Photobucket

Friday, August 21, 2009

Ancaman Terhadap As-Sunnah


ANCAMAN TERHADAP AS-SUNNAH

Suatu permasalahan yang telah berlaku sekarang ini adalah serangan secara halus oleh golongan yang bermazhab dengan pengakuan mereka adalah pejuang As-Sunnah. Apabila perkataan As-Sunnah atau Ahli Sunnah wal-Jamaah dilaungkan maka pencinta-pencinta sunnah pun keluar untuk menyambut kehadiran ulama-ulama yang mereka sangkakan sebagai seorang pejuang As-Sunnah, tetapi sebenarnya ulama itu adalah tokoh mazhab Hambaliyah yang menyembunyikan pada zahir tentang sifat bermazhabnya dan apabila telah kukuh pengaruhnya ia mula menunjukkan taringnya dan mula menyebarkan mazhabnya sebagai pegangan As-Sunnah dan menyatakan pegangan selain dari itu adalah tidak rajih’(tidak kuat). Sedangkan apa yang disampaikan adalah mewakili mazhabnya, jumhur ulama mazhabnya, bukan mewakili jumhur ulama Islam dari mazhab fiqhiyiah yang lain. Akhirnya terjadilah perpecahan sesama golongan As-Sunnah kerana keliru dan terpengaruh dengan ketokohan, kepetahan bersilat lidah tetapi bukan dari dalil yang benar-benar kukuh, tetapi di usahakan olehnya agar diyakini ianya kukuh. Sedangkan apa yang di lakukan oleh mereka bukanlah cara yang di tunjukan oleh Imam Ahmad bin Hambal atau Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab al-Hambali tetapi adalah di lakukan kerana fanatik mereka kepada mazhab atau guru yang mereka ambil ilmu darinya. Berkata Imam Ahmad :

لاَ تُقَلِّدْنِي وَلاَ تُقَلِّدْ مَالِكًا وَلاَ الشَّافِعِي وَلاَ الأوْزَاعِي وَلاَ الثَّوْرِي وَلَكِنْ خُذْ مِنْ حَيْثُ أَخَذُوا

“Jangan bertaklied kepada ku dan jangan bertaklied (kepada) Malik dan jangan bertaklied kepada AsySyafie dan jangan Al-Auzaie dan juga AsSauri. Akan tetapi ambillah mengikut sumber yang mereka ambil.”

Kata Imam Ahmad lagi :

"رَأْيُ الأَوْزَعِي وَرَأْيُ مَالِكٍ وَرَأْيُ أَبِي حَنِيْفَةِ كُلُّهُ رَأْيٌ وَهُوَ عِنْدِي سَوَاءٌ وَاِنَّمَا الْحُجَّةُ فِي الآثَارِ"

“Fikiran Al-Auzaie dan fikiran Malik dan fikiran Abi Hanifah, kesemuanya fikiran, bagiku adalah sama sahaja, adapun yang menjadi hujah adalah hadits.”

Maka kita berkata Al-Imam Hambali itu adalah seorang tokoh As-Sunnah, tetapi golongan yang bertaklied kepadanya walaupun bertaklied kepada dalil daripada mazhabnya tetapi meremehkan dalil yang lebih kukuh dari lain-lain ulama adalah tidak menepati jalan As-Sunnah yang murni dan tidaklah ini menjadi pendirian Imam Ahmad. Sabda Rasulullah saw.

عَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ، فَاِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ، وَهُوَ مَعَ الاِثْنَيْنِ أَبْعَدُ، وَمَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةَ: فَلَيَلْزَم الْجَمَاعَةَ

“Hendaklah kamu dengan jamaah, berhati-hatilah tentang perpecahan, bahawa syaitan bersama dengan seorang, dia lebih jauh dengan dua orang, siapa yang berkehendak kesenangan syurga, hendaklah bersama dengan jamaah.” H.R.Ahmad.

Terdapat berbagai bagai pendapat tentang siapakah jamaah, ada yang berfaham kumpulan yang ramai dari umat Islam dan ada yang berfaham berada di dalam urusan dimana bersepakat sesuatu perkara oleh ulama-ulama Islam, jika dua pendapat itu dijadikan panduan saya pasti umat Islam akan hancur ke lembah kesesatan kerana kumpulan yang ramai dari umat Islam iaitu seramai 72 golongan itu semuanya ke neraka. Sabda Rasulullah saw.:

سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعُونَ فِرْقَةً النَّاجِيَةُ مِنْهَا وَاحِدَةٌ وَالْبَاقُونَ هَلَكِي، قِيلَ وَمَنْ النَّاجِيَةُ؟ أَهْلُ السَّنَّةِ وَالْجَمَاعَةُ، قِيْلَ وَمَا الْجَمَاعَةُ؟ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَ أَصْحَابِي.

“Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, yang selamat satu sahaja, yang bakinya binasa.” Baginda di tanya : “Siapakah yang selamat ?” Baginda bersabda : “Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah.” Baginda di tanya : “Apa itu Al-Jamaah ?” Baginda bersabda : “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” H.R.Sahih Sunan At-Tirmidzi.

Maka jamaah itu pada penjelasan Rasulullah saw. adalah suatu jalan, perbuatan, pendirian yang diambil oleh seseorang itu berdasarkan Al-Quran, Sunnah Rasulullah saw., dan pengamalannya benar menurut apa yang di amalkan oleh para sahabat. Iaitu ia tidak membaca sebuah hadits lalu di amalkan menurut kefahamannya sedangkan kefahaman itu bertentangan dengan sunnah para sahabat, dan itu belum lagi di katakan bermanhajkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Demikian juga himpunan ulama Islam yang paling ramai adalah dari golongan kalam, ahli ahwa dan ahli bid’ah, iaitu dari kumpulan yang berpecah-belah dengan berbagai pendapat dan rekaan.Tetapi kumpulan-kumpulan ini lazimnya boleh bersatu sesama mereka dan tolong-menolong dalam urusan menentang kebangkitan As-Sunnah. Ini boleh dilihat dalam pergerakan Tabligh yang di asaskan oleh golongan sufi/tasawuf. Golongan ahli bid’ah, tasawuf, kalam, dan golongan jahiliyah moden (celik dunia tetapi jahil agama) mereka boleh bersatu dalam satu kumpulan yang ramai. Dan inilah jamaah yang ramai sekarang ini di serata dunia khusus bagi kita di Asian ini.Tetapi mereka adalah jamaah yang telah nyata kesesatan dan kesempitan ilmu tentang Islam iaitu golongan yang membelakangkan tauhid dan mendahulukan amalan kebaikan (Fa-dla-ilul-a’maal). Maka ini bukanlah jamaah yang di maksudkan oleh Rasulullah saw.
Berkata sahabat Rasulullah saw.:

الْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ، وَإْنْ كَانَ وَحْدَكَ

“Jamaah itu ialah yang sepakat dengan kebenaran, walaupun engkau seorang diri.”
Dikeluarkan oleh Al-Lalikani dalam "Syarh Ushul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah"

Biarpun kita di pulau atau terpinggir, biar pergerakan sunnah itu tinggal dua atau tiga orang sekalipun selagi ia berada di atas kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah maka ia tetap berada di dalam jamaah. Sememangnya perkara ini, iaitu As-Sunnah ini akan menjadi kecil golongannya, akan terpencil, akan menjadi asing telah dinyatakan oleh Rasulullah saw. di dalam haditsnya dan ianya pasti akan berlaku. Apa yang penting bagi seorang yang ingin berada di atas landasan manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah ia akan terus berjuang dengan kumpulannya, jamaahnya. Sabda Rasulullah saw.:

لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرَّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلاَ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ

“Akan berterusanlah satu kumpulan dari umatku menonjol di atas kebenaran, tidak akan membahayakan mereka bagi sesiapa yang cuba mengecewakan mereka dan tidak mengecewakan mereka bagi siapa yang membantahkan mereka sehingga akan datang penentuan Allah sedangkan mereka tetap dengan pendirian yang demikian.”
H.R. Muslim dan Bukhari.

Yang pasti seorang yang bermanhajkan As-Sunnah tidak boleh mengalah, tidak boleh kecewa dalam melayarkan bahtera perjuangan, apabila layar perjuangan telah kita naikkan maka tidak ada istilah mudur ke belakang untuk mengalah tetapi hendaklah kita teruskannya sehingga sampai kepada matlamat kita, sehingga sampai penentuan Allah.

Pendirian kita adalah nyata iaitu tiada bermazhab-mazhab di dalam Islam kerana tidak ada contoh dari Rasulullah saw. dan tidak juga diamalkan oleh para sahabatnya. Oleh itu, kita wajib tegas bahawa selain jalan yang dibawa dan disunnahkan oleh Rasulullah saw di dalam urusan agama, ianya pasti sesat. Tidak boleh diterima walau sebesar mana kedudukan seorang ulama itu dari hal pendapatnya yang menghalalkan bermazhab dengan ulama, kerana ia bukan seorang Rasul yang diberi wahyu tetapi seorang manusia yang pasti berlaku silap dan menghalalkan mazhab itu adalah kesilapannya maka wajib baginya bertaubat. Jika ingin juga bermazhab, maka katakan :

‘Mazhabku Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah.’ Bukan Mazhab Syafie, bukan Mazhab Hambali, bukan Hanafi dan bukan juga Maliki. Firman Allah :
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا

Yang bermaksud :
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah (bersatu), janganlah kamu berpecah belah.” Q.S. Ali-Imran, 3 : 103.

Firman Allah lagi :

وَلاَ تَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ تَفَرَّقُوْا وَاخْتَلَفُوْا مِنْ بَعْدِ مَاجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ اُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيْمٌ

Yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu menyerupai orang orang yang bercerai berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang orang yang mendapat seksa yang berat.” Q.S. Ali-Imran, 3 : 105.

Sepotong lagi firman Allah untuk kita renungkan:

وَلاَ تَكُوْنُوْا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ * مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ

Dan jangan kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah * iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan, tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka
Q.S Ar-Ruum, 30 : 31-32

Bermazhab dengan ulama itu adalah sebahagian dari sifat ghuluw (melampau), kerana sifat ghuluw kepada seseorang ulama akan menyebabkan seseorang itu sangggup menolak dalil Al-Quran dan hadits yang sahih, paling tidak ia akan memutar belitkan dalil tersebut untuk menjelaskan tentang keyakinannya terhadap mazhab yang dipegangnya sehingga di anggap olehnya sebagai rajih’(kuat) dan menyatakan dalil selainnya adalah lemah qaulnya atau lemah pendapatnya. Firman Allah :

مَا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ

Yang bermaksud :
“Allah tidak menjadikan dua ideologi dalam diri (hati) seorang lelaki.”
Q.S. Al-Ahzab, 33 : 4.

Islam mewajibkan umatnya berpegang kepada akidah yang satu dan beramal dengan apa yang dibawa dan disunnahkan oleh Rasulullah saw. Maka dimaafkan kekurangan seseorang itu kerana ia belum berjumpa dalilnya di dalam pencarian ilmunya, tetapi bukan dengan menolak atau meremeh dalil orang lain yang nyata sahihnya kerana berlainan dengan mazhabnya, berlainan dengan apa yang di ajar oleh gurunya. Firman Allah :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ، إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً.

Yang bermaksud :
“Janganlah kamu mengikut (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan di pertanggungjawab.” Q.S. Al-Isra’ : 36.

Ingin dijelaskan bahayanya golongan bermazhab ini apabila mereka mengaku memperjuangkan As-Sunnah. Antaranya :

1. ANGKUH

Mereka angkuh dan selalunya akan mencari atau mendapat maklumat hanya di kalangan orang yang mereka anggap sealiran dengan mazhabnya. Dan akan berusaha untuk mematahkan alasan yang berbeza dengannnya biarpun alasan itu berdalil dengan sekian banyak hadits yang sahih, mutawatir, muttafaq’alahi, marfu’, sebagai contoh solat tarawih dan solat malam itu jelas di lakukan oleh Rasulullah saw. dari hadits-hadits yang sahih adalah sebelas rakaat dan dalam hadits lainnya tiga belas rakaat iaitu solat witir itu di lakukan lima rakaat. Walaupun dalilnya kuat, banyak lagi golongan bermazhab yang mengaku bermanhaj As-Sunnah ini, tetap menyatakan boleh dibuat dua puluh rakaat, dalil mereka di Mekah pun orang buat begini, yang paling menyedihkan hadits-hadits yang telah jelas daif digunakan untuk menjadi hujah, sedangkan telah nyata hadits yang sahih. Jika mereka terbelit atau tergugat maka yang mungkin mereka jawab : ‘ini masalah khilafiyah, dan ada kaul muktabar, buatlah apa yang kita yakin semuanya ada dalil.’ Inilah bahaya golongan yang bermazhab, ketulusannya dalam menerima dalil yang sahih, boleh kita pertikaikan dan bagi saya sangat jelas kerosakannya di dalam As-Sunnah apabila orang yang begini pendiriannya mengaku bermanhaj As-Sunnah. Mereka sombong dan angkuh dengan ilmu dari mazhab yang mereka pegang, mereka adalah orang yang terikat kebebasan ilmunya dengan lingkaran mazhab yang mereka yakini.

2. MENGELIRUKAN
Apabila mereka tidak terbuka di dalam mencari hujah hujah dari Al-Quran dan Hadits yang sahih kerana terikat dengan rentak bermazhab, maka selalu terjadi jawapan yang mengelirukan di dalam menjawab soalan yang ditujukan kepada mereka. Ini mungkin di sebabkan di dalam mazhab mereka telah jelas kekurangan dalil dalam urusan tersebut, lalu untuk mempertahankannya lalu mereka menggunakan berbagai cara lain untuk menyakinkan orang, seperti perbandingan, bayan (kepetahan kata), logika (munasabah pada akal) dan lain lainnya. Ini semua adalah jalan yang mengelirukan apabila di guna untuk mematahkan/melemahkan dalil yang sahih dan cara ini adalah cara yang terlarang di dalam memahami dan mengamalkan As-Sunnah. Firman Allah :

الَّذِيْنَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُوْنَ اَحْسَنَهُ اُولَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَاهُمُ اللهُ وَاُوْلَئِكَ اُوْلُوْا الاَلْبَابِ

Yang bermaksud :

“Iaitu orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti perkataan yang paling baik, mereka itulah orang orang yang telah di beri petunjuk dan mereka itulah orang yang mempunyai akal.” Q.S. Az-Zumar ,39 : 18.

Maka mengambil dalil yang sahih dari Al-Quran dan hadits dan mengelak kekeliruan serta taksub kepada mana-mana ulama adalah termasuk mengambil perkataan yang paling baik. Itulah jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Contoh yang terang tentang berlakunya kekeliruan pada masa sekarang ini, adalah seperti membaca wabihamdih di dalam tasbih rukuk dan sujud. Hadits yang berbunyi :

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ

“Maha Suci Tuhanku lagi Maha Agung dan segala puji bagi-Nya.” H.R. Abu Daud, Daraqutnie, Ahmad, Thabaranie dan Baihaqie. Di nyatakan sahih oleh Al-Albani.

Hadits ini di nyatakan daif oleh sekian banyak ulama ahli hadits dan telah sekian lama urusan wabihamdih ini, baik di Perlis mahupun di kelompok As-Sunnah lainnya seperti PERSIS dan Muhammadiah di Indonesia, Pergerakan Salafi Thailand, tidak mengamalkan yang demikian, lazimnya hanya dilakukan oleh golongan ahli bid’ah atau perlaku bid’ah. Sebenarnya apabila hadits yang asalnya di sepakati oleh para ulama ahli hadits yang lebih muktabar sebagai daif, kemudian disahihkan pula oleh seorang ulama di alaf baru ini, beberapa perkara perlu dinyatakan kepada umum sebelum di jelaskan tentang sahihnya. Antaranya : Mengapa daripada hadits yang daif ia boleh di angkat terus kepada sahih ? Apakah ianya sahih LI-DZATIHI (sah pada sanadnya, tidak kerana di bantu hadits lainnya) atau ianya sahih LI-GHAIRIHI (asalnya adalah hadits yang lemah namun dikuatkan dengan hadits-hadits lainnya) Ini adalah satu keperluan ilmu agar kita tidak berlaku taqlied kepada ulama. Kerana satu hadits yang dilemahkan oleh sekian banyak ulama hadits terdahulu telah di angkat darjatnya terus kepada sahih hanya oleh seorang ulama yang lahir pada abad ke20 iaitu terlalu mutakhirin bagi kita sekarang ini. Bagaimanakah kaedah yang digunakannya ?

Dalam mengamalkan sesuatu hadits yang dinyatakan sahih sekurang-kurang terdapat tiga syarat yang perlu di penuhi, iaitu :
a. Tidak mansuh. Ia itu tidak ada hadits lain yang terkemudian yang memansuhkan larangan atau sebab dari hadits tersebut sebagai contoh di dalam bab wanita menziarahi kubur.

b. Tidak bertentangan dengan hadits sahih yang lebih kuat darinya.

c. Tidak bertentangan dengan Al-Quran.

Menurut ilmu Mushthala-hul-Hadits (مصطلح الحديث) :

اَلْحَدِيْثُ الصَّحِيْحُ مَا سَلِمَ لَفٍظُهُ مِنْ رَكَاعَةٍ وَمَعْنَاهُ مِنْ مُخَالَفَةِ آيَةٍ اَوْ خَبَرٍ مُتَوَاتِرٍ اَوْ اِجْمَاعٍ وَكَانَ رُوَاتُهُ عُدُوْلاً

‘Hadits yang sahih itu, ialah yang selamat lafaznya dari kejanggalan dan (selamat) maknanya dari menyalahi satu ayat atau khabar mutawatir atau ijma’, serta adalah rawi-rawinya semua orang-orang yang kepercayaan.’ AT-THARIQATUL-MUHAMMADIYAH 4.
Seterusnya :

الصَحِيْحُ مَا سَلِمَ لَفْظُهُ مِنْ رَكَاعَةٍ وَسَلِمَ مَعْنَاهُ مِنْ مُخَالَفَةِ آيَةٍ اَوْ خَبَرٍ مُتَوَاتِرٍ وَاتَّصَلَ اِسْنَادُهُ بِنَقْلِ عَدْلٍ ضَابِطٍ
‘Hadits sahih itu barang yang selamat lafaznya daripada kejanggalan dan selamat maknanya daripada menyalahi satu ayat Quran atau satu khabar mutawatir, serta sanadnya berhubung dengan perantaraan rawi yang adil dan kuat ingatan.’ AL-TA’RIEFAT 57.

Jika sesuatu hadits yang dinyatakan sahih tetapi tidak menepati syarat di atas maka yang terbaiknya adalah kita tawaqquf (diamkan) kerana kita tidak memahami permasalahan sebenar yang terjadi iaitu sahih dari sanadnya (sandaran/jalan) tetapi bermasalah pada matannya (susunan perkataannya). Sebenarnya, hadits wabihamdih ini bermasalah, saya bawakan sebabnya di bawah ini untuk rujukan. Hadits yang berbunyi :

عَنْ خُذَيْفَةَ: اَنَّ رَسُولَ اللهِ ص. يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ ، ثَلاَثًا وَفِي سُجُودِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الاَعْلَى وَبِحَمْدِهِ ثَلاَثًا.

Dari Huzaifah : “Bahawasanya Rasulullah saw. berkata di rukuknya : SUBHANA RABBIYAL AZHIM WABIHAMDIHI, tiga kali, dan di sujudnya : SUBHANA RABBIYAL A’LA WABIHAMDIHI, tiga kali.” H.R. Daraquthni.

Hadits ini tidak sahih di sebabkan terdapat pada isnadnya (rantaian perawi) seorang yang bernama Muhammad bin Abi Laila. Dia telah di lemahkan oleh Imam Ahmad, Abu Zur’ah, Syu’bah, Yahyal Qaththan, Yahya bin Ma’in, An-Nasai, Ad-Daraquthi, Abu Ahmad, Al-Hakim dan lain lain. Diriwayatkan lagi sebuah hadits oleh Imam Ad-Daraquthni :

قَالَ ابْنُ مَسْعُودٍ: مِنَ السُّنَّةِ اَنْ يَقُوْلَ الرَّجُلُ فِى رُكُوعِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمٌ وَ بِحَمْدِهِ، وَ فِى سُجُودِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الاَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Telah berkata Ibnu Masud : “Menurut sunnah orang yang solat itu, membaca pada rukuknya : Subhana rabbiyal azhim wabihamdih, dan pada rukuknya : Subhana rabbiyal a’la wa bihamdih.”

Hadits ini tidak sahih, sebab diisnadnya terdapat rawi yang bernama As-Sari bin Ismail. Dia telah di lemahkan oleh Imam Ahmad, Yahya Qaththan dan Nasai. Imam Ahmad berkata :

اَمَّا اَنَا فَلاَ اَقُولُ: وَبِحَمْدِهِ

‘Adapun saya, saya tidak membolehkan : wabihamdih.’

Imam Abu Daud pula meriwayatkan sebagaimana lafaz hadits dari Huzaifah tetapi dari Uqbah bin Amir. Hadits ini juga tidak sahih kerana terdapat dalam isnadnya orang yang majhul (tidak di kenali). Berkata Imam Abu Daud : ‘Saya khawatir, bahawa tambahan itu (wabihamdih), tidak benar.’

Sebenarnya hadits yang bermasalah seperti ini tidak perlu diperbesarkan sehingga menjadi kekeliruan dan yang paling menyedihkan sehingga menjadi perpecahan sesama jamaah As-Sunnah. Tetapi kerana taksub kepada mazhablah perkara ini terjadi, sehingga hadits yang ternyata daif oleh sekian banyak ahli hadits yang muktabar apabila di anggap sahih pada mazhabnya atau kalangan mazhabnya maka ia jadikan satu isu yang besar, sedangkan dalam bab tasbih rukuk dan sujud ini telah ada hadits yang nyata kesahihan sejak dari zaman Rasulullah saw sehingga sekarang yang jumlahnya tidak sedikit. Mengapa perlu di perbesarkan perkara yang nyata bermasalah sehingga menjadi kekeliruan dan perpecahan ? Sabda Rasulullah saw.;

دَعْ مَا يُرِيْبُكَ اِلَى مَا لاَ يُرِيبُكَ

“Tinggalkanlah sesuatu yang meragu ragukan, (berpindah) kepada sesuatu yang tidak meragu ragukan.” H.S.R. Ahmad dan lainnya.

Apa yang jelas terjadi sekarang ini adalah kekeliruan jamaah As-Sunnah yang baru mendalami As-Sunnah, terutamanya di dalam masalah ibadat seperti azan, sifat solat dan lain lainnya. Masalah ini sebenarnya Insyaallah boleh di selesaikan, jika kita menyampaikan dengan cara yang tidak bermazhab, sebaliknya mengajak jamaah berittiba’ (berusaha) menyemak/meneliti perkara yang di perselisihkan dan mengambil pendirian di atas dalil bukannya pendapat yang hanya di batasi oleh dalil dalam lingkaran satu mazhab sahaja. Kita teliti dari bab mengangkat tangan di waktu takbir :
(sila rujuk teks yang di berikan)

Kesimpulannya, marilah kita semua jamaah As-Sunnah kembali bersatu, berusaha untuk membina satu kekuatan dari segi ilmu As-Sunnah. Mungkin telah tiba masanya jamaah As-Sunnah mendalami ilmu Hadits, fikih dan bahasa arab dengan lebih mendalam agar kita tidak terumbang-ambing apabila dikelirukan oleh para ustaz atau para ulama yang menyampaikan hujah dengan cara yang mengelirukan. Sebenarnya kelas yang demikian ini telah dijalankan oleh biro rakan muda Al-Islah untuk melatih para remaja baik lelaki mahupun wanita, supaya menjadi pelapis As-Sunnah yang berilmu. Semoga Allah menunjuki kita jalan yang benar dan merahmati perjuangan yang dilakukan. Renungilah pesanan dari Al-Hasan bin Ali al-Barbahari ini :

وَاحْذَرْ صِغَارَ الْمُحْدَثَاتِ، فَاِنَّ صِغَارَ الْبِدْعَةِ تَعُودُ حَتَّى تَصِيْرَ كِبَارًا وَكَذَلِكَ كُلُّ بِدْعَةٍ اَحْدَثَتْ فِى هَذِهِ الاُمَّةِ كَانَ اَوَّلُهَا صَغِيرًا يُشْبِهُ الْحَق فَاغْتَر بِذَلِكَ مَنْ دَخَلَ فِيْهَا ثُمَّ لَمْ يَستَطِع الْمخرَجَ مِنْهَا فَعَظمَتْ وَصَارَتْ دِيْنًا يدَانُبِهِ، فَخَالَفَ الصِّرَط الْمُسْتَقِيْم فَخَرَجَ مِنَ الاِسْلاَمِ فَانْظُرْرَحِمَكَ اللهُ مِنْ سَمِعت كَلاَمه مِنْ اَهْلِ زَمَانِكَ خَاصَةً فَلاَ تَجْعلن وَلاَ تَدْخُلَنَّ فِى شَىءٍ مَنْهُ حَتَّى تَسْاَلَ وَتَنْظُرَ: هَلْ تَكَلَّمَ فِيْهِ اَحَدٌمِنْ اَصْحَابِ النَّبِيِّ ص اَوْ اَحَدًا مِنَ الْعُلَمَاءِ فَاِنْ اَصَبْتَ فِيْهِ اَثَرًا عَنْهُمْ فَتَمَسَّكَ بِهِ وَلاَ تُجَاوِزْهُ وَلاَ تَخْتَرْ عَلَيْهِ شَيْ~ًا فِى النَّارِ

‘Berjaga jagalah dari bid’ah bid’ah yang kecil. Sesungguhnya bermula dari bid’ah yang kecil akan bangkit sehingga menjadi besar. Tidak terkecuali bid’ah yang boleh terjadi pada ummah ini, pada mulanya ia kecil yang kelihatan seolah olah menyerupai kebenaran. Akan terpedaya dengannya sesiapa yang masuk kedalamnya, kemudian dia tidak akan berdaya untuk keluar darinya, maka (bid’ah tersebut) akan menjadi lebih besar sehinggalah ia menjadi sebagai agama yang dianuti. Ia akan bertentangan dengan jalan yang lurus sehingga terkeluar dari Islam. Maka perhatikanlah supaya engkau dirahmati Allah di atas setiap apa yang engkau dengar dari kata katanya terutama mereka yang terdiri dari kalangan ahli zaman engkau. Usahlah engkau terburu buru dan jangan sekali kali engkau ceburi sesuatu sehinggalah engkau tanyakan dan melihatnya : Adakah pernah diucapkan tentangnya oleh salah seorang dari kalangan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau salah seorang ulama (tabiin) ? Jika engkau dapati ia athar dari mereka, maka berpeganglah dengan mereka, usahlah engkau khianati atasnya dengan sesuatu kerana (akan menyebabkan) engkau jatuh ke neraka.’
Lihat : طبقات الحنابلة jld.2. hlm. 18-19. Muhammad bin Abi Ya’la. Daar Ma’rif.Bairut.
الله اعلم

Tuesday, August 11, 2009

Siapakah Yahudi

( Surah Al- Jumu ah: 4,5,6, & 7 )

Yang bermaksud:
( 4 ) DEMIKIANLAH KURNIA ALLAH, DIBERIKAN- NYA KEPADA SIAPA YANG DIKEHENDAKI- NYA, DAN ALLAH MEMPUNYAI KURNIA YANG BESAR.

Demikian itu [ iaitu islam atau wahyu dan kenabian Muhammad saw.( Qataadah ) ] adalah limpa kurnia ALLAH swt. yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki- Nya; dan ALLAH swt. mempunyai kurnia yang besar.

Yang bermaksud:
( 5 ) PERUMPAMAAN ORANG – ORANG YANG DIPIKULKAN KEPADANYA TAURAT, KEMUDIAN MEREKA TIADA MEMIKULKANNYA, ADALAH SEPERTI KELDAI YANG MEMBAWA KITAB – KITAB YANG TEBAL, AMATLAH BURUKNYA PERUMPAMAAN KAUM YANG MEDUSTAKAN AYAT – AYAT ITU. DAN ALLAH TIADA MEMBERI PERTUNJUK KEPADA KAUM YANG ZALIM.

Perumpamaan orang–orang Yahudi yang dibebankan keatasnya kewajipan beramal dengan Kitab At-Taurat, kemudian mereka tidak beramal dengannya, adalah seperti keldai yang memikulkan timbunan kitab yang besar, tetapi tidak memahaminya. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat ALLAH swt. itu, dan ingatlah DIA ( ALLAH swt.) tidak akan memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang zalim.

Dalam ayat ini ALLAH swt. memperbandingkan orang-orang yang membaca Al-Kitab, tetapi tidak memahaminya ( tidak mengikuti isi kandungannya ) samalah seperti seekor keldai yang memikulkan Kitab ALLAH swt. yang berat, sedangkan ia tidak mengetahui isi kandungannya. ( Ibnu Abbas ) Bahkan ia lebih buruk dari keldai lagi, kerana keldai tidak memahami isinya, tetapi mereka yang memahami isinya tidak mengikutinya (Ibnu Kasir )

Yang bermaksud:
( 6 ) KATAKANLAH; HAI ORANG–ORANG YANG MENGANUT AGAMA YAHUDI, JIKA KAMU MENDAKWAKAN BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMU SAJALAH KEKASIH ALLAH BUKAN MANUSIA-MANUSIA YANG LAIN, MAKA HARAPKANLAH KEMATIANMU, JIKA KAMU ADALAH ORANG–ORANG YANG BENAR.

Dan dinyatakan lagi di dalam surah Al-Maaidah ayat 18: Tentang pengakuan orang yahudi.

Berkata imam Al-Thabri : Jika kamu benar-benar yakin dengan dakwaan ini, maka bercita-citalah supaya ALLAH swt. mematikan kamu sekarang, supaya kamu dapat berehat.
Orang – orang Yahudi adalah suatu kaum yang penakut {sekiranya mereka mati} jika berperang, mereka menjalankan peperangan di waktu malam, agar mereka tidak dapat dilihat oleh musuh-musuh mereka. Malah mereka berselindung didalam rumah-rumah, binatang-binatang dan kubur-kubur. Dari ujian hidup di dunia kamu dapat berseronok dengan nikmat-nikmat syurga selepas matimu.

Berkata ibnu Al- Jauzi: kerana mati adalah lebih baik bagi kekasih ALLAH swt. daripada hidup di dunia, sekiranya benar dakwaan itu.

Yang bermaksud:
( 7 ) MEREKA TIADA AKAN MENGHARAPKAN KEMATIAN ITU SELAMA-LAMANYA DISEBABKAN KEJAHATAN YANG TELAH MEREKA PERBUAT DENGAN TANGAN MEREKA SENDIRI. DAN ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.

Dan sudah tentu mereka tidak akan bercita-cita untuk mati itu selama-lamanya dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan ALLAH swt. sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Berkata Qataadah: Sebenarnya orang-orang Yahudi adalah sangat takut dan benci kepada mati. Bersabda Rasulullah saw.

Yang bermaksud:
Demi ALLAH, jikalau orang-orang Yahudi bercita-cita untuk mati ketika itu, nescaya mereka terus mati dan mereka akan melihat kediaman mereka didalam neraka. (Ahmad, Al- Bukhari)

Friday, June 12, 2009

ANJURAN BERPEGANG TEGUH PADA TALI ALLAH DAN LARANGAN BERPECAH-BELAH




Sesungguhnya kita bersyukur kepada Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai orang-orang muslim.Kita memuji Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai orang-orang yang mengikuti sunnah Nabi saw.

Sesungguhnya zaman terus berputar. Keadaan berulang kembali sebagaimana sejarah masa lalu.Realiti sekarang ini, umat dilanda perpecahan sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah saw, yang bermaksud:

“Umat Yahudi berpecah menjadi 71 golongan.Umat Nasrani berpecah menjadi 72 golongan.Dan umat ini akan berpecah menjadi 73 golongan, semua di dalam neraka kecuali satu golongan”.Para sahabat bertanya, “golongan apakah itu?” Rasulullah saw menjawab: “Iaitu golongan yang berada di atas pedomanku dan pedoman sahabat-sahabatku.”

Demikianlah realiti umat pada hari ini yang dilanda perpecahan,pertentangan, dan perselisihan kecuali orang-orang yang dirahmati Allah swt.

Oleh sebab itu, umat ini menjadi lemah, tidak berdaya,mundur dan mengalami kekalahan.Hal ini demikian bukanlah disebabkan masalah kuantiti kerana sesungguhnya jumlah umat ini sangat besar bilangannya.Hal ini juga bukanlah disebabkan masalah harta kerana sesungguhnya harta seluruhnya atau sebahagian besarnya berada di tangan kaum muslimin.Hal ini juga bukanlah disebabkan masalah dunia dan lain-lainnya.Tetapi factor penyebab yang paling utama ialah umat ini meninggalkan agamanya, lemahnya keimanan, melalaikan Rabbnya,disebabkan jauhnya umat ini daripada hal tersebut dan disebabkan perselisihan yang sangat merugikan.

Jika demikian keadaannya, wahai saudara-saudaraku sekalian, maka sesungguhnya Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.
(QS Al-Isra’:9)

Al-Quran adalah Kitabullah yang di dalamnya berisi petunjuk,sebab kebaikan manusia, dan sebab kebahagiaan mereka.Bagi orang yang membaca Kitabullah,seharusnya dalam membacanya janganlah hanya sekadar mengejar barakahnya sahaja, akan tetapi hendaklah ianya dibaca untuk mempelajari hukum-hukumnya,mentadabburi ayat-ayatnya,mengetahui langkah-langkahnya dan tempat berpijaknya sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

Maka apakah mereka tidak memerhatikan Al-Quran.ataukah hati mereka terkunci?
(QS Muhammad :24)

Bagi orang yang membaca Al-Quran hanya untuk menghitung jumlah halaman yang dibaca atau hanya sekadar mengejar kebaikan tanpa menjadikannya sebagai kitab petunjuk,kitab perbaikan,kitab perubahan- kerana sesungguhnya Allah swt tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri- maka dia tidak akan mengetahui hidayah, pengarahan,peraturan,dan bimbingan rabbani yang telah diperintahkan Allah swt dan RasulNya yang mulia.

Masalah yang akan kita bicarakan dalam kesempatan yang penuh barakah ini, kita petik daripada sepotong ayat dalam Kitabullah yang menunjukkan secara jelas kepada makna yang dimaksudkan dengan penerangan yang sempurna iaitu firman Allah swt yang bermaksud:

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.(QS Ali-Imran:103)

Ayat yang mulia ini ibarat undang-undang yang wajib diikuti,dipatuhi, difikirkan dan difahami oleh umat Islam supaya mereka dapat mengamalkannya,melaksanakannya dan menjadikannya sebagai petunjuk.Hal ini penting agar mereka dapat kembali seperti dahulu,menjadi pemimpin umat manusia yang berada di hadapan setelah mereka diselimuti kegelapan.

Sebelum Islam, bangsa Arab hanya dikenali dengan perpecahan, kekerasan, kemunduran dan kebodohan.Lalu datanglah Islam, mengubah akal,hati mereka dan perpecahan di kalangan mereka menjadi satu (persatuan).Selain itu, hati dan jiwa mereka juga menjadi bersih dan suci yang tidak dipengaruhi lagi oleh masa lalu mereka.Mereka juga berubah menjadi suci dan murni dengan melupakan sejarah masa lalu mereka yang gelap bagi menyongsong masa depan yang cerah.

Umat Islam sekarang ini, keadaannya umpama keadaan bangsa Arab sebelum turunnya Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw.Keadaan umat Islam sekarang ini seperti keadaan bangsa Arab ketika itu yang lemah,berpecah-belah,dan saling membinasakan.

Umat ini dituntut untuk bersatu-padu,berpegang teguh dan memahami makna-makna yang agung yang telah ditunjukkan oleh ayat di atas.Ayat tersebut telah menjelaskan kewajipan apa yang seharusnya dilakukan sebagaimana yang akan disebutkan dalam setiap penggal kalimat daripada ayat ynag mulia ini.

Allah swt memulai ayat ini dengan menjelaskan prinsip dasar, walau ke manapun kita pergi dan melangkah dan walau dari manapun kita datang, tidak ada pilihan bagi kita melainkan merujuk kembali kepadanya.Selain itu, tidak layak bagi kita kecuali bersatu di atasnya,iaitu firman Allah swt yang bermaksud:

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali(agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.(QS Ali Imran:103)

Inilah yang menjadi asas.Ayat yang mulia ini,memulainya dengan perintah untuk berpegang teguh “wa’ tashimuu”.

“Wa’ tashimuu” adalah perintah untuk bersatu, menyatukan kalimat dan saling menyempurnakan.Akan tetapi, perintah-perintah ini bukan ditegakkan di atas prinsip hizbiyah,fanatik(taksub) golongan,sukuisme,nasionalisme atau atas dasar tujuan-tujuan dunia.Namun I’tisham yang diperintahkan tersebut adalah persatuan dengan tali Allah,iaitu dengan agama Allah melalui Kitabullah dan sunnah NabiNya.

“Berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah!”Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

“Aku tinggalkan kalian di atas jalan yang putih bersih.Malamnya bagaikan siang.Tidaklah ada orang menyimpang daripadanya,melainkan dia pasti binasa”.

Sabda Rasulullah saw :

“Aku tinggalkan di tengah kalian dua perkara.Kalian tidak akan sesat selama berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku.”

Nas Al-Quran tersebut, tidak hanya menyebutkan perintah untuk berpegang teguh,dan tidak hanya menyebutkan bahawa berpegang teguh tersebut tidak ada pilihan kecuali dengan tali Allah.Tali Allah ini bukanlah jalan untuk memecah-belah,dan mencerai-beraikan,namun tali Allah ini adalah jalan kepada kesatuan dan persatuan.

Allah swt mengatakan “berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah”,kemudian mengatakan “seluruh kalian”,iaitu bersatu padu di atas i’tisham dengan Kitabullah dan Sunnah.Jika nas Al-Quran hanya menyebutkan “berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah”,tentu akan menjadi pintu bagi kaum hizbiyah untuk bergolong-golongan,memecah-belah umat dan mencerai-beraikannya menjadi golongan-golongan yang banyak.Akan tetapi, nas Al-Quran datang dengan membawa penjelasan yang tegas dan perkataan yang jelas,iaitu berpegang teguh kepada tali Allah ini haruslah dengan persatuan,bukan dengan berpecah-belah.Tidak boleh memecah-belah kaum muslimin sehingga menjadi cerai-berai,contohnya seperti ada yang berada di bawah naungan satu golongan,kendali pergerakan, dan satu jamaah.Keadaan ini berlaku sehingga wala’ dan bara’ di antara umat tidak diikat atas dasar Al-Quran dan Sunnah, tetapi diikat atas dasar prinsip hizbiyah yang sempit,perpecahan yang hina yang tiada tempat bagi Islam di dalamnya dan tiada tempat bagi perpecahan di dalam Islam.

Kemudian Allah swt menutup bahagian pertama dari ayat ini dengan penegasan, penetapan,dan pengukuhan makna di atas.Allah swt mengatakan “janganlah kalian berpecah-belah”.

Kemungkinan ada orang yang belum faham bahawa perintah untuk berpegang dengan tali Allah adalah larangan berpecah-belah,maka nas menyebutkan penjelasan tambahan dengan mengatakan “janganlah kalian berpecah-belah”.Sehingga akal dapat memahami,jiwa dapat meresapinya dan tidak menyisakan tempat bagi orang-orang yang takbur lagi sombong dan sehingga kepala-kepala dapat tunduk kepada Rabbul Alamin.

Tuesday, June 9, 2009

Sukan Dan Wanita

Oleh

Muhammad Fakhruddin Ismail



Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman yang paling mujarab.




Malah Rasulullah s.a.w sendiri pernah berlumba lari dengan isterinya Aisyah. Aisyah mengatakan:



“Rasulullah bertanding dengan saya dan saya menang. Kemudian saya berhenti, sehingga ketika badan saya menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi dengan saya dan ia menang, kemudian ia bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) iaitu seri.



Dalam sukan, Islam telah menggariskan panduan dan memperkeras persoalan menutup aurat. Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:

“Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.

Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.”

Jika hendak dikatakan pakaian memainkan peranan untuk meningkatkan prestasi peserta perkara itu memang benar. Tetapi setakat mana prestasi itu meningkat?

Kita lihat sendiri pelari pecut wanita Bahrain, Ruqaya Al Ghasara mengejut dan mengagumkan peminat olahraga di Sukan Asia di sini apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun berpakaian menutup aurat dan bertudung.

“Malah katanya, dengan mengenakan pakaian lengkap wanita Islam itu telah mendorongnya berlari lebih pantas.“Ia bukan satu halangan untuk saya berlari pantas malah ia banyak mendorong saya membuktikan bahawa wanita Muslim seperti saya juga boleh menang dengan berpakaian seperti ini,” katanya.

“Pada perlumbaan akhir itu, Ruqaya mencatat masa 23.19s. Sebelum ini beliau turut menang gangsa dalam acara 100m. Ketika melakukan pecutan, hanya jelas muka dan tapak tangannya yang kelihatan manakala sebahagian besar anggota tubuhnya ditutupi kemas. Sebaik melepasi garisan penamat, Ruqaya mengangkat tangan kepuasan tetapi aurat dan tingkah lakunya tetap dipelihara. Mengulas pakaian yang digunakannya, Ruqaya berkata, ia menggunakan jenis kain yang dipilihnya sendiri walaupun kebiasaannya agak berat untuk dibawa berlari.Sambil mengakui pelari pecut Amerika Syarikat, Marion Jones sebagai idolanya, Ruqaya berharap pakaian yang digunakannya untuk berlari itu mendorong wanita Muslim lain melibatkan diri dalam sukan agresif seperti ini. Penampilan hebat Ruqaya itu turut menjadi agenda utama Doha mengadakan ujian pakaian bagi wanita Muslim untuk melobi menjadi tuan rumah Olimpik 2016 nanti. “Memakai tudung membuktikan ia bukan halangan untuk mencipta kejayaan. Berpakaian seperti ini jugalah yang telah melayakkan saya beraksi di kejohanan dunia di Osaka, Jepun tahun depan,” tegasnya.

Jika kita lihat 15-20 tahun tahun dahulu, pemain tennis wanita kesemuanya memakai pakaian penuh. Pada hari ini juga, wanita di Iran memakai pakaian yang menutupi badan dan tudung ketika bermain tennis. Jika mereka boleh mengapa anda tidak boleh?

Bagaimana pula dengan sukan renang? Dalam masalah ini Dr Zakir Naik pernah mengatakan:

“Kita juga perlulah bersetuju bahawa di dalam sukan renang semakin sedikit pakaian yang dipakai, semakin meningkat prestasi peserta. Kerana itulah mereka menetapkan peserta lelaki untuk memakai seluar dalam dan perempuan untuk memakai bikini.

Tetapi kita juga mesti faham dan bersetuju, bahawa para peserta hanya dapat menunjukkan prestasi maksimum jika mereka tidak memakai apa-apa pakaian ketika berenang. Tetapi adakah kamu akan menetapkan perenang wanita untuk berenang dalam keadaan berbogel?

Mengapa perlu ada double standard? Jika kamu katakan perkara tersebut sangat tidak sopan. “ Maka saya katakan bahawa tahap kesopanan kamu serendah ini dan tahap kesopanan kami setinggi ini. Apa yang sopan bagi kamu tidak sopan bagi kami. Maka mengapa kamu tidak cadangkan supaya para perenang berenang dalam keadaan berbogel sahaja supaya prestasinya meningkat? Tetapi tidak, kerana mereka mempunyai tahap kesopanan tertentu.”

Oleh itu aktiviti sukan dan riadah ini tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.

Rujukan:

http://bobex.wordpress.com
http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-252578.html
Media dan Islam “ Berperang atau Berdamai? ” oleh Dr Zakir Naik


Muhammad Fakhruddin Ismail

Saturday, May 30, 2009

Ummu Sulaim Al Ghuma Idha





Ummu Sulaim, sifatnya tegas mengisahkan kejayaan seorang ibu dalam mendidik anak. Satu garis kebijaksanaan dan kesabaran dirinya menjadi seorang isteri pilihan yang terbaik.menyerahkan ketetapan dan pengabdian yang teguh kepada dasar agama Allah s.w.t untuk mendapatkan jannah (syurga).


Namanya Ghumaidha binti Maihan bin Khalid bin Zaid bin Haram bin Jundab bin Amin bin Ghunam bin Adi bin Najar Al Anshari Al Khazraji. Pada masa jahiliah dia menikah dengan Malik bin Nadhar dan melahirkan seorang anak yang bernama Anas bin Malik. Dia masuk islam bersama para assabiqunal awwalun (golongan pertama masuk islam ) dari golongan Ansar.

Ketika Ummu Sulaim telah beriman kepada Allah s.w.t *) dan Rasullulah s.a.w **) datanglah Abu Anas (Malik) dan bertanya; Apakah engkau telah murtad dari agamamu?” Ummu Sulaim menjawab,”Bahkan aku telah bersaksi bahwa tiada ilah yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad adalah Rasul Allah”.

Kemudian Ummu Sulaim r.a menyuruh dan menuntun anaknya Anas,”Wahai anakku, ucapkanlah la ilaha illallah wa asyhadu anna Muhammad rasulullah”. Anas mengiyakan dan mau mengucapkanya. Abu Anas (Malik) berkata kepada Ummu Sulaim r.a,” Janganlah kau merosak dan mempengaruhi anakku!” Ummu Sulaim menjawab, “ Aku tidak akan pernah merosakkanya”.

Malik keluar dengan menahan kemarahan. Dia pergi ke Syam membawa kemarahan. Di tengah jalan dia bertemu dengan musuhnya. Allah s.w.t menetapkan takdirnya. Di tangan musuh, dia menemui ajal pada saat jiwa dan hatinya bergelora marah.

Mendengar khabar suaminya meninggal, Ummu Sulaim berkata,”Saya tidak akan menahan Anas anakku sehingga ia berhenti sendiri (menangis ) dan aku tidak akan menikah sampai Anas menyuruhku”.

Ummu Sulaim pergi menemui Rasullulah s.a.w. Dengan rasa malu ia menyerahkan buah hatinya Anas bin Malik kepada Rasullulah s.a.w agar dijadikan pembantu Rasulullah s.a.w. Dengan harapan anaknya terbimbing dengan berbagai ajaran kebaikan. Rasullulah s.a.w menerimanya. Dan sejuklah hati dan perasaan Ummu Sulaim r.a.

Ketika itu, orang ramai mengatakan Anas bin Malik dan ibunya dengan pujian dan bangga. Hingga seorang yang bernama Abu Thalhah menyimpan rasa minat di hati dan kagum tersendiri terhadap Ummu Sulaim r.a. Datanglah ia kepada Ummu Sulaim untuk melamarnya. Ummu Sulaim r.a menolaknya kerana Abu Thalhah pada waktu itu masih musyrik (kafir). Ummu Sulaim r.a kemudian berkata, “Sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah s.w.t. Jika engkau mau mengikutiku, maka aku akan menikah denganmu”. Abu Thalhah berkata” Aku beriman kepada sebagaimana engkau beriman” Maka menikahlah Ummu Sulaim r.a dengan Abu Thalhah dengan mahar (mas kawin) keislaman Abu Thalhah.

Telah diriwayatkan oleh Sulaiman bin Mughirah Tsabit r.a telah bercerita kepada kami dari Anas r.a, ia berkata,”Abu Thalhah meminang Ummu Sulaim r.a , kemudian Ummu Sulaim r.a berkata,” Sesungguhnya tidak sepatutnya aku menikah dengan seorang musyrik (kafir). Tidakkah engkau ketahui, wahai Abu Thalhah. Bahwa tuhan kalian diperbuat oleh keluarga fulan. Dan sesungguhnya jika engkau membakarnya pasti akan terbakar.”Anas r.a berkata” Maka Abu Thalhah pergi. Dalam hatinya ia membenarkan kata-kata Ummu Sulaim r.a. Datanglah ia kepada Ummu Sulaim r.a dan berkata,” Apa yang telah engkau tawarkan kepadaku telah aku terima.” Anas berkata ,“ Tiada mahar baginya (mas kahwin), kecuali dengan masuk islamnya Abu Thalhah”.

Abu Thalhah menikahi Ummu Sulaim r.a dengan mahar (mas kahwin) masuk islam. Ummu Sulaim r.a telah masuk islam sebelum Abu Thalhah. Kemudian Abu Thalhah melamarnya, maka Ummu Sulaim r.a berkata,” Jika kamu masuk islam, maka aku mau menikah dengan mu”. Akhirnya Ummu Sulaim r.a menikah dengan Abu Thalhah bin Zaid bin Sahl Al Anshari, dan mempunyai dua orang anak iaitu Abu Umair dan Abdullah. Ummu Sulaim r.a hidup dengan Abu Thalhah r.a sebagai suami isteri yang bernaung di bawah nilai-nilai keislaman yang rendang. Menikmati kehidupan dengan tenang dan penuh kebahagiaan

Ummu Sulaim r.a adalah pilihan seorang isteri yang memenuhi hak-hak suami dengan sebaik-baiknya. Dan ia contoh terbaik seorang ibu, seorang pendidik yang utama dan
seorang dai’yah yang terbaik. Abu Thalhah mula memasuki madrasah imaniah melalui
isterinya. Sehingga ia boleh meminum air mata nubuwah yang menjadikannya setara dengan Ummu Sulaim r.a dalam hak kemuliaan.

Suatu saat Allah s.w.t berkehendak menguji kebahagiaanya dengan meninggalnya putera tercinta iaitu Abu Umair, kerana sakit kuat. Dia meninggal ketika Abu Thalhah r.a sedang keluar ke masjid. Kemudian Ummu Sulaim r.a menguruskan mayat anaknya dan berkata kepada anggota keluarganya,”Janganlah seorang pun mengabarkan kepada Abu Thalhah r.a tentang kematiannya”. Manakala Abu Thalhah r.a pulang, Ummu Sulaim r.a mempersiapkan makan malam. Juga mempersiapkan diri untuk melakukan kewajipan seorang isteri, hingga Abu Thalhah r.a menggaulinya (bersetubuh). Tatkala di akhir malam, maka berkatalah dia kepada suaminya, “Wahai Abu Thalhah, bagaimana pendapatmu seandainya ada seseorang mengirimkan barangnya kepada suatu keluarga, dan suatu saat mengambil kiriman tersebut, maka bolehkah bagi keluarga tersebut untuk menolaknya?”Abu Thalhah r.a menjawab,”Tentu saja tidak boleh”. Ummu Sulaim r.a berkata lagi,” Bagaimana jika orang itu merasa berat hati kerana kiriman yang diambil kembali oleh tuan empunya diri setelah dia dapat memanfaatkanya?”Abu Thalhah berkata,” Berarti ia tidak adil”. Kemudian Ummu Sulaim r.a berkata,” Sesungguhnya anakmu adalah kiriman dari Allah s.w.t. Dan Allah s.w.t telah mengambilnya. tabahkanlah hatimu dengan meninggalnya anakmu”.

Keesokkan harinya Abu Thalhah r.a pergi menghadap Rasullualah s.a.w dan menceritakan apa yang telah terjadi. Mendengar kata-kata Abu Thalhah r.a Rasullulah s.a.w bersabda yang bermaksud: “semoga Allah s.w.t memberkati malam kalian berdua”. Terkabullah apa yang dikatakan daripada mulut Rasullulah s.a.w. Setelah kematian Abu Umair, Ummu Sulaim r.a mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki, Ummu Sulaim mengajak Anas bin Malik untuk membawa bayi tersebut kepada Rasullulah s.a.w , dan Anas berkata,”Wahai Rasullulah Ummu Sulaim telah melahirkan tadi malam”, kemudian Rasullulah s.a.w mengunyah kurma dan mentahniknya (belah mulut). Anas r.a berkata,” Berilah dia nama, wahai Rasullulah”. Rasullulah s.a.w berkata,”Namanya Abdullah”.

Ummu Sulaim r.a termasuk orang yang berlimpah kemuliaan. Dia terlibat dalam perang Uhud dan perang Hunain. Dari sana ada cerita yang mengisahkan tentang keberanianya dalam membela agama dan kebencianya terhadap orang-orang kafir. Ummu Sulaim r.a membawa pisau besar dan berkata kepada Rasullulah s.a.w, “Wahai Rasullulah, jika ada orang musyrik mendekatiku, maka aku akan merobek perutnya dengan pisau ini”.


Ummu Sulaim r.a juga memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Rasullulah s.a.w. Rasullulah s.a.w sangat menyayanginya. Rasullulah s.a.w tidak pernah masuk selain rumah Ummu Sulaim r.a. Rasullulah s.a.w juga mengabarkan kabar gembira kepada Ummu Sulaim r.a, bahawa dia termasuk ahli jannah (penduduk syurga). Tsabit meriwayatkan dari Anas r.a, bahawa Rasullulah s.a.w bersabda, “Aku masuk syurga, tiba-tiba aku melihat Al Ghumaidah binti Maihan”.

Telah sempurnalah kebahagiaan Ummu Sulaim r.a. Memang dia berhak mendapat itu semua, kerana ketaatanya, kesabaranya, seorang dai’yah yang bijaksana, seorang pendidik yang baik. Dia telah memasukkan anaknya ke madrasah nubuwah sejak usia sepuluh tahun. Telah mendidik Abdullah bin Abu Thalhah menghafal Al Quran sejak usia tujuh tahun. Dia meriwayatkan hadis sebanyak 14 hadis sohih yang telah disepakati oleh Bukhari dan Muslim. Satu hadis menyendiri dalam periwayatanya dan satu hadis Muslim hanya di riwayatkan oleh iman Muslim. Sungguh sangat agung amalan Ummu Sulaim r.a.

Ketegasan dan kesabaran daripada hamba Allah yang harus diteladani. Keberanian dan kecerdasanya selalu memberi sokongan kepada suami sehingga menyejukkan setiap pandangan. Membendung emosi , jiwanya dan jiwa si suami demi seutas erti pasrah kepada garis takdir. Semoga kami boleh mengikuti jejakmu…….ALLAHUA’LAM

Rujukkan:
-Al Ishbah Fii Tamyiizis Shahabah
-Siyar A’lamin Nubala’
-Sahih Muslim
-Sahih Bukhari
-*)Subhanahu wata’ala
-**)Sallallah ‘alaihi wasal lam
Oleh:Wan Atiqah binti Wan Nasir

Ummu Salamah Sang Ummu Mukminin







Terukir kunyahnya sebagai Ummu Salamah r.a. Indah sekali nama dan nasabnya (keturunanya). Hindun binti Abi Umayah bin Mugfirah bin Abdullah bin Ibnu Makhzum bin Murrah bin Ka’ab bin Ghalib Al Makhzumiyah Al Quraisyah (nama penuh beliau)

Beliau adalah anak saudara Khalid bin Walid Syaifullah dan anak saudara Abu Jahal bin Hisyam. Ayah beliau adalah seorang pembesar Bani Makhzum yang termasyhur. Termasuk salah seorang kaum dermawan Arab yang terkenal, sehigga digelar Zadur Rakib. Ayahnya dengan murah hati selalu membekalkan makanan kepada para musafir yang datang ke rumahnya. Begitu juga, yang pergi bersamanya tanpa mengharapkan balasan.

Ummu Sulamah r.a menikah dengan sepupunya, Abdullah bin Asad bin Hilal bin Abdillah bin Amr bin Makhzum bin Murrah bin Ka’ab bin Al Azadi r.a. Suami isteri dari Bani Makhzum dan Bani Asad ini terdaftar dalam golongan orang yang masuk islam pertama.

Kaum Quraisy marah, mendengar keislaman Ummu Salamah r.a dan suaminya r.a. Mereka mula melancarkan siksaan dasyat yang sangat besar. Walaupun demikian, mereka tetap berada pada jalan Allah s.w.t.

Setelah siksaan yang dasyat itu, kemudian Rasullulah s.a.w membenarkan para sahabatnya untuk hijrah ke Habsyah. Ummu Sulamah r.a dan suaminya r.a termasuk barisan Muhajirin yang pertama. Mereka berdua hijrah ke perantauan dengan meninggalkan kemewahan, kemegahan, kemuliaan, kedudukkan yang telah melekat pada keadaan mereka ketika berada di Mekah. Hanya dengan satu niat iaitu, demi mencapai redha daripada Allah s.w.t.

Ketika Ummu Salamah r.a di Habsyah, tersebar berita bahwa muslimin di Mekah bertambah jumlahnya. Keislaman Hamzah bin Fadl r.a dan Abu Bakar r.a telah menguatkan barisan mereka.

Disebabkan terlalu merindui kampong halaman, para muhajirin segera meninggalkan Habsyah dan kembali ke Mekah, kampung halaman tempat turunya wahyu islam. Juga kerana kerinduan dan kecintaan mereka kepada Rasullulah s.a.w sebagai petunjuk. Ummu Salamah r.a dan suaminya r.a ikut serta kembali ke Mekah.

Dengan tersebarnya berita mengatakan bahwa di kalangan mereka semakin bertambah ahli, sebenarnya hanyalah rekaan semata-mata. Kenyataan terjadi sebaliknya. Orang-orang Quraisy semakin menyiksa dan melancarkan siksaan yang belum pernah terjadi sebelumnya. Kejam tanpa belas kasihan.

Ketika itu Rasullulah s.a.w mengizinkan para sahabatnya untuk berhijrah ke Madinah. Maka berangkatlah Ummu Salamah r.a dan suaminya r.a untuk menyelamatkan agamanya. Akan tetapi, ternyata hijrah itu tidak semudah yang mereka bayangkan. Kesedihan dan kesusahan kembali menguji dan menuntut makna kesabaran. Menoleh sejenak kisah hijrah Ummu Salamah r.a ke Madinah. Berkata Ummu Salamah r.a;”ketika suamiku bertekad untuk hijrah ke Madinah, ia menyiapkan unta untukku, menaikkanku punggung unta. Dan ku pangku anakku Salamah.Tampa ditundakan lagi beliau menuntun unta. Dan sebelum kami keluar dari Mekah, sekelampok kaumku dari bani Makhzum melihat dan menghalangi kami. Mereka berkata kepada suamiku”;”Jika hanya kamu yang pergi, kami tidak kuasa mencegahmu, tetapi bagaimana dengan isterimu, sedangkan ia adalah puteri kami. Tidak akan pernah kami biarkan kalian membawanya ke negeri asing?”,

“Dengan cepat mereka melompat dari kenderaan dan merebutku dengan keras. Ketika kaum suamiku melihat aku diambil oleh kaum, mereka sangat marah dan berkata;”Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kalian membawa anak itu yakni anakku Salamah.

Friday, May 15, 2009

Berpakaian Tetapi Telanjang



Dewasa ini,ramai di antara wanita-wanita dan anak-anak gadis kita sudah tidak mengenal yang mana dosa yang mana pahala.Hal ini kerana kurangnya didikan agama dan ada juga yang langsung jahil dalam bab agama.Disebabkan kejahilan inilah ramai wanita-wanita dan anak-anak gadis kini sudah tidak mengenal yang manakah pakaian yang dibolehkan dan dilarang dalam Islam di mana kebanyakan mereka gemar memakai baju dan seluar yang kecil dan sendat dan adakalanya jarang sehingga menampakkan susuk badan mereka tidak kira sama ada yang bertudung atau tidak bertudung .Bagi yang tidak bertudung mungkin kita klasifikasikan mereka sebagai orang yang jahil dalam agama, namun bagi yang bertudung sudah tentu merosakkan imej wanita Islam yang sebenar iaitu yang menurut syariat Islam.

Situasi inilah yang dikatakan berpakaian tetapi telanjang sehinggakan cara berpakaian begini telah dilabelkan sebagai pakaian moden bagi wanita Islam yang kononnya seiring dengan kemajuan yang dicipta mengikut acuan barat atau hawa nafsu kekafiran.Malah daripada cara berpakaian yang salah inilah telah meyebabkan berlakunya gejala sosial yang kini semakin meluas dan semakin sukar untuk dibendung.Situasi inilah yang amat dibimbangi kini kerana mangsa-mangsa yang terjerumus ke dalam kancah yang tidak sihat ini adalah kebanyakannya merupakan daripada golongan wanita-wanita dan juga anak-anak gadis yang bertudung iaitu yang berpakaian tetapi telanjang .

Sesungguhnya pada zaman yang dianggap sebagai moden dan bertamadun kini, soal berpakaian atau menutup aurat ini semakin dilupakan.Kewajipannya semakin diabaikan, malah ada yang menganggap berpakaian dengan menutup aurat seperti mengenakan tudung ini adalah salah satu fesyen atau trend bagi wanita alaf baru ini.Jadi bagi mereka, tidak ada rasa berdosa kalau tidak mengenakan tudung sekalipun.Oleh sebab itu tidak sedikit juga daripada golongan wanita kini yang memandang remeh atau mudah pemakaian tudung untuk menutup aurat ini sehinggakan ada yang berpendirian ‘hendak pakai tudung pun tak apa, tak pakai tudung pun tak apa’.

Selain itu , sekian banyak remaja yang mengaku beragama Islam tetapi cara berpakaiannya sama seperti orang kafir malah ada yang berani berkata ‘cara berpakaian itu adalah hak peribadinya’ sedangkan cara mendedah aurat itu sebenarnya adalah budaya jahiliah bukannya tamadun yang ke hadapan tetapi kembali ke belakang iaitu menurut jejak-jejak orang sebelum didatangkan Rasul bagi mereka padahal berpakaian yang menutup aurat itulah yang ke hadapan iaitu pakaian bagi orang yang telah menerima syariat dan tunduk kepada Allah s.w.t.

Firman Allah :
Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya memutuskan suatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat (dalam) kesesatan yang nyata. Surah Al-Ahzab ayat 36 [33:36]

Manakala bagi wanita-wanita serta anak gadis yang menutup aurat dengan cara berpakaian ketat sehingga menampakkan susuk tubuhnya, tidak boleh dianggap perlakuan yang ringan sewenang-wenangnya kerana sabda Rasulullah saw :
Diterima dari Abu Hurairah, katanya : Telah bersabda Rasulullah saw : “ Ada dua golongan penghuni neraka yang tidak pernah saya lihat, suatu kaum yang membawa cambuk-cambuk (cemeti) seperti ekor-ekor sapi yang mereka pukulkan kepada manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mempengaruhi orang dan menarik ke jalannya, kepala mereka laksana punuk unta yang miring letaknya(sanggul di kepala).Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menemukan harum baunya...” Riwayat Muslim

Dijelaskan bahawa perbuatan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh atau wanita yang berpakaian tipis sehingga menampakkan kulitnya itu ibarat orang yang berpakain tetapi telanjang dan pakaian itu pula menarik anak gadis atau remaja lainnya untuk meniru gaya yang demikian, maka bagi wanita yang berpakaian serta bersifat seperti hadis di atas dinyatakan mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium walaupun hanya bau dari syurga.Hadis yang memperingatkan kita tentang bahaya dari cara berpakaian yang telah dilakukan oleh sekian banyak remaja kita sekarang.

Oleh sebab itu, sebagai ibubapa adalah wajib bagi kita menyampaikan atau menegur anak-anak kita jika berkelakuan demikian dan membimbing mereka ke jalan yang benar dan jangan sekali-kali menganggap azab neraka itu boleh dibuat mudah dan dibiarkan peringatan daripada hadis itu berlalu begitu sahaja.Untuk itu kita renungkan sepotong hadis di bawah.

Telah berkata Syafiyah binti Syaibah : “Di waktu kami bersama-sama Aisyah mereka sebut wanita-wanita Quraisy dan kelebihan mereka.” Maka Aisyah berkata : Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy itu mempunyai kelebihan, tetapi sesungguhnya aku, demi Allah, tidak aku lihat yang lebih mulia dari wanita-wanita Anshar, sangat-sangat mereka mrmbenarkan kitab Allah dan sangat kuat iman mereka kepada wahyu yang diturunkan.Waktu diturunkan surah An Nur,(ayat yang menyuruh bertudung iaitu ayat 31), lelaki mereka pulang, lalu membacakan kepada mereka apa yang diturunkan oleh Allah itu, lantas tiap-tiap seorang daripada wanita-wanita mereka mengambil kain mereka yang berlukis, lalu mereka jadikan tudung kepala kerana membenarkan dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah dari kitabNya..” Riwayat Abu Daud

Inilah satu kisah yang patut diambil sebagai teladan atau contoh di mana para suami sepatutnya memainkan peranan menyampaikan perintah Allah dan RasulNya kepada anak isteri dan adalah kewajipan seorang isteri untuk mentaati ajaran yang benar yang dibawa oleh para suami demikian juga anak-anak jagaannya.Menolak satu dakwah yang asalnya dari Allah dan RasulNya adalah satu kederhakaan yang besar, iaitu derhaka kepada Allah dan Rasul dan juga derhaka kepada suami atau bapa yang menjalankan tanggungjawabnya.Manakala bagi seorang bapa atau suami yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan kehidupan keluarganya tanpa bimbingan maka kegagalannya itu akan dipertanggungjawabkan kepadanya sebagaimana sabda Rasulullah saw :

Tiap-tiap seorang daripada kamu itu pemimpin dan tiap-tiap seorang daripada kamu bertanggungjawab akan pimpinannya, imam/pemimpin itu adalah pengurus dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, lelaki itu pemimpin pada ahlinya (anak isterinya) dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, perempuan itu pemimipin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya, khadam itu pemimpin pada harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya dan setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab pada pimpinannya. Riwayat Bukhari