya, semata-mata untuk kebahagiaan anak. Dari sini dapat kita fahami bagaimana anak boleh menggelincirkan ibu bapa dari jalan kebenaran, melalaikan mereka dari akhirat, jika mereka tidak dapat meletakkan segala upaya tersebut untuk meraih redha Allah.


Sebahagian orang mungkin bersangka, ibubapa yang beruntung adalah yang berjaya menyekolahkan anaknya sampai meraih kejayaan bergelar doktor, jurutera dan gelaran yang lain-lain. Mungkin sangkaan ini benar, jika dilihat dari satu sudut sahaja. Namun ada satu hal penting yang boleh diperhatikan oleh ibubapa, bahawa berjaya mendidik anak-anak serta kebahagiaan hidup tidak hanya terletak pada gelaran sarjana,pangkat dan segala kemudahan dunia lainnya. Anak juga memerlukan pendidikan rohani dan pendidikan agama, agar mereka kelak akan menjadi insan yang seimbang secara keseluruhannya, maksudnya memahami tugasnya sebagai hamba Allah s.w.t, juga memahami kedudukannya sebagai anak dan tugasnya sebagai sebahagian dari umat. Alangkah baiknya jika kita memiliki anak bergelar doktor sekaligus muwahhid (orang yang bertauhid). Betapa bahagianya ibubapa yang memiliki anak yang berpendidikan yang mukmin dan soleh. Sehingga ilmu mereka boleh bermanfaat untuk kebaikan umat.

Oleh kerana itu, setiap ibubapa wajib mengetahui perkara-perkara yang telah Allah wajibkan kepada mereka berkaitan dengan anak-anak, sehingga dapat menjaga kepercayaan yang berharga ini.

Antara perkara-perkara yang boleh menebus dosa akibat fitnah yang ditimbulkan oleh anak adalah puasa, solat dan amal makruf nahi mungkar. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Hudzaifah dalam hadis yang panjang, beliau berkata yang bermaksud;Aku mendengar Rasullulah s.a.w bersabda:

“Fitnah seseorang daripada keluarga, hartanya, anaknya, dirinya dan tetangganya tertebus dengan puasa, solat, sedekah dan amal makruf nahi mungkar”.(Bukhari, Muslim)

Semoga Allah s.w.t menganugerahkan anak yang soleh, yang menolong dalam ketaatan dan menjadi pengingat daripada kelalaian, serta memberi nasihat ketika lupa dan lalai daripada ajaran islam.




Rujukan:
*)Diadaptasi dari kitab kaifa Turabbi Waladan Salihan, karya Al Akh Al Maghribi bin As Sayyid Mahmud Al Maghrib,denagn beberapa tambahan oleh Ummu Rasyidin.
1)Sahih Bukhari, 7/247, 6514 dan sahih Muslim, 3/1016, 1631.
2)sahih sunan Ibnu Majah, 2/294,2954, dan dikeluarkan Ahmad di dalam musnad, 2/509.
3)Taisir Karimir Rahman, 1/793.

Oleh:Wan Atiqah binti Wan Nasir@ Ummu Abdurrahman

0 comments: